Perayaan Aidiladha cukup signifikan dengan ibadat korban ataupun sembelihan binatang tertentu. Ibadat ini adalah salah satu syiar (simbolik) yang agung tanda ketakwaan dan medan ujian untuk kita mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Dalam surah al-Hajj ayat 36 dan 37 jelas menerangkan falsafah teras pensyariatan ibadat ini iaitulah sebagai salah satu manifestasi untuk kita mengorbankan sifat kikir dan tamak haloba menerusi pemberian dan agihan daging korban kepada kelompok yang memerlukan:
“Dan Kami jadikan unta (yang dihadiahkan kepada fakir miskin Mekah itu) sebahagian dari syiar agama Allah untuk kamu; pada menyembelih unta yang tersebut ada kebaikan bagi kamu; oleh itu sebutlah nama Allah (semasa menyembelihnya) ketika ia berdiri di atas tiga kakinya maka apabila ia tumbang (serta putus nyawanya), makanlah sebahagian daripadanya, dan berilah (bahagian yang lain) kepada orang-orang yang tidak meminta dan yang meminta. Demikianlah Kami mudahkan dia untuk kamu (menguasainya dan menyembelihnya) supaya kamu bersyukur. “(36)
“Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu. Demikianlah Ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjuk-Nya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya.” (37)
Kedua-dua ayat ini hendaklah difahami dan dihayati dengan sebaiknya. Ayat ini juga menunjukkan ibadat korban mempunyai falsafah dan keunikan yang tersendiri jika diteliti dengan hati yang tulus. Ia bukanlah seperti yang difahami ataupun yang didakwa oleh sesetengah pihak yang menanggap ibadat ini adalah sia-sia dan dianggap sebagai salah satu bentuk penganiayaan terhadap binatang. Umat Islam tidak perlu termakan dengan dakyah dan provokasi ini.
Buya HAMKA dalam menafsirkan kedua-dua ayat ini menyatakan:
“Dengan ini dijelaskan korban menurut Islam. Dia bukanlah membakar daging korban lalu asapnya naik ke langit, seperti persangkaan orang-orang dahulu, tetapi dipotong dan dagingnya dibahagikan kepada yang miskin yang menyampaikannya kepada Allah (dalam erti mendekatkan diri) ialah jika benar hatimu ketika menyembelih benar-benar kerana Allah.
Kalimat ‘makanlah darinya’ jelas menunjukkan bahawa orang yang empunya sembelihan dianjurkan makan sebahagian dari daging itu.
Kalimat ‘dan berilah makan kepada fakir yang menahan diri’ yang bererti dia layak mendapat bahagian tetapi dia tidak mahu meminta-minta. Entah kerana malu, entah kerana merasa aib pergi meminta.
Kalimat ‘dan fakir yang meminta’ jelas sekali menunjukkan Allah SWT menyuruh mengutamakan dahulu orang yang tidak mahu meminta daripada yang datang meminta-minta.”
Ayat ini turut menegaskan agar kita semua tidak merasa ragu untuk memakan sebahagian daripada daging korban bersama keluarga dengan kadar yang bersesuaian dan mencukupi untuk keperluan ahli keluarga, dan kemudiannya mengagihkan kepada fakir miskin yang memerlukan. Begitu juga ayat ini secara tak langsung menempelak sikap haloba segelintir manusia yang tergamak mencuri dan menyembunyikan sebahagian daging sembelihan untuk kepentingan dan manfaat peribadi.
Selain itu, perlu dibezakan antara falsafah dan tujuan pensyariatan sesuatu ibadat dengan realiti yang berlaku. Umpamanya, jika hendak mengkritik cara sesetengah umat Islam menguruskan penyembelihan binatang korban (yang dilihat ada unsur penganiayaan binatang), kritiklah dari aspek itu sahaja. Jangan pula dibuat generalisasi dan terus menyimpulkan secara semberono dengan menyatakan ibadat ini sia-sia dan tidak mendatangkan sebarang manfaat.
Hal ini kerana, petunjuk Islam amat jelas berkaitan pengurusan dan tatacara penyembelihan binatang korban di bawah sebuah konsep besar iaitu ihsan seperti yang warid dalam hadis:
“Sesungguhnya Allah mewajibkan berbuat ihsan (baik) dalam segala hal. Jika kalian membunuh maka bunuhlah dengan ihsan, jika kalian menyembelih, sembelihlah dengan ihsan. Hendaknya kalian mempertajam pisaunya dan menyenangkan sembelihannya.”
Justeru, pengajaran besar yang boleh kita hayati menerusi pensyariatan ibadat korban adalah membuang segala bentuk kemiskinan jiwa yang lebih berbahaya dan memudaratkan berbanding kemiskinan harta. Antara bentuk kemiskinan jiwa:
- Sifat tamak dan haloba.
- Kecintaan yang melampau terhadap harta keduniaan.
- Sikap rakus terhadap harta benda dan dana awam. Ini kerana daging korban sepatutnya diagihkan kepada golongan yang memerlukan, bukan dibolot semuanya oleh mereka yang melakukan korban (yakni orang kaya dan berkemampuan).
- Tidak mempedulikan nasib golongan fakir miskin yang memerlukan.
- Memperlekehkan dan mempersendakan syariat serta ajaran Allah SWT.
- Tidak bersikap rahmah dan belas terhadap makhuk Allah SWT, sama ada manusia, haiwan ternakan mahupun tumbuhan.
- Tidak amanah dalam menguruskan harta awam, umpamanya sesetengah pengurusan korban terutama sekali yang melakukan korban di luar negara seringkali mengabaikan aspek ketelusan dalam pelaksanaan korban.
Kemiskinan jiwa ini kebanyakannya berpunca daripada pudarnya nilai taqwa iaitulah kawalan kendiri dan sifat sentiasa mewaspadai kehadiran Tuhan dalam diri. Semoga kita dapat menghayati dan memaknai nilai pengorbanan di samping perayaan korban dengan berusaha untuk mengorbankan kemiskinan jiwa.