Penulis: Furqan Abdullah
Kemunculan watak segelintir pendakwah dan ustaz selebriti (usleb) pada satu aspek mungkin dilihat mampu mendatangkan impak positif, terutamanya dalam memasyarakatkan ilmu pengetahuan berkaitan agama dan mendekatkan masyarakat kepada ajaran agama yang asas.
Namun demikian, kadangkala ia boleh berubah menjadi ibarat candu dan malapetaka yang berpotensi membinasakan masyarakat. Hal ini kerana terdapat segelintir usleb yang dilihat mencemarkan disiplin asas ilmu agama itu sendiri dan mempamerkan akhlak yang tidak berwajaran dengan statusnya sebagai pendakwah.
Hasilnya, agamawan yang sepatutnya menjadi sang pencerah dan memandaikan masyarakat, namun mereka berterusan memilih cari merudumkan dan memperbodohkan akal masyarakat, lebih-lebih lagi dengan ajaran tahyul, khurafat serta kepercayaan karut marut.
Ajaran Khurafat Mencemarkan Medan Dakwah
Keadaan dunia yang sedang kita lalui pada hari ini yang penuh dengan kecelaruan, penipuan, fitnah dan juga krisis atau bencana kebiasaannya berpotensi melahirkan para penglipur lara (wu’az) dengan pembawaan cerita pelik-pelik, petua janggal dan amalan karut sejak zaman berzaman.
Mereka seringkali berselindung di sebalik kata-kata seperti ikhtiar, azimat, perisai zaman fitnah dan sebagainya walhal hakikatnya sumber mereka diragui, nak minta dalilnya apatah lagi, malahan ‘kitab’ yang dirujuk itu boleh jadi ialah kitab ilmu sihir yang penuh dengan amalan khurafat.
Segelintir pengikut dan masyarakat awam pula mudah terpengaruh dan terpesona apabila melihat testimoni, ataupun amalan tersebut yang dikatakan ‘mujarrab’ hanya kerana melihat ianya sesuatu yang ajaib dan malar hijau (evergreen), meskipun manteranya pelik, kelakuannya jelik, ucapannya sukar difahami dan dicapai oleh logik akal.
Imam Ibn Sirin turut mengisahkan fenomena ini, yang melanda khususnya tatkala berlaku bencana kebanjiran hadis-hadis palsu oleh para penglipur lara:
“Sebelum ini tidaklah ditanyakan berkaitan sanad, akan tetapi apabila timbulnya fitnah (fenomena hadis palsu umpamanya), maka akan diperkatakan: Senaraikan perawi anda. Maka akan diteliti jika mereka ialah ahli Sunnah maka akan diambil periwayatan mereka, sebaliknya jika ahli bidaah tidak akan diambil.”
Akhlak Cerminan Dakwah
Pada sisi yang lain, terdapat segelintir pendakwah yang ramai pengikut dilihat sinonim dengan maki hamun dan carutan di meja kuliahnya. Baru-baru ini, ada pendakwah yang menggelar mereka yang tidak sependapat dengannya dengan gelaran yang amat berat. Tergamak beliau mengucapkannya di dalam rumah Allah?! Ada juga pendakwah yang sinonim dengan kalimat ‘bodo’ yang sering meniti di bibirnya terutamanya apabila hendak menempelak orang yang tidak sependapat dengannya. Orang Melayu zaman berzaman sinonim dengan kesantunan budi pekerti dan kehalusan bahasa, dari mana pula datangnya pendakwah yang kaki maki ini?!
Ada untungnya membeli pasu
Pecahnya tidak sulit berganti
Ada untungnya bermulut bisu
Marahnya tidak memaki-maki
Pantun ini antara lain menyatakan lebih baik bermulut bisu daripada mampu bercakap akan tetapi yang terbit dari mulutnya adalah caci maki. Ini ialah pedoman yang amat penting dan berharga untuk semua lapisan masyarakat yang dipinjamkan nikmat mulut dan lidah oleh Tuhan untuk berbicara, apatah lagi bagi seorang figura awam berstatus pendakwah yang petah berbicara dan berkata-kata di khalayak.
Medan ceramah yang sepatutnya menjadi wahana tazkirah dan mau’izah untuk memberi peringatan kepada masyarakat, namun dijadikan pentas untuk mencaci dan memaki. Pada pandangan saya, tidak mengapa jika seseorang pendakwah hendak tegas dengan pendirian, lantang menyuarakan pandangan terutamanya jika melibatkan kepentingan umum dan mengkritik pihak lain dengan hujah ilmiahnya, namun mencaci dan memaki sudah melampau dan terkeluar daripada batas adab berbeza pandangan. Nabi SAW sendiri apabila berbicara berkenaan sesuatu perkara yang penting, adakalanya sampai merah muka Baginda SAW.
Namun demikian, Baginda SAW turut menegaskan dalam sebuah hadis:
“Seorang mukmin itu bukanlah orang yang suka mencela, suka melaknat, suka berperilaku keji dan suka berkata kasar.”
Oleh yang demikian, fenomena segelintir usleb yang mencemarkan ajaran agama dengan kekarutan ataupun akhlak buruk mereka seharusnya ditangani dengan saksama. Justeru, masyarakat awam perlu lebih cakna dan bijak menapis sebarang ajaran yang dibawa oleh segelintir pendakwah selebriti. Ini kerana, lambakan maklumat dan pengajian bernuansa agama, ditambah lagi dengan ledakan teknologi dan aplikasi media sosial membuatkan proses tapisan itu menjadi amat sukar dan rumit sekali. Justeru, ia bergantung kepada kebijaksanaan masing-masing.
Ingat pesan imam mazhab kita (di Malaysia) iaitu Imam al-Syafie yang berpesan:
“Adakalanya seseorang itu mengulas tentang sesuatu disiplin ilmu, yang mana jika sekiranya beliau menahan diri daripada menuturkan sebahagiannya, maka menahan diri itu lebih utama dan lebih dekat dengan kesejahteraan untuk dirinya in sya Allah.”
Imam Ibn Hajar al-Asqalani juga menitip pesan yang serupa:
“Jika seseorang itu bercakap pada sesuatu perkara yang bukan bidang (kepakarannya), maka dia akan membawa perkara-perkara yang ajaib (pelik-pelik).”
Justeru, ukuran status keilmuan mestilah berasaskan neraca yang benar, iaitulah yang paling utama nilai takwa dan amanah, bukan jubah mahupun kopiah (imej luaran), kepetahan berkata-kata, bilangan pengikut, bilangan ‘like’ dan seumpamanya. Para usleb dan selebriti dakwah pula perlu memanfaatkan kedudukan mereka di mata masyarakat dengan menyebarkan ilmu dengan penuh amanah, berhikmah dan mempamerkan akhlak yang santun.