Ke Mana Hala Tuju Universiti Kita?

Penulis: Dr. Sahul HM


Ini persoalan serius yang perlu ditelaah dan diteliti oleh YAB Perdana Menteri ke-10 (PMX) jika mahu aspirasi yang diimpikan dalam gagasan Madani dapat direalisasikan. Bukan PMX tidak mengerti akan politik universiti kerana beliau sendiri lahir daripada pergulatan dalam universiti sehingga membawanya ke kebun getah di Baling suatu masa dahulu. Natijah daripada demonstrasi Baling 1974 itulah kemudiannya dipinda Akta Universiti dan Kolej Universiti pada 1975 bagi menyempitkan ruang juang para mahasiswa universiti. AUKU digunakan bagi menyekat suara mahasiswa yang lantang menentang penguasa baik di universiti mahupun di dunia realiti. Namun, di sebalik cengkamannya, ramai juga mahasiswa yang memecah belenggu AUKU, bangkit dan menjerit di tengah jalan raya bagi membantah kebobrokan penguasa dalam setiap zaman. Dalam Parti Keadilan Rakyat sendiri, beberapa pemimpin Angkatan Mudanya ialah produk daripada perjuangan di luar bilik kuliah.


Walau bagaimanapun, wahai YAB PMX, bukanlah makalah yang ringkas ini bertujuan untuk membicarakan AUKU atau perjuangan mahasiswa, sebaliknya ingin membawa YAB PMX kepada realiti lain yang sedang berlaku dalam pagar universiti, terutamanya kepada para tenaga akademiknya yang semakin lemau atau dibonsaikan oleh dasar yang tersasar daripada tujuan sebenar pembinaan universiti. Tujuan sebenar universiti bukan menjadi kilang. Universiti bukan tempat melatih buruh mahir. Universiti bukan pusat perniagaan. Universiti bukan pusat perlumbaan.


Universiti ialah pusat untuk mengembangkan daya intelektual para mahasiswa, yang dipandu oleh para tenaga akademiknya, yang dulunya digelar para sarjana. Istilah ‘intelektual’ itu sendiri terbuka untuk dibahaskan daripada pelbagai perspektif para sarjana terkemuka seperti Plato, Malek Bennabi, Syed Hussein Alattas, Clark Kerr dan Ali Syariati. Namun, kesemua sarjana ini menuju kepada poin deduksi yang sama: intelektual ialah orang yang berilmu, lalu menggunakan ilmunya bagi memikirkan pelbagai permasalahan manusia di sekelilingnya dan mampu pula mencadangkan idea penyelesaian bagi mengatasi kebejatan dan kerancuan yang wujud.


Masihkan para pensyarah di universiti hari ini layak digelar para intelektual yang memikirkan permasalahan rakyat atau mereka kini hanyalah sekumpulan pekerja yang bekerja demi kemajuan kerjayanya, dengan memenuhi segala syarat kenaikan gaji dan pangkat yang digubal oleh para pentadbir universiti? YAB PMX, cubalah dapatkan referendum daripada para pensyarah di universiti secara umumnya dan dengarlah luahan hati mereka yang semakin hari merasakan bahawa menjadi pensyarah di universiti adalah untuk memenuhi ‘Key Performing Index’, bukannya untuk mengajar, menyelidik dan berkarya dengan bebas. Poin paling utama di sini adalah berkarya dengan bebas.

Ya, tidak dinafikan bahawa pihak universiti memberikan kebebasan kepada para pensyarah bagi berkarya dan menulis di mana-mana ruang selagi tidak menyentuh sensitiviti ‘Tiga R – Race, Religion, Royal’, tetapi ada isu yang lebih penting daripada itu. Satu hal yang sering dibincangkan oleh para pensyarah universiti adalah penurunan ketara terhadap penilaian buku akademik (atau separa akademik) sebagai alat pencerah dan penyebar ilmu.

Tahukah PMX bahawa di kebanyakan universiti di Malaysia ini (melalui pengalaman, pengamatan dan perbualan), buku tidak lagi penting, sepenting artikel jurnal? Apakah buku besar sebesar Jejak-jejak di Pantai Zaman oleh Ungku Aziz atau Intelektual Masyarakat Membangun oleh Syed Hussein Alattas ataupun Mahasiswa Menggugat oleh Mohammad Abu Bakar yang pernah diterbit dan diwacanakan di bumi Malaysia sejak kebelakangan ini? Cuba namakan beberapa buku, yang terbit daripada universiti, dan memberikan impak atau menjadi perbualan hangat dalam kalangan rakyat terbanyak?


Mengapa ini berlaku? Ada sebabnya. Kerana buku tidak lagi menjadi parameter penting bagi khalayak akademia universiti. Yang dikejar dan disoal kini adalah, berapa banyak artikel jurnal yang diterbitkan? Dan daripada yang diterbitkan itu, berapa pula yang berstatus Scopus dan berapa pula yang berstatus WOS (Web of Science)? Daripada yang Scopus dan WOS itu pula, apa Qnya – Q1, Q2, atau tiada Q?
Penulis tidak menafikan kepentingan artikel jurnal berimpak tinggi ini, tetapi mempersoalkan mengapa syarat ini digunapakai terhadap keseluruhan warga akademia sedangkan keperluan bagi setiap bidang adalah berbeza? Bagi bidang sains sosial dan kemanusiaan, sudah semestinya yang menjadi produk yang dicari oleh masyarakat umum di luar sana adalah buku, bukan artikel jurnal.

Pernahkah kita melihat mana-mana orang di luar sana yang memegang helaian artikel jurnal berkaitan agama, sejarah, sains politik atau sosiologi dan menjadikannya bahan bacaan? Penulis belum pernah, melainkan yang memegang itu adalah mereka yang masih mengaji di universiti dan dalam kerangka sedang menyiapkan tugasan ataupun disertasinya. Tetapi sudah banyak kali penulis nampak di dunia sebenar atau di media sosial perkongsian tentang buku-buku yang sedang dibaca di meja makan di rumah, di dalam tren ataupun di kedai sambil menghirup kopi.


Apakah kita tidak sedar atau buat-buat tak sedar bahawa yang memiliki dan menguasai sekian badan penilai dan pengukur artikel tersebut ialah entiti perniagaan yang dikuasai oleh para peniaga? Kita menyelidik, menulis kemudian dinilai, sebelum terbit. Tetapi hasil penerbitan itu langsung tidak dibayar, malah dikenakan pula bayaran langganan oleh para pemilik jurnal dan badan penilai tersebut. Sebagai contoh, yang mengawal WOS adalah sebuah syarikat bernama Clarivate. Ia merupakan entiti perniagaan yang bermotifkan keuntungan dan mempunyai para pemegang saham yang mempunyai kepentingan perniagaan. Melihat kepada senarai ahli lembaga pengarahnya sahaja sudah memberikan kita bayangan ‘kekapitalisannya’ kerana dikuasai oleh para eksekutif kewangan dan industri pemasaran. Dalam zaman internet dan dibantu pula oleh AI hari ini, bukannya susah untuk kita menyelidik motif syarikat sebegini.

Tetapi para penguasa universiti memilih untuk tidak mengendahkannya, asalkan dapat memenuhi KPI masing-masing, dan dengan KPI itu dapat pula menikmati kenaikan gred dan macam-macam peluang yang terbentang di hadapan.


Mungkin ada yang boleh berhujah, “Ah, para sarjana besar di barat juga menulis di jurnal sebelum menghasilkan buku yang sohor!” Benar, tetapi ketika mereka mula-mula menulis di jurnal puluhan tahun yang lalu, tiada sistem penilaian seperti Scopus dan WOS ini. Mereka bebas menulis dalam mana-mana jurnal yang difikirkan sesuai dengan bidang kepakaran dan diiktiraf oleh ‘peer’ mereka. Tetapi mereka ‘menjadi besar’ kerana buku, bukan artikel jurnal. Noam Chomsky mula menulis artikel dalam jurnal ‘Language’ pada 1956, sebelum menghasilkan artikelnya yang terkini dalam jurnal ‘New Political Economy’ pada 2021. Tetapi masyarakat tidak mengenali beliau daripada jurnalnya, mereka mengenali Chomsky daripada bukunya seperti ‘Manufacturing Consent’ dan ‘Failed States’.

Begitu juga Samuel Huntington, yang menuangkan idea awal beliau tentang pertembungan antara tamadun dalam sebuah jurnal, tetapi meletup ideanya setelah ia menjadi buku, bertajuk ‘The Clash of Civilization…’. Begitu juga ‘Animal Farm’ oleh George Orwell, sebuah buku, bukan artikel jurnal. Walaupun ia adalah buku popular, bukannya akademik, tetapi ia menjadi rujukan penting dalam bidang kemanusiaan sehingga ke Oxford. Malah, Stephen Hawking, seorang ahli fizik terkemuka, dikenali dan diselidiki oleh orang awam bukan kerana mana-mana artikel dalam jurnal tetapi kerana bukunya yang merakyat, ‘A Brief History of Time’!

Banyak lagi yang ingin diluahkan di sini, wahai YAB PMX, tetapi ruangnya terbatas dan bimbang pula nanti diherdik orang atasan. Lalu kita kembali kepada persoalan yang paling awal ditanya: ke mana sebenarnya hala tuju universiti kita? Apakah masa depan gedung-gedung ilmu ini jika keadaan sebegini dibiar berterusan?

Bukankah ilmu di universiti perlu dirakyatkan, bukan sekadar digendong dan digomoli oleh sebilangan kecil pensyarah dalam pagar universiti? Jurnal artikel, yang membacanya hanya beberapa orang, daripada penulis kepada editor, sampailah kepada penilainya. Selebihnya, ia terperuk sepi dalam rak atau dalam ruang maya server dalam bentuk digital.


Tercerahkah masyarakat dengan cara itu wahai YAB PMX?

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Artikel Terkini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *