Kenapa Sebenarnya Orang Melayu Mundur?

Penulis: Fathi Aris Omar

Kita boleh mendalami falsafah Barat yang rumit-rumit dan kita boleh mempelajari kitab tafsir yang tebal-tebal. Semua ini bukan lagi misteri jika kita menggali dan menekuninya.

Tetapi masalah orang Melayu dan kemundurannya, dalam pelbagai bidang dan di segenap peringkat, terus menjadi misteri. Ia masih lagi menjadi rahsia tersembunyi yang tidak diketahui dan tidak dikenali bangsa ini.

Ia seolah-olah misteri terbesar dunia yang tidak dibongkar, maka tidaklah dapat dibincang dengan mendalam dan perinci. Tetapi kita selalu menyebutnya dan merungut tentang nasib malang Melayu.

Hampir semua orang politik bercakap soal betapa mundur dan terkebelakangnya bangsa ini berbanding bangsa-bangsa lain, malah semua orang Melayu dapat merasai ada sesuatu yang tidak kena pada bangsanya.

Tetapi setakat itu sahajalah, setakat bercakap-cakap, membebel-bebel dan merungut-rungut. Kemudian, mungkin, mencari siapa yang salah? Orang politikkah, ustazkah, gurukah, mediakah atau kaum pendatangkah?

Kalau kita kumpul seluruh cendekiawan dan cerdik pandai Melayu dalam satu pertemuan besar untuk mengupas masalah kemunduran bangsa, pastilah mereka ini hanya mampu bercakap dan merungut juga!

Yakni, cakap-cakap kedai kopi yang diseminarkan atau sembang kosong yang dipersidangkan sahaja.

Seolah-olah masalah terbesar orang Melayu bukanlah kemalasan atau mudah lupa seperti kata Tun Dr Mahathir Mohamad, atau kurang kemahiran, atau kurang modal, atau kurang keazaman, tetapi terlalu banyak bercakap!

Yakni, bercakap sebagai luahan perasaan dan lontaran pandangan selapis, klise dan sudah sedia maklum; bukan kajian mendalam dan tersusun; bukan berdasarkan fakta atau temuan lapangan.

Saya yakin masalah paling agung dan paling misteri orang Melayu berada di sini: pada cakap-cakap tanpa kajian dan bedah siasat isu-isu utama kemunduran bangsa.

Oleh itu, selagi kita tidak berhenti bercakap kosong, selagi kita suka mencari-cari salah orang tetapi enggan memuhasabah diri sendiri, selagi kita tidak membuat kajian dan menjalankan penyelidikan tentang kemunduran yang membelenggu ini, selagi itulah “takkan hilang [kemunduran] Melayu di dunia ini”.

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Artikel Terkini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *