Penulis: Luqman Tarmizi
Para ulama bersepakat bahawa Imam Abu Hanifah merupakan seorang mujtahid mutlak dalam bidang fiqh. Namun para ulama hadith berbeza pandangan dalam menentukan status beliau dalam bidang hadith.
Antara ulama yang mentakdilkan Abu Hanifah ialah Yahya bin Ma’in yang berkata: “Abu Hanifah seorang yang thiqah”. Kata Isra’il bin Yunus pula: Imam Abu Hanifah menekuni bidang hadith di bawah bimbingan Hammad bin Sulaiman. (Rujuk Manaqib Abu Hanifah oleh Imam al-Zahabi hlm. 44 dan Tarikh Baghdad 13/339)
Kata Ali bin al-Madini: “Al-Thauri dan Abdullah bin Mubarak ada meriwayatkan hadith daripada Abu Hanifah, dan beliau merupakan seorang yang thiqah dan tiada masalah dalam hadith. (Rujuk Tarikh Baghdad 13/450)
Namun di sana tidak sedikit juga riwayat daripada ulama hadith yang memberi komentar yang amat negatif terhadap Imam Abu Hanifah, antaranya ialah Yahya bin Sa’id al-Qattan serta Imam Ahmad bin Hanbal.
Namun demikian, Syeikh Muhammad Zahid al-Kawthari telah mengarang sebuah kitab khusus berjudul Ta’nib al-Khatib ‘ala ma Saaqa fi Tarjamah Abi Hanifah min al-Akaziib bagi menjawab riwayat-riwayat tajrih yang dibawa oleh Imam Khatib al-Baghdadi tersebut.
Kritikan dan tohmahan terhadap Imam Abu Hanifah beserta jawapannya
Terdapat sekurang-kurangnya 4 kritikan oleh ulama hadith terkemuka terhadap Imam Abu Hanifah, iaitu Imam al-Bukhari, Imam Ibn Syaibah, Imam Ibn Hibban dan Imam al-Daruqutni:
- Imam al-Bukhari
Imam al-Bukhari menyebut berkenaan Abu Hanifah: “…tidak diambil daripadanya pandangan dan hadithnya”. (Rujuk Al-Tarikh al-Kabir 8/81)
Menurut Syeikh Zofar al-Tahanawi, punca kritikan keras Imam al-Bukhari ialah kerana terpengaruh dengan Nu’aim bin Hammad yang terkenal dengan sikap kerasnya terhadap Abu Hanifah, bahkan beberapa ulama seperti Imam al-Zahabi menyatakan Nu’aim terlibat dengan penciptaan kisah-kisah palsu berkenaan Abu Hanifah.
Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah dalam ta’liq beliau ke atas kitab Qawa’id fi ‘Ulum al-Hadith, bersetuju dengan pengaruh Nu’aim terhadap Imam al-Bukhari ini dan menambah bahwa tidak sedikit ulama yang mengkritik sikap Imam al-Bukhari ini, antaranya ialah Imam al-Zaila‘ie dalam Nasb al-Rayah dan Syeikh Anwar al-Kashmiri dalam Faidh al-Bari.
Imam al-Bukhari juga telah menyanggah Abu Hanifah dalam 18 tempat dalam Sahihnya dalam pelbagai isu. Namun ia juga dijawab secara tuntas oleh ulama Hanafiyyah dalam syarahan mereka terhadap Sahih al-Bukhari sendiri, antaranya Imam Badruddin al-‘Aini dalam ‘Umdah al-Qari. (Rujuk Qawa’id fi ‘Ulum a-Hadith hlm. 380 dan Mizan al-I’tidal 4/269)
- Ibn Abi Syaibah
Abu Bakar Ibn Abi Syaibah pula telah menghimpunkan sebanyak 125 permasalahan fiqh dalam Musannaf beliau, di mana pandangan Imam Abu Hanifah telah menyelisihi hadith Nabi SAW padanya dengan menjadikannya sebagai satu bab khusus bertajuk ‘al-Raddu ‘ala Abi Hanifah’.
Namun ia telahpun dijawab secara tuntas oleh Syeikh Muhammad Zahid al-Kauthari dengan mengemukakan satu persatu dalil Imam Abu Hanifah dalam 125 isu tersebut dan pandangan ulama lain yang sama dengan Abu Hanifah dalam isu tersebut. (Rujuk Al-Raf’u wa al-Takmil fi al-Jarh wa al-Ta’dil, tahqiq oleh Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah hlm. 73-74)
Syeikh Mustofa Siba’ie pula telah menulis berkenaan pandangan Ibn Abi Syaibah ini: “..jika diterima segala pandangan beliau ini, maka ia menatijahkan bahawa Imam Abu Hanifah telah menepati hadith dalam semua ijtihad beliau selain daripada 125 bab yang dinyatakan Ibn Abi Syaibah ini. Mengambil kira ijtihad Abu Hanifah mencapai 83,000 perkara furu’ fiqh, maka ini sebenarnya menunjukkan penguasaan beliau terhadap ratusan atau ribuan hadith kerana hanya sebahagian sahaja ijtihad beliau yang menyelisihi sunnah. (Rujuk Al-Sunnah wa Makanatuha fi al-Tasyri’ al-Islamiy hlm. 449)
- Ibn Hibban
Menurut Ibn Hibban, Abu Hanifah merupakan seorang yang banyak berdebat dan pada zahirnya bersifat warak, namun ilmu hadith bukan bidang kepakaran beliau. Beliau meriwayatkan 130 hadith, tiada lagi hadith lain yang beliau riwayatkan selain daripada hadith-hadith tersebut. Daripada jumlah itu, beliau melakukan kesilapan pada 120 hadith, samada terjadi iqlab pada sanad atau perubahan pada matan tanpa beliau mengetahuinya.
Selain itu, beliau turut menukilkan sekian banyak riwayat-riwayat yang tidak sahih yang penuh dengan fitnah terhadap Imam Abu Hanifah. Antaranya ialah riwayat daripada Yusuf bin Asbat: Kata Abu Hanifah: Jika Rasullah SAW berjumpa denganku, nescaya Baginda akan banyak mengambil pandanganku; tidaklah agama ini melainkan pandangan dan pendapat yang baik. (Rujuk Al-Majruhin 3/61-73)
Kata Imam al-Zahabi dan Ibn Hajar: “Ibn Hibban kadangkala melakukan jarh terhadap perawi yang thiqah, seakan-akan dia tidak tahu apa yang keluar dari kepalanya”. (Rujuk Mizan al-I’tidal 1/274 dan al-Qaul al-Musaddad hlm. 33) Hal ini menunjukkan Ibn Hibban seorang yang tidak asing daripada melakukan kesalahan yang kritikal dalam menilai perawi hadith.
Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah pula telah mempertahankan Abu Hanifah daripada segala tuduhan yang terkandung dalam riwayat-riwayat yang dinukilkan oleh Ibn Hibban. Beliau menyimpulkan bahawa Imam Abu Hanifah merupakan imam mujtahid di sisi para ulama, dan majoriti umat Nabi Muhammad SAW pada zamannya hingga sekarang merupakan muqallid kepada mazhab Hanafi. Jika riwayat yang dibawakan Ibn Hibban itu sahih, maka nescaya para ulama yang mengiktiraf Imam Abu Hanifah boleh dianggap sebagai alpa dan lalai, lantas menatijahkan umat ini berada di dalam kesesatan. (Rujuk al-Ta’liq ‘ala al-Intiqaa’ hlm. 232-240)
- Al-Daraqutni
Imam Abdul Hayy al-Laknawi al-Hindi, sewaktu mengemukakan syarat untuk seseorang diiktiraf sebagai imam dalam bidang al-jarh wa al-ta’dil, antara lain menyebut: mestilah dia seorang yang bercakap benar dan bebas daripada sikap taksub.
Dalam bab ini, beliau telah mengkritik Imam al-Daraqutni kerana menganggap Imam Abu Hanifah sebagai seorang yang lemah dalam bidang hadith. Imam Daraqutni juga mendakwa Imam Abu Hanifah hanya mempelajari hadith daripada Hammad, sedangkan terbukti Imam Abu Hanifah juga mengambil hadith daripada Muhammad al-Baqir, al-A’masy dan lain-lain.
Menurut Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah, sikap bias dan tidak adil Imam Daraqutni terhadap Imam Abu Hanifah telahpun dibuktikan oleh ramai ulama, antaranya oleh Syeikh Abdul Rasyid al-Nu’mani dan Syeikh Abdul Aziz al-Fanjabi.
Imam al-Laknawi menambah bahawa hakikatnya, segala pandangan negatif terhadap Imam Abu Hanifah oleh Daruqutni hanya muncul disebabkan ketaksuban, dan pandangan itu tidak layak diambil kira. (Rujuk Al-Raf’u wa al-Takmil fi al-Jarh wa al-Ta’dil, tahqiq oleh Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah hlm. 70-76, 82-93)
Kata Imam Ibn Abd al-Barr pula, sebahagian ulama hadith telah berlebih-lebihan dan melampaui batas dalam mencela Imam Abu Hanifah dan faktor yang membawa kepada hal yang demikian adalah kerana Imam Abu Hanifah telah mengaplikasikan kaedah qiyas dan al-ra’y dalam memahami hadith. Namun bukanlah beliau seorang sahaja yang melakukan yang qiyas dan takwilan terhadap hadith, cuma mazhab beliau yang paling banyak melakukan qiyas berbanding mazhab lain.
Tambahan pula ulama yang meriwayatkan hadith dan menghukum Imam Abu Hanifah sebagai thiqah adalah lebih ramai berbanding dengan mereka yang mengkritik beliau, terutamanya kalangan ulama hadith yang tidak senang dengan banyaknya qiyas dan ijtihad yang dilakukan oleh beliau. (Rujuk Jami‘ Bayan al-Ilm wa Fadhlihi 2/181-183)
Sementara itu, Syeikh Mustafa Siba’ie pula menyenaraikan beberapa faktor munculnya tohmahan-tohmahan yang tidak benar terhadap Imam Abu Hanifah, antaranya:
i. Beliau merupakan orang pertama yang meluaskan daerah istinbat hukum fiqh dan memperbanyakkan permasalahan furu’. Beliau juga banyak membincangkan hukum-hakam pada perkara yang belum berlaku, ia tidak disukai oleh para ulama sebelumnya kerana dianggap membuang masa, sedangkan Abu Hanifah menganggapnya sebagai satu pemikiran futuristik. Kerana inilah beliau tidak disukai oleh al-Sya’bi, salah seorang ulama hadith di Iraq.
ii. Antara metodologi Imam Abu Hanifah dalam menerima hadith ialah pensyaratan yang ketat dalam menerima riwayat yang berstatus ahad. Hal ini kerana Kufah pada zaman tersebut terkenal dengan gerakan pemalsuan hadith, maka ada keadaan beliau mendhaifkan hadith yang disahihkan oleh ulama lain disebabkan syarat ketat yang beliau letakkan.
iii. Abu Hanifah menganggap hadith mursal daripada perawi thiqah sebagai hujah yang diterima untuk mengistinbatkan hukum, bercanggah dengan jumhur ulama hadith yang tidak menerimanya.
iv. Memandangkan syarat ketat yang digunakan untuk menerima hadith, maka Imam Abu Hanifah terpaksa menggunakan qiyas dan ijtihad dalam banyak keadaan, dan ini menambahkan lagi perselisihan beliau dengan ulama hadith dan fuqaha’ lain yang hanya menggunakan qiyas apabila tiada nas padanya.
v. Antara hal yang tidak dapat dielakkan dalam persaingan sesama manusia ialah rasa tidak senang terhadap orang lebih berjaya berbanding mereka. Kerana itulah Ibn Abbas berpesan: Ambillah ilmu para ulama, dan jangan kamu benarkan kata-kata mereka ketika mereka bermusuhan sesama mereka; demi Allah SAW, mereka itu (dalam keadaan bermusuh) lebih kuat cemburu berbanding cemburunya kambing jantan terhadap kambing lain yang cuba masuk ke kawasan ragutnya.
Abu Hanifah turut tidak terkecuali, di mana ada sebahagian ulama – antaranya Abdul Rahman bin Laila, Qadhi Kufah pada zamannya- yang mengadukan kepada khalifah perkara-perkara yang tidak benar tentang beliau.
vi. Terdapat juga keadaan di mana sebahagian ulama menerima khabar yang tidak benar berkenaan Abu Hanifah, dan masih belum memahami kaedah dan manhaj beliau dalam isu hadith dan ijtihad, antaranya kerana faktor jarak dan masa. Kerana itulah Imam al-Awza’ie suatu ketika pernah berburuk sangka terhadap Imam Abu Hanifah sebelum mereka berdua berjumpa. Namun setelah mereka berjumpa dan bertukar pendapat, beliau mengiktiraf Abu Hanifah sebagai seorang yang amat mendalam ilmunya dan bijak fikirannya, dan menyesali sikap beliau sebelum itu.
Selain itu, Syeikh Mustafa Siba’ie turut menafikan tanggapan sebahagian ulama – antaranya Syeikh Waliyullah al-Dahlawi – bahawa Imam Abu Hanifah kurang menguasai hadith kerana tempat tinggal beliau iaitu Kufah tidak dikenali sebagai dar al-hadith (seperti Mekah dan Madinah yang ramai ulama hadith di sana).
Tanggapan ini adalah tidak benar, kerana Kufah pada awal zaman Islam lagi telah menjadi bandar ilmu, kesan daripada kedatangan Abdullah bin Mas’ud R.A dan Saidina Ali bin Talib. Selain itu, Abu Hanifah juga telah pergi ke Syam dan Madinah berulang kali untuk menuntut ilmu, selain menetap di Mekah selama enam tahun dan bermulazamah dengan ramai ulama antaranya Imam al-Awza’ie, Imam Muhammad al-Baqir, Imam Zaid bin Ali dan mempelajari fiqh Saidina Umar al-Khattab dan Ibn Abbas R.Anhum daripada anak-anak murid mereka berdua. (Rujuk Al-Sunnah wa Makanatuha fi al-Tasyri’ al-Islamiy hlm. 439-452)
Tumpuan dan Penguasaan Imam Abu Hanifah terhadap Hadith
Tumpuan, perhatian serta penguasaan Imam Abu Hanifah terhadap ilmu hadith, samada dari sudut sanad dan matan sebenarnya telah diiktiraf oleh ramai ulama.
Kata Imam Abu Hanifah: “Manusia berada dalam kebaikan selagi ada dalam kalangan mereka yang mempelajari hadith. Apabila mereka mempelajari ilmu tanpa hadith, nescaya mereka akan binasa”. Beliau juga pernah berkata: “Hendaklah kalian mengikut sunnah Rasulullah SAW, barangsiapa yang keluar daripada jalan ini, dia akan tersesat”. (Rujuk Al-Mizan al-Kubra, 1/50-51)
Kata Yahya bin A’zham: Abu Hanifah telah menghimpunkan seluruh hadith yang ada di Kufah pada zamannya. (Rujuk Tarikh al-Asmaa’ Al-Thiqaat hlm. 325)
Imam al-Zahabi pula menyatakan bahawa Imam Abu Hanifah telah mempelajari hadith selama lima puluh tahun, iaitu bermula pada tahun 100H hingga saat kematian beliau. (Rujuk Siyaar A’lam al-Nubalaa’ 6/396)
Melihatkan kepada panjangnya masa beliau mempelajari hadith, maka adalah amat sukar diterima pandangan yang menyatakan bahawa beliau seorang yang lemah dalam bidang hadith.
Perlu diketahui juga bahawa fiqh Imam Abu Hanifah berdiri di atas hadith-hadith sahih. Kerana itulah Al-Sayyid al-Murtadha al-Zabidi telah mengarang sebuah kitab yang berjudul ‘Aqd al-Jawahir al-Munifah fi Adillah Abi Hanifah yang menghimpunkan hadith-hadith di dalam Musnad Abu Hanifah yang turut termuat di dalam kutub al-sittah.
Kata al-Hafiz Muhammad bin Yusuf al-Solihani:
“Sesungguhnya Imam Abu Hanifah merupakan antara al-hafiz dalam bidang hadith, diriwayatkan bahawa beliau telah mengambil hadith daripada 4 ribu guru daripada kalangan tabi’in dan lain-lain, dan ia dinyatakan sendiri oleh Imam al-Zahabi dalam kitab al-Mumti’ dan Tobaqat al-Huffaz min al-Muhaddithin. Jika beliau tidak banyak fokus terhadap hadith, nescaya beliau tidak akan mampu mengistinbatkan hukum-hakam fiqh.
Adapun tentang sedikitnya riwayat hadith daripada beliau, itu tidak menunjukkan sedikitnya hadith yang beliau ketahui, namun ia adalah berpunca daripada dua sebab, (salah satunya ialah) ia menunjukkan bahawa fokus utama beliau ialah terhadap istinbat daripada hadith-hadith tersebut, bukan meriwayatkannya, dan hal ini juga sama seperti Imam Malik dan Imam Syafi’e yang tidak banyak meriwayatkan hadith kepada anak murid mereka.” (Rujuk ‘Uqud al-Jaman fi Manaqib al-Imam al-A’zham Abi Hanifah al-Nu’man hlm. 319)
Abu Hanifah juga diiktiraf sebagai seorang yang pakar dalam bidang ilmu rijal (ilmu tentang perawi hadith). Imam al-Tirmizi meriwayatkan daripada Yahya al-Hammani, bahawa dia mendengar Abu Hanifah berkata: Aku tidak pernah melhat seorang pendusta yang lebih teruk daripada Jabir al-Ju’fi, dan aku tidak pernah melihat seorang yang lebih jujur berbanding Ato’. Ini menunjukkan Imam Tirmizi sendiri mengiktiraf pandangan Imam Abu Hanifah dalam menilai perawi. Begitu juga dengan banyak riwayat lain yang jelas menunjukkan beliau seorang yang berpengetahuan tinggi dalam menilai status para perawi hadith, sekaligus melayakkan beliau untuk diiktiraf sebagai seorang imam dalam ilmu al-jarh wa al’ta’dil. (Rujuk Qawa’id fi ‘Ulum al-Hadith hlm. 331)
Imam Abu Hanifah juga terkenal sebagai seorang yang sangat ketat syaratnya dalam menerima sesebuah hadith. Antara syarat yang beliau letakkan adalah sesebuah hadith mesti diriwayatkan melalui hafalan perawi. (Rujuk Muqaddimah Ibn Solah, hlm. 208)
Imam al-Mu’allimi pula mengulas:
“Imam Abu Hanifah melazimi Hammad bin Sulaiman untuk satu tempoh yang lama, dan Hammad merupakan seorang yang banyak menghafal hadith. Adapun sedikitnya hadith yang diriwayatkan daripada Imam Abu Hanifah tidak menunjukkan kepada sedikitnya hadith yang dihafal oleh beliau; ini kerana beliau terkenal tidak memfokuskan diri dalam menyampaikan hadith, sebaliknya lebih fokus kepada pengeluaran hukum daripada hadith.
Begitu juga tidak disyaratkan untuk seorang ‘alim itu untuk menghimpun dan menghafal seluruh hadith yang ada, bahkan mencukupi baginya untuk berfatwa apabila dia menguasai ilmu al-Qur’an dan ada padanya sejumlah hadith yang cukup untuknya mencapai kebenaran melalui ijtihad. Apabila dia berhadapan dengan suatu isu yang tidak dijumpai dalam al-Qur’an dan al-hadith yang ada padanya, dia boleh bertanya kepada ulama yang ‘alim dalam hadith dan jika tiada juga dia boleh berijtihad; dan inilah yang Imam Abu Hanifah amalkan.
Bahkan ramai perawi hadith yang masyhur yang datang belajar di halaqah beliau seperti Mus’ir dan Mandal. Berkenaan dakwaan pandangan beliau yang bercanggah dengan hadith, maka bilangannya adalah amat sedikit, dan tidaklah beliau sengaja menyanggahi hadith dalam pandangan-pandangannya. (Rujuk Al-Anwar al-Kasyifah, hlm. 52)
Kesimpulan
Tuntasnya, sememangnya terdapat ulama hadith yang menghukumkan Imam Abu Hanifah sebagai lemah dalam bidang hadith, namun ia telah dijawab secara tuntas dan panjang lebar oleh sekian ramai ulama selepasnya.
Bukti-bukti yang dinukilkan oleh para ulama juga jelas menunjukkan bahawa Imam Abu Hanifah merupakan seorang pakar dalam bidang hadith, samada dari sudut matan atau sanad. Sedikitnya hadith yang beliau riwayatkan pula tidak bermakna beliau tidak menghafal banyak hadith, sebaliknya kerana tumpuan beliau yang lebih terhadap istinbat hukum daripada hadith, berbanding meriwayatkannya.
Adapun berkenaan kesilapan para ulama yang memberi komentar negatif terhadap Imam Abu Hanifah, maka itu merupakan kesilapan-kesilapan yang dimaafkan, sebagai lumrah manusiawi. Kata ulama:
العلماء بحار وأخطاؤهم أقذار، والماء إذا جاوز القلتين لم يحمل الخبث
Maksudnya: Ulama itu seperti lautan, dan kesilapan-kesilapan mereka itu merupakan kotoran; adapun air apabila melebihi dua kolah, ia tidak terkesan dengan kotoran tersebut.
Wallahu a‘lam.
2 Responses
Assalamualaikum warahamatullahi wabarakatuhu. ALHAMDULILLAH .
Shukran to the author Ustadh Luqman Tarmizi who provided the ummah a critical analysis to diffuse the myth about Imam ul Azam Abu Hanifah (Rahimullah)’ expertise on field of Hadith and other relating matters.
I would like to provide my personal gratitute to Ustadh Luqman Tarmizi for this immense effort and looking forward for more such priceless scholarly work. JazakAllah khair
Alhamdulillah, glad that this article benefits you. May Allah SWT guide us all ameen.