Penulis: Dr Sahul HM
Kita ini semua anak-anak demokrasi, yang lahir daripada kantung demokrasi berparlimen selepas negara ini beralih daripada monarki sejak, setidak-tidaknya, 1957. Berbeza dengan monarki yang meletakkan kuasa pemutus hala tuju negara kepada rajanya, demokrasi meletakkan kuasa pemutus hala tuju tersebut kepada rakyatnya yang layak mengundi.
Demokrasi secara mudah bermaksud kuasa rakyat. Kuasa rakyat untuk apa? Kuasa rakyat untuk memilih sekumpulan manusia dalam kalangan mereka sendiri yang diyakini berupaya untuk menjalankan kerja-kerja mengurus tadbir negara melalui pilihanraya. Tugas rakyat terbatas setakat itu. Selepas dipilih, kumpulan manusia dalam bentuk parti politik, yang dinamakan sebagai ahli Dewan Rakyat dalam sistem demokrasi Westminster yang kita anuti tersebut akan membentuk sebuah kerajaan dengan memilih seorang wakil di antara mereka yang dipercayai mempunyai karisma dan kekuatan sebagai ketua untuk dilantik sebagai Perdana Menteri. Kesemua proses ini dijamin dan dibenarkan oleh sebuah dokumen yang dikenali sebagai Perlembagaan Persekutuan.
Beberapa peruntukan dalam Perlembagaan kita memaktubkan perihal pelantikan Perdana Menteri, berserta jemaah menteri yang mengiringi pentadbiran Perdana Menteri tersebut. Ia bermula dengan Perkara 40(2) yang memberi kuasa budi bicara (prerogatif) kepada Yang Dipertuan Agong (YDPA) untuk melantik seorang Perdana Menteri. Ia kemudian bersambung pula di Perkara 43 yang meletakkan syarat terhadap calon Perdana Menteri tersebut. Perkara 43(2) tersebut mensyaratkan bahawa calon Perdana Menteri tersebut hendaklah, pada hemat Baginda YDPA, orang yang mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.
Selepas dilantik, Perdana Menteri tersebut pula harus mempertahankan dan melaksanakan fungsi jawatan tersebut sehinggalah ia didapati tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, berdasarkan peruntukan Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan. Apabila tidak lagi dipercayai, maka Perdana Menteri perlu meletakkan jawatannya, lalu bermulalah semula kitaran pemilihan seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan tersebut.
Secara perlembagaannya, seseorang ahli Dewan Rakyat yang dilantik sebagai Perdana Menteri memang boleh terlucut jawatannya jika dapat dibuktikan tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti. Inilah sebenarnya desas desus yang sedang bertiup semenjak dua ini, bahawa Perdana Menteri sekarang yang digelar PMX sudah hilang kepercayaan ahli Dewan Rakyat kerana beberapa ahli Dewan Rakyat daripada pihak kerajaan didakwa sudah mengalihkan sokongan kepada parti pembangkang iaitu Perikatan Nasional (PN).
Akhbar dalam talian pernah melaporkan, antaranya pada 6 Mac 2023, kenyataan Presiden PAS TS Haji Hadi Awang bahawa memang terdapat usaha untuk menjatuhkan kerajaan ini. Bertebaran juga dalam group Whatsapp dan media sosial kenyataan seumpama ini, bahawa kerajaan perpaduan yang diterajui oleh PMX bakal tumbang. Lebih menarik, ada group Whatsapp yang bersungguh-sungguh membicarakan perihal ini dengan ahlinya yang ghairah memberi pandangan bahawa, menurut semangat demokrasi dan peruntukan perlembagaan, pertukaran Perdana Menteri ini adalah dibenarkan. Sebagai tambahan, dikatakan pula bahawa tiada apa-apa yang salahpun jika Perdana Menteri dan kerajaan kerap bertukar, “sehinggalah kita mendapat kerajaan yang terbaik,” bunyinya.
Benar, perlembagaan tidak menghalang dan benar juga bahawa sistem demokrasi berparlimen memang membataskan pilihan rakyat sekadar untuk memilih wakil rakyat, bukan menentukan Perdana Menterinya.
Cuma soalan yang boleh ditanya kepada bijak pandai sedemikian ialah, apa masalahnya sehingga kerajaan nak dijatuhkan dengan sedemikian rupa? Ada ancaman apa? Atau ancaman kepada siapa, kepada bangsa atau agama? Kalau ada, mana buktinya? Takkanlah baru enam bulan mentadbir tiba-tiba segalanya boleh bertukar menjadi buruk?
Ya, tidak semuanya bertambah menjadi baik sejak enam bulan ini, tetapi tiada bukti atau fakta yang menunjukkan Malaysia menjadi bertambah buruk dalam tempoh enam bulan ini. Kalau ada, kemukakan dengan telus dan tulus. Apakah disebabkan perlembagaan tidak menghalang, maka kita perlu melakukannya? Perlembagaan juga tidak menghalang untuk ahli Dewan Rakyat meletakkan jawatan dan memberikan laluan untuk calon lain bertanding semula dalam pilihanraya kecil (memang penah berlaku!), tetapi adakah kita mahu melakukannya dengan semberono, tanpa alasan yang kukuh? Bukankah dangkal dan bodoh pendapat yang menggalakkan ia berlaku hanya atas sebab “perlembagaan tidak menghalang”?
Pertukaran kerajaan berlaku di banyak negara demokrasi, seperti di Jepun dan United Kingdom (UK)misalnya, tetapi ia berlaku atas faktor kegagalan kerajaannya berfungsi dengan baik atau kerajaan dirundung skandal yang teruk.
Paling klasik, mentor demokrasi Westminster, United Kingdom (UK), menyaksikan Perdana Menterinya Liz Truss meletakkan jawatan akibat ditekan oleh ahli Dewan Rakyat atas kegagalan pelan reformasi ekonominya yang menyaksikan mata wang Pound Sterling merudum dan menggoncang sistem kewangan UK, pada Oktober 2022.
Adakah kerajaan perpaduan yang ada pada hari ini melakukan kesilapan fatal sedemikian? Tentunya tidak. Jika Pakatan Harapan dikatakan tidak berpengalaman mentadbir, maka Barisan Nasional ada untuk mengimbangi kekurangan itu. Jadi apa masalahnya?
Nah, kalau dikatakan pula Barisan Nasional (BN) banyak terpalit kes rasuah sehingga tidak melayakkan ia menjadi kerajaan, maka bagaimana pula dengan kenyataan media Perikatan Nasional menjelang fajar 20 November 2022 yang mendakwa berjaya membentuk kerajaan bersama-sama BN? Adakah ketika itu BN masih suci dan kudus, tetapi tiba-tiba terjerumus ke lembah yang hina dalam tempoh enam bulan ini?
Demikianlah pelbagai persoalan yang dapat ditimbulkan bagi menghadapi kerja-kerja gila ini. Tetapi soalan akan tinggal soalan, kerana jawapannya tidak dapat disediakan dengan tepat, melainkan hanya helah, tepisan dan lencongan yang akan dihadapkan.
Demokrasi yang rohnya ingin menyediakan upaya kepada rakyat memilih pemimpin kini dieksploitasi ruang dan peluangnya bagi mewajarkan tindakan para pemain politik. Kerajaan perlu disemak imbang, ditegur, dikritik dan malah perlu ditukar apabila tiba masanya. Masanya ialah sewaktu pilihanraya akan datang, kerana kontrak pelaksanaan yang diberikan adalah selama lima tahun, bukan lima bulan. Jika ia masih tidak dipenuhi waktu itu, ayuh kita gerakkan semula peranan demokrasi kita dengan bebas dan merdeka. Sehingga tiba saat itu, sabar dulu, jangan gelupur!