Fatwa Hakiki vs Fatwa Siyasi

Penulis: Furqan Abdullah

Fatwa merupakan panduan dalam hukum-hakam. Mereka yang mengeluarkan fatwa digelar sebagai mufti. Di Malaysia, fatwa yang diguna pakai secara rasmi dan meluas adalah peranan eksklusif institusi atau jabatan mufti. Adapun, fatwa yang diungkap oleh selain mufti dianggap pandangan peribadi ataupun pendirian individu semata-mata.

Fatwa kebiasaannya akan membicarakan soal hukum taklifi yang lima (merangkumi wajib, haram, sunat, makruh dan harus. Hal ini kerana kehidupan seharian dan interaksi sesama manusia tidak akan lari daripada hukum taklifi. Kebiasaannya fatwa juga membincangkan secara komprehensif maqasid (tujuan) dan maalat (implikasi) sesuatu hukum.

Di samping itu, fatwa juga akan dilengkapkan dengan hukum wad’ie yang merangkumi sebab, syarat, penghalang dan seumpamanya. Sesuatu fatwa turut mengambil kira soal konteks, realiti, meraikan uruf dan sebagainya. Ini memperlihatkan proses pengeluaran fatwa tidaklah mudah dan memerlukan keahlian ijtihad yang jitu.

Namun, dalam lapangan politik sesuatu pandangan atau pendirian politik bukanlah fatwa yang mesti dituruti meskipun pandangan tersebut disalut dengan dalil Quran, hadis dan sirah Nabi. Sesetengah pihak secara melulu dan sewenang-wenangnya menunggang hukum taklifi untuk mengabsahkan pendirian politik canggung mereka. Segala tingkah laku dan selera politik yang dibuat dijustifikasi dan ‘disesuaikan’ dengan dalil agama, manakala pihak yang tidak bersetuju dianggap sebagai menentang agama atau menyanggahi dalil. Hal ini secara jelas adalah perkara yang dilarang lagi ditegah oleh agama. Ini juga adalah pandangan para ulama hakiki dan rabbani sepanjang zaman.

“Dan janganlah kamu berdusta dengan sebab apa yang disifatkan oleh lidah kamu: “Ini halal dan ini haram”, untuk mengada-adakan sesuatu yang dusta terhadap Allah; sesungguhnya orang-orang yang berdusta terhadap Allah tidak akan berjaya. (Al-Nahl: 116)

Akan tetapi, kadangkala kita lihat segelintir pengikut atau penyokong menganggap bahawa sesuatu pandangan atau kenyataan yang dikeluarkan oleh pimpinan mereka ibarat ‘fatwa’ yang perlu dituruti. Lebih-lebih lagi, jika sekiranya pemimpin tersebut berlatar belakangkan pengajian agama, berperwatakan ‘lebai,’ menganggotai persatuan ulama atau seumpamanya.

Hakikatnya, mereka yang terlibat aktif dalam lapangan politik (tidak kira apa latar belakangnya) merupakan ahli politik secara realiti dan secara profesion. Apabila disebut ahli politik, sudah tentu gerak kerja dan matlamat mereka adalah untuk merebut kedudukan dan memenangi pilihan raya. Sehubungan itu, kenyataan dan pendirian mereka didorong oleh matlamat ini, meskipun mereka membalutnya dengan balutan agama.

Pemimpin yang masuk politik, bertanding pilihan raya dan menjadi ahli parlimen ialah ahli politik tulen (meskipun dalam masa sama mereka ada topi tuan guru, pendakwah, ustaz, pensyarah dan sebagainya). Justeru, janganlah terkeliru apabila mendakwa jika sosok ini dikritik dari sudut gerak kerja dan tugasnya, maknanya orang yang mengkritik tidak hormat ulama, busuk hati, hati kotor, menghina dan seumpamanya. Ini juga garis sempadan antara kritikan terhadap keperibadian dengan kritikan terhadap pelunasan tanggungjawab yang perlu dibezakan sejelas-jelasnya.

Walau bagaimanapun, kegagalan untuk memahami hakikat dan membezakan secara rasional perihal ini telah melahirkan spesies pentaksub dan pewalak membuta tuli. Mereka menganggap bahawa kesemua lontaran pandangan pimpinan mereka sebagai ‘fatwa’ ataupun ‘wahyu’ yang turun dari langit. Sikap segelintir mereka yang memajakkan akal waras kepada ‘ayatollah’ pujaan mereka ibarat sekujur mayat di sisi tukang mandinya. Tidak mampu membantah ataupun mempersoalkan tindak tanduk tukang mandi tersebut.

Dalam banyak keadaan, kita dapati ada kenyataan ‘fatwa’ yang keluar dari mulut ahli politik bahawa wajib hukumnya mengundi partinya, wajib menyokong pendirian politiknya yang didakwa atas asas agama, bahkan ada pula yang mengancam dengan seksaan api neraka jika ada yang menyanggah atau tidak bersetuju dengan pendirian mereka. Sesetengah fatwa yang dikeluarkan atas kepentingan politik (terutamanya politik kepartian) telah banyak mengundang kepada bencana dan menyumbang kepada tindakan ekstrem sehingga ke tahap enggan solat berimamkan seteru politik. 

Fatwa berbaur politik pula kebiasaannya bukan sekadar cerita halal-haram, malahan kadangkala melampau sampai menyentuh iman-kufur, menetapkan dosa-pahala, keterlaluan menghukum yang berpunca daripada kekeliruan tentang doktrin wala’ (taat setia atas dasar iman) wal bara’ (berlepas diri atas asas akidah), malahan sampai tahap menyesatkan dan mengeluarkan seteru politik mereka dari daerah Islam.

Di Malaysia, doktrin agama (kerana kefahaman menyeleweng) yang keterlaluan dalam politik kepartian telah menatijahkan kesan buruk terutamanya dalam hubungan sesama masyarakat. Bukan kita tidak pernah mendengar tentang haram makan sembelihan seteru politik, putus hubungan kekeluargaan malahan ada yang sampai perlu berpisah antara suami-isteri kerana dikatakan melanggar ‘baiah.’ 

Justeru, jika dalam hal ehwal agama sekalipun para ulama amat berhati-hati dalam menetapkan sesuatu hukum yang tidak ada dalilnya secara jelas, maka lebih-lebih lagi ia perlu dipraktikkan dalam lapangan kehidupan yang lain termasuklah dalam lapangan politik yang berkisar dalam orbit maslahah-mafsadah.

Kewaspadaan para ulama yang betul-betul berkelayakan dalam berfatwa perlu dicontohi, agar kita tidak sewenang-wenangnya mengeluarkan hukum mengikut selera, hawa nafsu dan kecenderungan peribadi, aliran ataupun kumpulan.

Umpamanya dalam Tafsir al-Qurtubi, pengarang menegaskan:

“Bahawasanya halal dan haram adalah hak ekslusif Allah SWT. Seseorang manusia tidak boleh menyatakan secara pasti bahawasanya sesuatu perkara itu hukumnya halal atau haram melainkan apa yang dikhabarkan oleh Allah SWT. Justeru, sesuatu yang diijtihadkan sebagai haram hendaklah memadai dengan mengatakan: Sesungguhnya saya tidak menyukai perkara ini (makruh). Inilah yang dilakukan oleh Imam Malik mengambil teladan yang telah ditunjukkan oleh generasi terdahulu yang berkelayakan dalam fatwa.”

Nah, jika kita teliti ulama besar semisal Imam Malik begitu berwaspada dalam soal menghalal atau mengharamkan sesuatu perkara, lebih-lebih lagi jika ia berada dalam ruang lingkup ijtihad seperti halnya lapangan politik, maka apatah lagi ulama kerdil ataupun bertaraf alim kucing, tidak usahlah secara semberono dan sewenang-wenangnya menetapkan fatwa tanpa sekelumit nilai taqwa.

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Artikel Terkini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *