Penulis: Dr Anuar Ahmad
Sambutan hari guru tahun 2022 bertemakan ‘Guru Tunggak Sekolah Sejahtera. Sambutan tahun ini merupakan sambutan yang ke-51 sejak sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan diadakan pada tahun 1972 buat pertama kalinya.
Apakah yang dimaksudkan sebagai ‘Guru Tunggak Sekolah Sejahtera’? Pertamanya, guru merupakan kumpulan penggerak utama sistem pendidikan kebangsaan dan menjadi tunjang kepada pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Sistem pendidikan kebangsaan akan menjadi cemerlang hanya apabila seluruh pasukan guru mempunyai pengetahuan, semangat dan kemahiran yang tinggi. Justeru, pelaksanaan sistem pendidikan akan menjadi lebih baik dan anak-anak berpeluang mendapat pendidikan yang berkualiti apabila guru benar-benar menjadi tunjang utama atau tunggak kepada sekolah. Bagi tujuan ini, para guru mestilah terlebih dahulu sejahtera.
Oleh itu, adalah menjadi keutamaan kepada pihak KPM agar kesejahteraan guru dapat diberikan keutamaan sesuai dengan tema sambutan hari guru ‘Guru Tunggak Sekolah Sejahtera’. Apakah perkara-perkara yang harus diberikan perhatian oleh KPM dalam meningkatkan kesejahteraan guru-guru di negara ini? Kita memerlukan satu sistem agihan tugas yang adil bagi memastikan semua guru diberikan tanggungjawab dan beban tugas pengajaran dan pembelajaran serta tugas-tugas bukan pengajaran dan pembelajaran yang telus dan saksama, sesuai dengan kelayakan dan kebolehan para guru. Bagi tujuan itu, satu garis panduan skop kerja guru mestilah dibangunkan dan dipatuhi. KPM boleh membuat piawaian dengan melihat bagaimana negara-negara yang maju sistem pendidikan mereka memberikan tanggungjawab dan beban tugas kepada guru-guru di negara mereka.
Selain menyediakan dokumen garis panduan skop tanggungjawab guru, pentadbiran sekolah juga harus diberikan kefahaman yang mendalam tentang arahan-arahan yang sesuai untuk skop kerja guru. Guru-guru tidak sepatutnya dibebankan dengan berbagai arahan yang tidak berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran, malah lebih menyedihkan jika guru-guru diarahkan untuk melakukan kerja-kerja yang tiada kaitan dengan tujuan pendidikan anak-anak di dalam bilik darjah.
Kedua, keadaan prasarana dan kemudahan untuk para guru juga perlu ditambahbaik. Sesuai dengan keadaan semasa, sepatutnya disediakan peranti-peranti kepada guru oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia untuk memudahkan urusan pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah.
Guru juga sepatutnya diberikan kemudahan bilik guru yang lebih selesa dan bilik rehat untuk persiapan pengajaran dan pembelajaran sepanjang mereka berada di dalam kawasan sekolah. Kemudahan bilik guru yang selesa dan kemudahan ruang rehat untuk tujuan persiapan menyediakan bahan-bahan pengajaran dan pembelajaran sebenarnya akan meningkatkan kualiti persiapan pengajaran dan pembelajaran guru untuk murid-murid.
Ketiga, isu guru bukan opsyen sepatutnya telah lama diselesaikan oleh pihak KPM. Bagaimanapun, isu ini masih lagi berlegar dalam kalangan guru-guru dan masih ramai guru yang mengajar mata pelajaran yang bukan opsyen ataupun latihan ikhtisas mereka. Keadaan ini menyebabkan pengetahuan, kemahiran dan motivasi pengajaran mereka tidak sepenuhnya sebagaimana jika mereka diberikan peluang untuk mengajar mata pelajaran opsyen kerana mereka telah mempunyai latihan dan sikap yang positif dalam mata pelajaran tersebut.
Selain itu, sistem pendidikan kita juga berhadapan dengan isu guru-guru yang masih lagi berjauhan dengan pasangan masing-masing. Keadaan ini menjadi beban psikologi kepada mereka dan juga beban ekonomi kerana mereka terpaksa berulang-alik dalam jarak yang jauh untuk menemui pasangan dan anak-anak mereka. Sepatutnya isu guru ‘dukalara’ iaitu guru yang berjauhan dengan pasangan dan anak-anak mereka harus diselesaikan seberapa segera kerana ia bukan sahaja mengganggu psikologi dan motivasi guru-guru yang terlibat, tetapi ia boleh memberi pengaruh kepada pembelajaran anak-anak di bawah tanggungjawab guru-guru berkenaan.
Bagi meningkatkan keupayaan dan pengetahuan guru serta melakukan anjakan minda kepada guru-guru, KPM sepatutnya membuka lebih banyak peluang untuk guru-guru menyambung pelajaran mereka ke peringkat sarjana dan doktor falsafah sesuai dengan keperluan semasa yang memerlukan guru-guru meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan kefahaman mereka tentang pendidikan khususnya di dalam mata pelajaran yang menjadi opsyen mereka di sekolah.
Seperkara lagi yang perlu diberi perhatian dalam usaha kita untuk melakukan anjakan minda kepada guru-guru ialah pihak sekolah khususnya dan KPM umumnya perlu meningkatkan hubungan baik antara sekolah dan juga ibu bapa. Hubungan baik ini bukan sahaja dapat mengeratkan penglibatan ibu bapa di sekolah melalui program-program yang dianjurkan tetapi apa yang lebih penting hubungan erat ibubapa dan sekolah akan meningkatkan interaksi antara guru-guru dan ibubapa, khususnya berkaitan merancang pencapaian prestasi akademik anak-anak di bawah tanggungjawab guru-guru berkenaan berkaitan.
Sehubungan dengan itu, program SARANA yang mengumpulkan ibubapa dan pihak sekolah seharusnya diberikan ruang yang lebih dan mempunyai program-program yang lebih berimpak supaya kolaborasi antara ibubapa, guru-guru dan pihak sekolah akan dapat meningkatkan peluang anak-anak untuk berjaya. Bukan sahaja dalam bidang akademik tetapi juga dalam bidang kokurikulum, berpersatuan dan juga di dalam program penonjolan bakat-bakat yang ada di dalam diri anak-anak ini.
Usaha menganjakkan minda dan meningkatkan profesionalisme perguruan bukan sahaja bergantung kepada usaha guru-guru itu sendiri, tetapi juga memerlukan sokongan dan dukungan yang kuat dari pihak pentadbiran pendidikan sekolah iaitu Pejabat Pendidikan Daerah Jabatan Pendidikan Negeri dan juga pihak KPM.
Guru-guru perlu disediakan kemudahan-kemudahan pembelajaran dan pengajaran untuk mereka gunakan di sekolah seperti infra internet, makmal-makmal yang berkualiti tinggi, bahan bahan cetak dan bahan bahan elektronik yang boleh guru-guru gunakan di dalam bilik darjah untuk membantu proses pengajaran dan pembelajaran.
KPM seharusnya terus menggalakkan guru-guru yang ingin menyambung pelajaran mereka ke peringkat lebih tinggi dengan hadiah dan biasiswa pengajian yang akan memberi peluang untuk mereka meningkatkan pengetahuan kemahiran dan sikap yang positif terhadap pendidikan. Soal yang paling penting adalah secara terus-menerus meningkatkan soal kebajikan guru guru perjawatan guru guru dan juga kesejahteraan guru-guru di sekolah
Sistem pendidikan negara memerlukan guru-guru yang menganjakkan minda ke arah pendidikan berkualiti tinggi, bersemangat tinggi dan juga memahami falsafah pendidikan negara di dalam melaksanakan tanggungjawab mereka dengan baik. Anjakan minda guru-guru penting kerana sistem pendidikan kita berada dalam persekitaran yang tidak menentu dan memerlukan guru-guru mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang tinggi dan baharu. Anjakan minda dalam kalangan guru-guru hanya akan berjaya jika mereka diberikan sokongan dan dokongan yang kuat oleh pihak sekolah pihak Pejabat Pendidikan Daerah pihak Jabatan Pendidikan Negeri dan khususnya pihak KPM sendiri.
Guru pada masa depan bukan lagi seperti mana guru-guru pada masa lalu yang hanya memberi fokus kepada penyampaian maklumat dan pengetahuan sahaja. Guru-guru pada masa depan perlu melaksanakan bukan sahaja pengajaran dan pembelajaran untuk tujuan pencapaian akademik murid sahaja tetapi juga sebagai pemudahcara pembelajaran, mahir menggunakan teknologi pendidikan dan bersedia pula dengan keupayaan mengurus kepelbagaian tingkah laku dan budaya murid-murid.
Selamat Hari Guru 2022. Terima Kasih Cikgu.
Dr Anuar Ahmad
Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan
Fakulti Pendidikan UKM
anuarahmadukm@gmail.com
Write to Anuar Ahmad