Ilmu Demi Memelihara Hak Harta

Penulis: Dr. Muhammad Shahrul Ifwat bin Ishak, Pensyarah UniSZA.

Kisah Musa dan Khidir alaihimassalam bukanlah sesuatu yang asing dikalangan umat Islam. Dalam surah Al-Kahfi, kisah yang mengandungi 24 ayat ini dimulakan dengan perjalanan Nabi Musa alaihissalam bersama fata (pembantu) beliau mencari hamba soleh (Khidir alaihissalam) yang diwahyukan Allah. Perjalanan yang digambarkan tidak mudah itu menyaksikan berlaku peristiwa aneh serta mendatangkan cabaran buat mereka. Setelah berjaya bertemu Khidir alaihissalam dan dipersetujui syarat yang dikenakan iaitu tidak boleh bertanya, maka bermulalah proses menuntut ilmu antara mereka. Ia bukanlah sesuatu yang diajar di dalam kelas, namun subjek pengajiannya adalah kehidupan. Tiga peristiwa yang ditempuhi oleh Nabi Musa alaihissalam kelihatan ganjil di mata kasar manusia, hingga menyebabkan berkali-kali baginda melanggar syarat yang ditetapkan.

Antaranya kisah mereka singgah di sebuah perkampungan. Perjalanan yang jauh menjadikan mereka kelaparan dan keletihan. Maka, mereka cuba memohon simpati daripada penduduk kampung agar memberi sedikit makanan. Malangnya layanan terhadap mereka berdua adalah sebaliknya. Ini disebutkan dalam Al-Quran:

فَانطَلَقَا حَتَّىٰ إِذَا أَتَيَا أَهْلَ قَرْيَةٍ اسْتَطْعَمَا أَهْلَهَا فَأَبَوْا أَن يُضَيِّفُوهُمَا

“Maka keduanya berjalan; hingga tatkala keduanya sampai kepada penduduk suatu negeri, mereka minta dijamu kepada penduduk negeri itu, tetapi penduduk negeri itu enggan menjamu mereka.” (al-Kahfi: 77)

Begitu teruk layanan masyarakat setempat terhadap orang yang bermusafir dan berada dalam kesusahan seperti mereka. Ini jelas sekali bertentangan dengan sifat yang sepatutnya, di mana orang kelaparan dan keletihan tidak boleh dibiarkan, apatah lagi mereka adalah musafir. Walaupun Nabi Musa dan Khidir alaihimassalam sampai ke tahap meminta-minta, namun tiada siapa yang ingin menjadikan mereka sebagai tetamu. Seterusnya, mereka berdua meneruskan perjalanan hinggalah tiba di sebuah tembok. Ia kelihatan hampir runtuh. Sekali lagi Khidir alaihissalam melakukan sesuatu yang ganjil.

فَوَجَدَا فِيهَا جِدَارًا يُرِيدُ أَن يَنقَضَّ فَأَقَامَهُ ۖ قَالَ لَوْ شِئْتَ لَاتَّخَذْتَ عَلَيْهِ أَجْرًا

“Kemudian keduanya mendapati di dalam negeri itu sebuah tembok yang hampir roboh, lalu (Khidir)membangunkannya kembali. (Musa) Berkata: “Jika engkauingin, niscaya kamu boleh mengambil upah untuk itu.” (al-Kahfi: 77)

Begitu aneh apa yang dilakukan Khidir alaihissalam. Tembok yang hampir runtuh itu dibangunkan kembali. Layanan buruk masyarakat setempat, namun Khidir alaihissalam membalas dengan kebaikan. Bagi Nabi Musa alaihissalam, tindakan tersebut tidak setimpal maka baginda terus mencadangkan kepada beliau agar mengambil upah. Walaubagaimanapun, itulah ungkapan yang membawa perpisahan mereka berdua kerana tersirat padanya mempersoalkan. Namun, Khidir alaihissalam akan menjelaskan satu persatu hikmah tersirat daripada perbuatannya itu.

قَالَ هَٰذَا فِرَاقُ بَيْنِي وَبَيْنِكَ ۚ سَأُنَبِّئُكَ بِتَأْوِيلِ مَا لَمْ تَسْتَطِع عَّلَيْهِ صَبْرًا

“(Khidir) Berkata: “Inilah perpisahan antara aku dengan kamu; kelak akan akan aku sebutkan apa yang tersirat perbuatan-perbuatan yang kamu tidak dapat sabar terhadapnya.” (al-Kahfi: 78)

Hakikatnya, tembok tersebut bukanlah sebarang binaan, namun tertanam di bawahnya sesuatu yang amat berharga. Ia merupakan harta seorang bapa yang telah meninggal dunia untuk diwarisi oleh anak-anaknya kelak. Bapa tersebut digambarkan sebagai seorang yang soleh. Jika tembok tersebut runtuh maka pasti harta yang berada di bawahnya terdedah. Dengan keadaan masyarakat yang terkenal dengan sifat kedekut itu, sudah pasti mereka akan mengerjakan harta itu jika melihatnya. Justeru itu, tanpa disuruh apatah lagi diminta upah, Khidir alaihissalam membangunkan kembali tembok tersebut. Ia diharap mampu melindungi harta anak yatim yang tertanam di bawahnya. Ini merupakan wahyu daripada Allah subhanahuwataala agar harta tersebut terpelihara. Ini juga merupakan ganjaran terhadap bapa yang soleh itu dan serta rahmat buat anak yatim yang memerlukan harta tersebut untuk kehidupan mereka kelak.

Selain daripada nilai-nilai masyarakat, kisah ini turut memperlihatkan betapa pentingnya hak-hak berkaitan harta dalam kehidupan. Hak-hak ini mesti dipastikan ia sampai kepada tangan yang layak. Menerusi kisah ini, Khidir alaihissalam melalui wahyu telah melakukan sesuatu agar hak harta tersebut sampai kepada mereka yang berhak. Dalam Islam, perihal berkaitan harta, wang dan urus niaga kewangan amat dititik berat. Harta itu padanya ada hak untuk dikeluarkan. Justeru itu, tidak hairanlah ilmu berkaitan harta seperti ilmu mirath dan ilmu zakat diperincikan dengan begitu detail berdasarkan Al-Quran, Al-Hadith dan disusun oleh ulama. Dalam masa yang sama, walaupun urusniaga kewangan atau turut dikenali sebagai muamalat dalam Islam itu bersifat anjal dan fleksible, namun syarat-syarat berkaitan transparansi amat dititik beratkan. Ini penting agar proses kewangan berlaku dengan keredhaan antara orang yang terlibat dengan kontrak, juga agar tidak membawa kepada memakan harta secara batil.

Ilmu berkaitan Harta

Ini mengingatkan saya kisah sewaktu menuntut ilmu di Universiti Aberdeen, Scotland suatu Ketika dahulu. Saya diminta ke pejabat penyelia, Dr Dawoud El-Alami. Beliau berminat dengan slide perbentangan Maqasid al-Shariah yang saya bentang pada hari sebelum ini. Maka, beliau meminta saya ‘re-organized’ slide beliau. Tiba di perpustakaan, rupa-rupanya slide tersebut berkaitan mirath (pusaka). Patutlah beliau meminta saya permudahkan. Ia bagus juga, boleh saya ulang kaji mirath, cuma saya terfikir macam manalah ‘tok syeikh’ ni nak mengajar tajuk ini kepada orang putih. Sekitar sejam, setelah berjaya disiapkan, saya kembali ke pejabat beliau, menyatakan apa yang saya terfikir.

Dr Dawoud mengakui ia mencabar, cuma berdasarkan pengalaman beliau ada seorang gadis non-Muslim, beri apa sahaja soalan berkaitan mirath, beliau akan dapat jawab dengan tepat. Begitu juga ada seorang pensyarah bukan Islam, kata Dr Dawoud banyak penulisan beliau mengharmonikan undang-undang English dan Islam. Beliau merupakan pakar dalam mirath, bahkan mahkamah akan merujuk beliau jika ada kes yang melibatkan Muslim dalam hal ini. Terfikir saya, di mana pakar Muslim dalam bidang ini?

Saya juga teringat beberapa tahun yang lalu tatkala menuntut di peringkat master di Universiti Ali Al-Bayt. Dalam kelas subjek Syahadah (penyaksian) bersama Dr Ali Umari, tiba-tiba datang seorang pelajar.

“ Assalamualaikum.. Maaf ganggu.. Dr A.… minta engkau selesaikan masalah mirath ini”

Setelah berjaya masalah tersebut di papan hitam agar kami juga beroleh manfaat dan setelah orang yang bertanya itu beredar, beliau berkata kepada kami.

“Mirath adalah ilmu yang sangat penting dan ia antara ilmu yang dilupakan manusia termasuk orang agama. Jika dikalangan pensyarah universiti pun ada yang tidak mampu menyelesaikannya apatah lagi bagi pelajar biasa” 

Ketika itu, ada juga dikalangan kami yang mencelah dengan menyatakan bahawa ilmu mirath ini tidak penting kerana manusia sudah menghasilkan alat pengiraan yang moden dan canggih, namun hujjah ini disanggah oleh Dr Ali bahawa tidak kira secanggih mana pun mesin kiraan, apabila ia adalah Ilmu Fiqh maka ‘akal’ manusia diperlukan. Akal untuk memahami nas dan akal untuk memahami keadaan yang ingin dihukumkan itu. Kesimpulan Dr Ali, semua berkaitan harta adalah penting untuk dipelajari oleh agamawan.

Ia benar apatah lagi dunia kita pada waktu kini dikelilingi oleh golongan materialistik yang obses mengejar harta. Silap hari bulan, halal haram semua dilanggar demi memenuhi nafsu mereka. Maka menjadi satu keperluan agar wujudnya kelompok agamawan yang ikhlas dan faqih dalam urusan berkaitan harta dan wang. Ini penting bagi mengenal pasti kekeliruan yang ditimbulkan menerusi proses kewangan atau perpindahan harta, juga demi menyedarkan manusia betapa memakan wang secara batil itu pedih azabnya kelak.

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Artikel Terkini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *