Penulis: Furqan Abdullah
Sejak kebelakangan ini, kita disajikan dengan pelbagai berita sensasi yang melibatkan isu rumah tangga. Yang lebih sensasi lagi apabila pasangan artis atau dalam kalangan orang berpengaruh yang menjadi subjek, maka seluruh dunia maya dan dunia nyata akan bercerita perihal ini.
Portal-portal berita, media elektronik dan akhbar tabloid akan berlumba-lumba menyajikan pelbagai berita, cerita, malah tidak kurang juga yang menjadi ejen adu domba seolah-olah mereka sahaja yang paling tahu, paling sahih dan berautoriti menyampaikan cerita terbabit.
Lebih memeritkan, segelintir pihak akan cuba menangguk di air yang keruh mengapi-apikan, melaga-lagakan dan melakukan provokasi murahan terhadap rumah tangga yang sedang dilanda krisis. Ia menjadi lebih parah apabila pihak yang sedang dilanda krisis kekurangan ilmu dan kemahiran dalam menangani konflik rumah tangga yang dialami.
Maka, bermulalah siri dan episod saling melondeh cerita-cerita sebalik tabir, atau lebih parah keaiban pasangan masing-masing terdedah sama ada secara sedar ataupun tidak. Api yang sedang marak disimbah lagi dengan minyak oleh para pengulas tak bertauliah dan warga maya yang seolah-olah langsung tiada masalah rumah tangga.
Saya teringat, ada dalam kalangan pendakwah popular yang menganjurkan seminar kekeluargaan dengan memperuntukkan suatu sesi bagi mengenang “dosa lampau” dan “aib sendiri / pasangan” yang sepatutnya ditutup serapat-rapatnya sebagaimana yang dipesan oleh Nabi SAW. Ia tidak wajar dicerita dan didedahkan secara terbuka di hadapan khalayak sedemikian meskipun dengan tujuan untuk memberi pengajaran. Matlamat tidak pernah menghalalkan cara. Ada cara dan kaedah yang lebih wajar untuk beri pengajaran kepada orang ramai.
Antara petikan sesi curahan hati dalam video promosi yang seringkali disebarkan oleh penganjur seminar dan diulang-ulang sebagai dorongan untuk orang ramai mendaftar dalam seminar tersebut:-
“Saya datang bersama-sama isteri saya. Saya sedang mengalami masalah tekanan emosi, ustaz. Sejak berkahwin berbelas-belas tahun, saya banyak buat perangai. Saya tak nak datang ke program ni, sebab saya yakin saya boleh berubah sendiri. Semalam sebelum datang ke program, saya bergaduh dengan isteri saya. Saya memang nak berubah, saya kesiankan dan sayangkan isteri saya.” Kata lelaki tersebut dengan nada yang penuh hiba.
“Baik, isteri abang mana? Boleh berdiri? Berikan tepukan gemuruh untuk abang ni,” kata “ustaz” tersebut.
Kemudian, mereka berdua berpelukan di khalayak dengan diiringi tepukan gemuruh orang ramai sambil ustaz tersebut menasihati mereka dan mendoakan kebahagiaan mereka.
“Bermula dengan, saya ada hubungan dengan wanita lain. Memang salah saya. Saya…” lelaki tersebut tidak mampu meneruskan kata-katanya, lalu ustaz tersebut memeluknya seraya berkata, “Memang kita buat silap, semua pun sama. Semua ujian tu sebab Allah sayang. Isteri abang mana? Angkat tangan.” Lalu mereka berpelukan dengan diiringi tepukan gemuruh.
Jika kita perhalusi dan meneliti maklum balas yang diberikan setelah masalah dan isu rumah tangga dikemukakan oleh individu-individu berkenaan, kita dapat melihat bahawasanya sesuatu permasalahan yang rumit tidak akan boleh diselesaikan hanya sekadar memberikan jawapan yang berbaur retorik. Tiada jawapan standard, minda binari dan ucapan simplistik boleh dikemukakan untuk menanggapi permasalahan yang kompleks dalam rumah tangga, atau dengan kata lain tiada istilah “one size fits all.”
Masalah tidak mungkin dapat selesai dengan hanya petikan jari, ataupun menerusi tepukan gemuruh hadirin. Malahan, tepukan itu sendiri sungguh tidak kena pada tempatnya, ia seolah-olah memperlihatkan bahawa penceritaan masalah, kisah silam dan perkara yang bersifat peribadi wajar mendapat tepukan gemuruh, disorak dan dialu-alukan.
Isu-isu berkaitan rumah tangga pada asasnya merupakan perkara eksklusif dan hanya perlu dikongsikan kepada khalayak tertentu, bukan dipertontonkan, apatah lagi dikomersialkan sebagai bahan promosi dan iklan untuk menarik orang ramai menyertai seminar ataupun program kekeluargaan, termasuklah dijadikan berita sensasi oleh sesetengah media.
Panduan Quran cukup jelas dalam hal ini, umpamanya apabila kita menyelak surah al-Nisa’ ayat 34 hingga 35, terlebih dahulu Allah SWT menegaskan seorang suami (pihak lelaki) sepatutnya memilik sifat al-Qawwam, iaitu yang memimpin, mengemudi dan mengawal rumah tangga.
Ini juga mengisyaratkan peranan penting seorang suami dalam mendepani krisis dan perlu berhikmah dan bijaksana dalam menanganinya. Kehidupan rumah tangga sememangnya ada pasang dan surutnya, namun tanpa sifat al-Qawwam, ia berpotensi untuk hanyut apabila dilanda badai.
Menerusi ayat ini juga, kita memahami bahawa sesuatu krisis atau konflik rumah tangga pada asasnya perlu diusahakan untuk diselesaikan sendiri oleh pasangan suami isteri tanpa campur tangan atau penglibatan orang luar, sekalipun ahli keluarga terdekat mereka sendiri.
Al-Quran turut memberikan panduan apabila berlaku sesuatu krisis yang sukar untuk diurus dan diselesaikan secara bersama oleh pasangan suami isteri. Firman Allah SWT:
“Dan jika kamu bimbangkan perpecahan antara mereka berdua (suami isteri) maka lantiklah hakam (untuk mendamaikan mereka, iaitu), seorang daripada keluarga lelaki dan seorang daripada keluarga perempuan. Jika kedua-dua (orang tengah itu dengan ikhlas) bertujuan hendak mendamaikan, nescaya Allah akan menjadikan kedua-dua (suami isteri itu) berpakat baik. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui, lagi Amat mendalam pengetahuan-Nya.”
Pada situasi inilah mereka memerlukan bantuan atau campur tangan pihak luar, namun ada panduan, kaedah dan tertib yang wajar iaitulah menerusi hakam (dalam kalangan ahli keluarga terdekat) dan disusuli oleh pihak berautoriti ataupun hakim. Namun, perlu diteliti dan ditekankan bahawa matlamat akhir proses ini adalah untuk mencapai islah dan perdamaian antara pasangan rumah tangga.
Mengenai perihal keaiban pula, usah berlebih-lebihan dalam menceritakan 1001 keaiban pasangan terutamanya di media sosial meskipun sedang dalam fasa krisis, pertelingkahan dan pergaduhan. Sementelahan pula, ada segelintir pasangan yang terburu-buru tanpa berfikir panjang hendak terus melangkau ke fasa perpisahan dek kerana sedikit keaiban pasangan yang dilihat sebagai kekurangan pada pandangan mata mereka. Petunjuk al-Quran cukup jelas perihal ini:
“Dan bergaullah kamu dengan isteri kamu itu dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu merasa benci kepada mereka (disebabkan tingkah-lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak untuk kamu.”
Justeru, buat pasangan yang sedang dilanda krisis rumah tangga, jadikanlah al-Quran sebagai pedoman dalam mendepani krisis rumah tangga dan jangan sesekali menjadikan media dan juga media sosial sebagai wahana untuk bercerita perihal rumah tangga yang sepatutnya berdiri di atas premis privasi, saling menghormati dan memelihara maruah keluarga.
Buat pengamal media dan pembina konten, jangan jadikan kisah rumah tangga sebagai konten untuk meraih perhatian orang manakala bagi orang ramai dan juga warga maya pula, bersederhana dan berpada-padalah kita dalam membicarakan mengenai kisah rumah tangga orang lain. Hari ini mereka diuji, namun kita tidak tahu bila pula giliran kita. Berdoalah sebanyak-banyaknya agar kita semua dikurniakan keteguhan hati dan sentiasa berusaha memperbaiki kekurangan diri dan rumah tangga masing-masing.