Penulis: Muhammad Faisal Abdul Aziz
Baru-baru ini Menteri Besar Kedah Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi bin Md Nor mendakwa bahawa Pulau Pinang adalah sebenarnya milik Kedah. Ia seolah-olah menggambarkan bahawa Pulau Pinang sebenarnya bukan sebuah kerajaan yang berdaulat.
Izinkan saya memberi pencerahan dari pelbagai perspektif.
Pertama dari sejarah saya rujuk kes Reg v Willans. [1858] 3 Ky 16. Dalam kes ini Sir Benson Maxwell R. menyatakan Pulau Pinang sebagai:
“It was a desert Island belonging to the Rajah of Quedah, and ceded by that prince in 1786 to an English Corporate body… “
Justeru, memang benar bahawa Pulau Pinang pada asalnya memang sebahagian daripada wilayah Kedah yang diserahkan secara pajakan pada 1786 kepada pihak Syarikat Hindia Timur Inggeris (SHTI), walaupun ada mengatakan ia bukan perjanjian tapi catatan secara paksa, dan Sultan Kedah mendapat pampasan 10,000 dolar Sepanyol setiap tahun.
Kemudian pada 1800 satu Perjanjian Inggeris – Kedah telah ditandatangani antara Raja Muda Sultan Dziauddin mewakili Kedah dan Sir George Leith mewakili SHTI.
Antara kandungan perjanjian termasuklah tentang pajakan Pulau Pinang kepada Inggeris, yang boleh melalui gambar-gambar di bawah.

Persoalannya, adakah perjanjian-perjanjian ini masih sah?
Jika kita rujuk Perkara 76(1)(a) Perlembagaan Persekutuan, Parlimen boleh membuat undang-undang yang menyentuh bidang kuasa negeri bagi maksud untuk melaksanakan apa-apa triti atau perjanjian di bawah peruntukan Kuasa Parlimen untuk membuat undang-undang bagi Negeri- Negeri dalam hal-hal tertentu:
- (1) Parlimen boleh membuat undang-undang mengenai apa- apa perkara yang disebut satu persatu dalam Senarai Negeri, tetapi hanya seperti yang berikut sahaja, iaitu:
(a) bagi maksud melaksanakan apa-apa triti, perjanjian atau konvensyen antara Persekutuan dengan mana-mana negara lain, atau apa-apa keputusan sesuatu organisasi antarabangsa yang dianggotai oleh Persekutuan; atau
(b) bagi maksud menggalakkan keseragaman undang- undang antara dua Negeri atau lebih; atau
(c) jika diminta sedemikian oleh Dewan Undangan mana- mana Negeri.
Perkara 169(a) pula menjelaskan bahawa ia meliputi apa-apa triti atau perjanjian yang dibuat sebelum Merdeka oleh Baginda Ratu / pendahulunya atau kerajaan United Kingdom bagi pihak Persekutuan. Maka triti / perjanjian lama adalah dianggap sebagai triti atau perjanjian yang masih berkuatkuasa.
Walaupun timbul pertikaian berkenaan keabsahan perjanjian 1786, antaranya seperti yang ditulis oleh R Bonney melalui buku beliau ‘Kedah 1771-1821: The Search for Security and Independence’, beberapa perjanjian lain termasuk perjanjian tahun 1800 serta perjanjian sebelum Merdeka menjadi asas kuat untuk Pulau Pinang diperintah secara sendirian.

Ini termasuklah Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957 yang jelas menyatakan Pulau Pinang menjadi sebahagian daripada Persekutuan Malaya sebagai sebuah negeri yang berasingan daripada Kedah. Ia ditandatangani oleh Raja-Raja Melayu dan Sir Donald MacGillivray bagi pihak Ratu England.
Maka menerusi perjanjian ini, terbentuknya Perlembagaan Persekutuan yang menyebut Pulau Pinang sebagai salah sebuah negeri berdaulat, seperti yang termaktub dalam Perkara 1 (2) Perlembagaan Persekutuan.
Selain itu, Perkara 1 (1) Undang-Undang Tubuh Pulau Pinang menyatakan: “Hendaklah ada seorang yang Dipertua Negeri bagi negeri yang hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong yang bertindak menurut budi bicaranya tetapi selepas berunding dengan Ketua Menteri”.
Menerusi Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh menjelaskan Pulau Pinang adalah negeri berdaulat.
Maka pertikaian keabsahan perjanjian 1786 telah dijawab menerusi dokumen ini selain perjanjian 1800.