Oleh: Syeikh Ahmad al-Raisuni
Penterjemah: Luqman Tarmizi
Menurut kaca mata Islam, ilmuwan dan ulama menempati kedudukan yang amat tinggi. Mereka merupakan pemegang kuasa yang hakiki yang mempunyai kedudukan tertinggi dan autoriti untuk memimpin.
Para ulama juga merupakan pewaris para Nabi, dan tugas utama para Nabi ialah memberi peringatan tanpa mengharap balasan, memikul tugas menyucikan hati manusia, membawa mesej Islam, menegakkan keadilan dan mengislahkan masyarakat. Dalam hal-hal inilah golongan ulama dianggap sebagai penerus legasi kenabian.
Islam juga menggariskan bahawa seorang ulama itu mesti takut kepada Allah SWT melalui firman-Nya:
إِنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاءُ ۗ
Maksudnya: Sesungguhnya orang yang sebenar-benarnya takut kepada Allah dalam kalangan hamba-Nya adalah para ulama.
Surah Fatir (28)
Malangnya, tidak semua ulama memenuhi kriteria yang Islam tetapkan ini.
Jangan berdiam diri daripada menegur kesalahan dan penyelewengan ulama
Meskipun para ulama itu merupakan golongan yang mulia dan terpercaya, mereka tetap tidak boleh lari daripada terkesan dengan pengaruh negatif di sekeliling mereka, kerana mereka hanyalah manusia biasa, seperti firman-Nya dalam Surah al-Ma’idah ayat lapan: بَشَرٌ مِّمَّنْ خَلَقَ yakni manusia ciptaan Tuhan jua.
Justeru, demi mengekalkan kemuliaan institusi ulama dan untuk menyekat penularan anasir perosak dalam kalangan mereka, para ulama mestilah tertakluk kepada kritikan dan peringatan setiap kali wujudnya kerosakan pada diri mereka.
Kesarjanaan para ulama tidak menjadikan mereka kebal daripada kritikan, bahkan sebaliknya, keilmuan mereka itulah yang mewajibkan kritikan, sanggahan dan pembongkaran terhadap kesalahan dan kealpaan mereka.
Status sebagai ulama tidak boleh menyebabkan mereka kebal daripada kritikan dan muhasabah ke atas penyelewengan dan kemudaratan yang mereka lakukan terhadap agama dan umat Islam. Seorang alim itu mesti disedarkan bahawa rakan-rakan seangkatannya sentiasa mengawasi, dan umat Islam seluruhnya sentiasa memantau.
Tatkala seorang alim itu merasakan bahawa tiada yang mengawasi dan memantau tindak tanduknya, tiada yang berani dan sanggup menegurnya, maka ketika itulah pintu ke arah kerosakan dan kediktatoran akan terbuka.
Ada satu kisah jenaka yang saya pernah dengar di Algeria dahulu, yang saya sering ceritakannya tatkala saya berbicara tentang kepentingan mengembalikan martabat ulama ini. Ada seorang ulama kontemporari di Algeria yang hadir ke satu majlis perkahwinan, dan tatkala dibawa kepada beliau air dan sabun untuk membasuh tangan, beliau dapati sabun itu kotor dan berlumut. Lalu beliau memanggil tuan rumah dan membuat lawak: “Hei, sabun ini perlu dibasuh dengan sabun!”
Ulama umpama sabun yang membersihkan umat mereka. Namun apa akan jadi pada kita jika ulama itu sendiri perlu kepada sabun pencuci untuk membersihkan kekotoran pada diri mereka?!
Oleh sebab itu, bukan satu keaiban atau kesalahan untuk kita menyeru para ulama supaya berusaha membersihkan sifat luaran dan akhlak mereka, meninggalkan segala penyakit serta menampung cacat-cela pada diri mereka.
*Diterjemah dan diadaptasi daripada kitab Risalah ila Ulama al-Islam oleh Syeikh Ahmad al-Raisuni, mantan ketua Kesatuan Ulama Sedunia