Malaysia, Negara Unik Bitara

Penulis: Dr Sahul HM

Tahun ini genap 65 tahun usia negara merdeka ini. Ia merdeka sebagai Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957. Kemudiannya, pada tanggal 16 September 1963, Persekutuan Tanah Melayu berkembang menjadi Malaysia dengan gabungan Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sarawak dan Sabah, setelah Brunei menarik diri untuk pada saat akhir untuk turut serta dalam entiti ini.

Sebuah negara bangsa yang baharu diasaskan bermula September 1963, tetapi momentumnya sedikit terganggu pada Ogos 1965 apabila Singapura keluar daripada Malaysia menjadi sebuah negara tersendiri. Singapura keluar atau dikeluarkan, itu pun sudah boleh menjadi satu perbincangan panjang yang berliku.

Dalam konteks Malaysia, sejarahnya agak rumit dan sulit untuk dihuraikan dalam satu esei yang ringkas. Kerapa apa? Kerana ia berselirat dengan pelbagai naratif yang ingin dikembangkan melalui pemahaman dan kepercayaan sendiri. Sejarahnya yang berteraskan orang Melayu selalu dipertikaikan. Sejarahnya yang berpusatkan Persekutuan Tanah Melayu juga selalu dipandang negatif. Untuk memahami sejarah negara ini perlukan hati yang lapang dan terbuka. Dimensinya perlu pelbagai, spektrumnya perlu meluas. Ia tidak boleh binari.

Sebagai contoh, jika merdeka disambut ulangtahunnya pada 31 Ogos setiap tahun, maka apa kepentingannya kepada Sarawak dan Sabah? Bukankah Sarawak dan Sabah hanya merdeka pada 16 September 1963 dengan tertubuhnya Malaysia? Mengapa mahu dipaksakan satu sambutan yang tidak berkaitan? Apakah Persekutuan Tanah Melayu itu lebih besar statusnya daripada Sarawak dan Sabah, pada saat Malaysia ditubuhkan itu?

Bagi sesetengah orang yang tidak faham dan enggan memahaminya, perlulah menekuni secara verbatim dokumen Perjanjian Malaysia No. 10760, dan penulis secara peribadi mencadangkan untuk memahami Artikel Enam yang mensyaratkan bahawa semua perjanjian pertahanan luar yang ditandatangani oleh Persekutuan Tanah Melayu terpakai kepada semua wilayah Malaysia. Nah, demikianlah antara persoalan-persoalan berkaitan sambutan merdeka. Hanya satu bab kecil dalam konteks bernegara kita. Walaupun ia kelihatan remeh dan renyah, namun, selama puluhan tahun ini kita warga Malaysia yang merdeka masih disibukkan untuk membahaskannya. Hanya tarikh menyambut kemerdekaan pun boleh menjadi pertikaian yang tak berkesudahan. Unik bukan?

Kini kita beralih kepada polemik berikutnya iaitu sejarah yang berteraskan orang Melayu. Ini juga menjadi satu permasalahan besar dalam negara kita. Berdasarkan pengalaman penulis sendiri, menghasilkan buku teks sejarah sekolah Malaysia adalah antara cabaran yang paling memenatkan. Ada sahaja ketidakpuasan hati yang dilontarkan daripada pelbagai segmen masyarakat. Puncanya adalah sama, mengapa sejarah Malaysia kebanyakannya mengisahkan sejarah orang Melayu. Dari tingkatan satu sampailah ke tingkatan lima, pensejarahan orang Melayu mencakupi lebih separuh daripada keseluruhan buku teks tersebut. Itu belum lagi dihitung sejarah perjuangan kemerdekaan yang bermula dengan pertubuhan Melayu dan para pejuang Melayu. Terbakar hati orang yang tak belajar sejarah, dan kalau belajar pun tak memahaminya dengan hati yang terbuka.

Sejarah Malaysia adalah sejarah yang bertitik tolak daripada orang Melayu. Sebagaimana sejarah orang Britain bermula dengan sejarah Rom dan Anglo-Saxon, begitulah sejarah Malaysia bermula dengan Melayu Proto dan Melayu Deutro. Sebagaimana sejarah India ditandai dengan kegemilangan empayar Chola, sejarah Malaysia ditandai dengan kegemilangan Kesultanan Melaka.

Walau bagaimanapun, adalah salah jika menganggap Melaka sahajalah titik permulaan sejarah Malaysia, kerana lebih awal daripada itu, Kedah Tua misalnya sudah menjadi pusat industri peleburan besi dan perkapalan. Cuma kekurangan sumber bertulis membataskan pengkajian terhadap kerajaan Kedah Tua tersebut yang banyak bergantung kepada sumber arkeologi. Adapun buku teks sejarah sekolah ditulis sedemikian rupa bukanlah untuk menyembunyikan mana-mana sejarah atau mengurangkan peranan sesiapapun. Ia ditulis secara kronologikal, berdasarkan urutan tahun dan peristiwa. Lalu dalam pensejarahan tersebut sudah pasti sebahagian besar daripadanya memfokuskan sejarah orang Melayu, manakala sejarah orang selain Melayu, secara aktif, bermula daripada zaman penjajahan British dengan kemasukan sebagai imigran. Inilah kebenaran sejarah.

Kebangkitan perjuangan kemerdekaan juga dipelopori oleh orang Melayu sejak penghujung abad ke-20, sehinggalah selepas Perang Dunia Kedua, orang bukan Melayu mula terlibat secara aktif dan progresif dalam membicarakan soal kemerdekaan ‘Tanah Melayu’ sebagai tanah air bersama. Di sinilah bermulanya titik perubahan dalam aturan sejarah Malaysia dengan terbitnya interaksi harmoni antara bangsa yang pelbagai untuk matlamat yang sama.

Demikianlah yang selalu penulis sampaikan dalam kuliah di universiti. Sejarah Malaysia tidak boleh secara semberono dibandingkan dengan sejarah negara lain. Selepas merdeka, negara ini yang dihuni oleh orang Melayu kini berkongsi kuasa dan ekosistem sosiopolitik dengan pelbagai bangsa yang bukan berasal daripada tanah ini beberapa kurun yang lalu.

Namun, dalam tempoh masa kolonialisme, semuanya bersama-sama berusaha membina satu negara yang baharu dengan corak masyarakat yang baharu, tanpa mengabaikan nilai sejarah dan tradisinya yang ditancapkan dalam Perlembagaan. Negara baharu yang dikongsi secara rela hati oleh masyarakat pribumi yang menggali dan memegang kuasa. Negara mana lagi dalam dunia ini yang mempunyai setting yang unik seperti ini?

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Artikel Terkini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *