Penulis: Dr. Sahul HM
Dalam politik Malaysia, Mei 2018 merupakan titik penting yang mengubah dinamika politik negara buat selama-lamanya. Barisan Nasional yang menguasai Malaysia, malah dari zaman Malaya atas jenama Perikatan, tumbang buat kali pertama. Sejak itu, keadaan sosiopolitik kita menjadi tunggang-langgang dan lintang-pukang. Yang kalah tak dapat menerima kekalahan, yang menang tak bijak menguruskan kemenangan. Kerajaan baharu ketika itu, Pakatan Harapan (PH) hanya mampu bertahan selama 22 bulan sebelum dijatuhkan oleh ahli dalamannya sendiri. Apakah antara punca kejatuhan kerajaan tersebut? Tidak lain tidak bukan kerana kegusaran awam yang dieksploitasi sebaiknya oleh sesetengah pemimpin PH sendiri buat mewajarkan tindakan menumbangkan kerajaan yang ada dan membentuk satu pakatan baharu dengan pihak yang kalah dalam pilihanraya umum sebelumnya.
Walaupun ada pelbagai punca akibat pergolakan dalaman, – keributan dalam cawan parti Bersatu, kekeruhan hubungan antara parti dalam kerajaan dan faktor Anwar Ibrahim, secara umumnya ia dipandu oleh mood dan sentimen umum yang dimobilisasi oleh sesetengah pihak yang berkepentingan dan bermotif jahat. Perhimpunan demi perhimpunan dianjurkan. Kempen berbaur cauvinis dilaungkan. Media sosial dipenuhi kata nista permusuhan antara kaum dan agama; dan setiap bencana dan kemalangan yang berlaku secara natural dikaitkan dengan bangsa dan agama. Kebenaran tidak lagi penting. Fitnah berleluasa sehingga banyak kes yang dibawa ke mahkamah berpihak kepada pihak yang difitnah, iaitu pihak PH.
Kepalsuan merampas takhta kebenaran, dan duduk dengan gahnya di sana.
Demikian muncullah suatu zaman yang dikenali sebagai zaman pascakebenaran (Post-truth), menggantikan zaman kebenaran. Sebelumnya, ketika media baharu belum menguasai dunia, masyarakat menganggap kebenaran sebagai sesuatu yang objektif dan berdasarkan fakta dan bukti empirikal. Dalam zaman kebenaran, masyarakat cenderung menggunakan data, logika, dan pemikiran rasional dalam membuat keputusan dan membentuk pendapat. Etos dan logos mengatasi patos. Kemudian, kemajuan dan perkembangan media baharu dengan penguasaan media sosial melahirkan suatu keadaan masyarakat yang mampu untuk bercakap dan menyuarakan apa sahaja yang dirasakannya tanpa sekatan dan halangan. Televisyen dan radio yang selama ini mewakili suara dan pendapat umum tidak lagi menjadi wahana tunggal untuk menyebarkan berita dan cerita.
Sekarang, sesiapa sahaja mampu menjadi selebriti, dan sesiapa sahaja bisa menjadi pembentuk pendapat umum. Lalu bercambahlah zaman pascakebenaran. Zaman pascakebenaran ialah sebuah masyarakat di mana kebenaran dianggap subjektif, berdasarkan pendapat peribadi, kepercayaan, atau perasaan berbanding fakta objektif.
Dalam masyarakat pascakebenaran, masyarakat cenderung bergantung pada emosi dan kepercayaan peribadi berbanding bukti empirikal atau pemikiran rasional ketika membuat keputusan atau membentuk pendapat. Etos dan logos terpinggir dan digantikan oleh patos yang menguasai pembentukan keputusan.
Dalam masyarakat pascakebenaran, sesiapa yang berjaya menguasai media sosial akan berupaya membentuk pendapat umum. Kerana apa media sosial? Kerana inilah medium yang paling banyak diakses oleh masyarakat umum berbanding media konvensional seperti akhbar harian dan televisyen yang semakin kurang menjadi tumpuan. Sebabnya kerana media sosial menawarkan maklumat ‘real-time’, berbanding televisyen dan akhbar. Facebook, Twitter, Titkok dan Instagram misalnya menggantikan peranan media konvensional.
Kajian oleh beberapa pusat kajian pendapat umum seperti Ilham Centre dan Merdeka Center menjelang pilihanraya umum ke-15 menunjukkan penguasaan media sosial dalam membentuk pendapat umum. Berbanding media konvensional yang mempunyai penyunting dan wartawan yang lebih kredibel, media sosial tidak memerlukan semua itu. Oleh itu, maklumat tidak lagi perlu ditapis dan disaring.
Di sinilah bermulanya detik pascakebenaran mengambil alih tempat kebenaran. Bagi menguasai emosi dan sentimen, berita palsu dan fitnah disebarkan. Tuduhan LGBT, penguasaan Kristian dan kehilangan kuasa Melayu misalnya, dipropagandakan sehabisnya, supaya undi yang diperlukan dapat diraih. Motifnya hanyalah undi kerana dengan undi kuasa dapat digapai. Kes seperti Razman Zakaria, seorang pemimpin parti berjenama agama, yang pernah kalah saman dan meminta maaf ialah contoh klasik ‘bagaimana’ emosi dan sentimen menjadi lebih penting daripada fakta dan rasionaliti.
Zaman pascakebenaran terus berkembang dan membunuh kebenaran. Masyarakat lebih gemar mencari dan membaca berita dan cerita sensasi yang dapat memenuhi runtunan emosi berbanding berusaha untuk mencari kebenaran. Sebarang berita dan cerita yang dapat membangkitkan perasaan marah dan prejudis lebih didahulukan berbanding berita dan cerita yang membantu untuk menenangkan perasaan. Ia didorong oleh kepercayaan bahawa marah dan bangkitnya itu adalah tanda bahawa ia adalah seorang pejuang yang mempertahankan maruah bangsa, agama atau pertubuhan yang diwakilinya.
Dalam zaman pascakebenaran, sesiapa yang menguasai maklumat akan menguasai corak fikir masyarakat. Bagi sesebuah kerajaan, penguasaan terhadap media, baik konvensional mahupun baharu, sudah menjadi mandatori, bukan lagi pilihan. Dengan segala aparatus dan jentera yang dimiliki, kerajaan sepatutnya lebih berupaya bagi memobilisasi pendapat umum berbanding orang perseorangan ataupun pertubuhan.
Kebenaran mampu digerakkan bagi menghancurkan kepalsuan, lantas menumpaskan perkembangan masyarakat yang cenderung kepada pascakebenaran. Bagi kerajaan, tiada yang mustahil, jika ia mahu. Jika itu tidak mahu dan tidak mampu, maka bersedialah untuk kembali menjadi pembangkang dan melahu.