Mat Kilau: Antara Euforia Filem dan Ketepatan Sejarah (Bahagian II)

Penulis: Dr Sahul HM

Rencana ini bersambung daripada bahagian pertama, berkebetulan selepas filem tersebut disiarkan di Netflix yang kemudian mengundang polemik baharu dalam kalangan penontonnya.  Bahagian kedua yang dibincangkan di sini adalah tentang pensejarahannya. Benarkah segala sejarah yang ditayangkan dalam filem tersebut? Apakah pemaparan beberapa watak yang digambarkan itu merupakan kebenaran sejarah? Apakah motif dan latar yang membangkitkan penentangan Mat Kilau terhadap British? Bagaimana pula dengan pandangan yang mengatakan bahawa kebangkitan dan penentangan berlaku hanyalah atas faktor cukai dan kehilangan sumber pendapatan pembesar? Persoalan-persoalan inilah yang berlegar dan dipolemikkan selepas filem ini ditayangkan secara umum.

Memandangkan filem ini sudah memasukkan penafian pada permulaan ceritanya, nyata bahawa ia bukanlah diterbitkan dengan mengambil kira fakta sejarah yang paling tepat atau menghampiri ketepatan. Dalam banyak keadaan, ia hanyalah imaginasi pengarah yang barangkali menyasarkan kebangkitan semangat nasionalisme Melayu. Pengarah jelas dengan tujuannya, tetapi ia disalahertikan oleh penonton. Ia merupakan filem propaganda nasionalisme, bukan sebuah filem sejarah yang jitu.

Antara perkara yang dipertikaikan adalah, benarkah askar British sekejam itu, sehingga menyerang dan membunuh oang awam, termasuk wanita yang sedang mengandung? Keganasan melampau inilah yang tidak dapat dipastikan kebenarannya. Tiada laporan atau catatan yang ditemui berkaitannya. Namun, untuk mendakwa bahawa askar British sangat lemah lembut dan sopan santun juga tidaklah benar kerana mereka berada dalam situasi ‘perang’. Perlu juga diingat bahawa bersama-sama askar Sikh, beberapa anggota keselamatan berbangsa Melayu turut sama dikerah untuk menyerang Mat Kilau dan pengikutnya. Akhbar Straits Times pada 7 Jun 1892 melaporkan bahawa Sultan menyediakan sejumlah 500 pengikut untuk turut serta dalam ekspedisi menjejaki Mat Kilau. Jumlah itu boleh ditambah sebanyak 500 orang lagi sekiranya diperlukan. Selain itu, turut dilaporkan bahawa Mat Kilau sendiri, pada Ogos 1892, tercedera kerana diserang oleh pasukan Perak Malay Scouts, yang mengepalai serangan bersama askar Sikh (Straits Independence and Penang Chronicle, 24 September 1892). Askar Sikh tidak mahir dalam strategi perang di hutan sepertimana orang Melayu dan askar berbangsa Melayu. 

Menjelang September 1892, walau bagaimanapun, ketumbukan askar British ini yang terdiri daripada Perak Sikhs, Sg. Ujong Sikhs, Pahang Sikh serta sebilangan polis berbangsa Melayu -yang diketuai oleh Kolonel Walker – menyerang, menangkap, mengusir atau membunuh setiap pengikut Mat Kilau yang terlibat menentang kerajaan British. Hal ini ditulis dalam buku Records and Recollections (1889-1934) oleh J.H.M. Robson, seorang jurnalis dan pegawai British. Kenyataan ini membuktikan memang berlakunya kekerasan yang dilakukan oleh askar Sikh dalam perang tersebut. Cuma ia tidak memperincikan tahap kekerasan tersebut.

Persoalan seterusnya, mengapakah askar Sikh menjadi pilihan British? Sebenarnya kita, negara-negara yang dijajah ini menjadi alat manipulasi British yang bijak mencatur demi kelangsungan dan perkembangan empayar mereka di seluruh dunia. Pasukan askar British di India merupakan pasukan yang paling rencam dan tersusun dalam keseluruhan tanah jajahannya. Ia terdiri daripada pasukan Sikh, Punjabi (daripada pelbagai agama), Pathan, Gurkha dan Benggali. Seawal 1857, pasukan askar dari India sudah dikerah ke Singapura untuk bersedia bagi mengawal sebarang kebangkitan di Negeri-negeri Melayu (NNM). Menurut Nadzan Haron dalam Colonial Defence and British Approach to the Problems in Malaya, 1874-1918 , British sentiasa menggunakan askar daripada etnik dan agama yang berbeza ketika berdepan dengan kebangkitan dan penentangan di sesebuah kawasan. Ini untuk mengelakkan timbulnya simpati dan ikatan emosi yang boleh menggagalkan operasi ketenteraan yang dilancarkan. British mengaplikasikan strategi ketenteraan mereka di India di tanah jajahan yang lain, termasuklah di NNM. Sikh dan Pathan menjadi pilihan terawal British untuk dibawa masuk ke NNM kerana British telah cukup kenal dan mengenali perwatakan mereka di India. Kapten Speedy yang terlibat dalam Perang Larut kemudiannya, pernah menjadi pegawai tinggi askar British di India seawal 1854. Beliaulah yang bertanggungjawab menasihati pemerintah British supaya askar India dibawa masuk ke NNM. Untuk bacaan lanjut, sejarawan dari Univ. California Berkeley, Thomas R. Metcalf ada memperincikan sebab dan kepentingan askar Sikh terhadap kolonial British dalam tulisannya “A Well Selected Body of Men: Sikh Recruitment for Colonial Police and Military.”

Yang terakhir, benarkah ‘agama’ menjadi motif utama perjuangan Mat Kilau ketika menentang British? Secara umumnya, motif agama hanya timbul dalam Kebangkitan Pahang Kedua, sekitar Jun 1894, bukan sejak penentangan bermula pada 1891. Ia juga tidak mendapat sambutan yang meluas daripada orang Melayu tempatan. Kebangkitan Mat Kilau ini berlaku pada awalnya kerana pengaruh Dato Bahaman, yang merupakan seorang pemimpin Melayu ternama selain Imam Rasu (ayah Mat Kilau), terancam akibat sikap pegawai British yang bertindak sewenang-wenangnya mendirikan sebuah balai polis di Lubuk Terua. Pembinaan balai polis bermakna British menceroboh wilayah kekuasaan pembesar Melayu tanpa izin. Daripada pencerobohan ini, British berpotensi meluaskan kuasa secara semberono ke banyak lagi wilayah kekuasaan pembesar Melayu. Inilah yang mencetuskan penentangan tersebut. Apakah motif ini tidak cukup kuat untuk mewajarkan kebangkitan menentang British? Penulis berpandangan bahawa sebarang pencerobohan terhadap politi orang Melayu merupakan cubaan untuk mempamer serta meluaskan kuasa dan pengaruh penjajah British. Oleh itu, penentangan yang dilakukan amatlah wajar dan tidak mungkin boleh dipersalahkan, menurut konteksnya. Malah alasan British untuk mencipta sistem pentadbiran yang lebih sistematik di NNM juga tidaklah boleh diterima semudahnya kerana menurut Cheah Boon Kheng, misalnya ketika pegawai British W.A. Graham tiba di Kelantan pada 1903, sistem pentadbiran tradisional berada dalam keadaan yang ‘advanced’, dan hanya memerlukan sedikit penambahbaikan. 

Secara umumnya, kisah perjuangan Mat Kilau dan ramai pejuang Melayu yang lain wajar diangkat dan dipromosikan berdasarkan sejarah yang benar. Pada masa yang sama kita juga perlu akui bahawa filem memerlukan unsur dramatisasi. Pada masa hadapan, adalah lebih baik jika produser dan pengarah filem berunsur sejarah mendapatkan pandangan serta nasihat daripada pengkaji sejarah di universiti tempatan dan juga daripada Persatuan Sejarah Malaysia misalnya, supaya karya yang dihasilkan itu lebih ‘reliable‘ dan boleh dipertanggungjawabkan. Polemik yang ditimbulkan oleh filem Mat Kilau ini secara tidak langsung menjentik minat masyarakat untuk membaca dan meminati sejarah berkaitan tanah air ini. Walau bagaimanapun, nasihat penulis, hadamlah sejarah bukannya mitos. 

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Artikel Terkini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *