Menurut SPRM, definisi rasuah merangkumi penerimaan atau pemberian suapan sebagai upah atau dorongan untuk seseorang individu kerana melakukan atau tidak melakukan sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan tugas rasmi. Suapan terdiri daripada wang, hadiah, bonus, undi, perkhidmatan, jawatan, upah, diskaun.
Oleh yang demikian, jika diamati definisi yang diutarakan oleh SPRM ini, kita dapat simpulkan bahawa pemberian suapan berlaku dalam pelbagai bentuk, tidak terhad pada perkara yang bersifat kewangan dan material, malahan jika kita bandingkan dengan realiti yang berlaku, suapan berbentuk jawatan dilihat amat berleluasa sekali. Tidak perlu kita menyebut bagaimana audio yang tular berkenaan suara pimpinan politik yang kini menjawat jawatan penting dalam negara membuat percaturannya untuk menagih sokongan dengan membuat rundingan dan tawar menawar menerusi apa yang disebut sebagai ‘scheme of things.’ Suapan dalam bentuk ini amat sukar sekali untuk dihidu dan dihitung kerana garis sempadannya amat halus. Saya tidak pasti secara statistik ataupun data ada ataupun tidak dilaporkan pendakwaan ataupun penangkapan berhubung suapan dalam bentuk ini.
Dalam al-Qur’an, larangan mengambil harta melalui jalan yang batil dan diharamkan oleh Allah ditekankan sejurus setelah perintah kewajipan puasa ditetapkan oleh Allah SWT. Hal ini mengisyaratkan betapa perlu dan mustahaknya umat Islam meneliti dan berwaspada berkenaan cara perolehan harta agar tidak terjerumus pada perkara yang diharamkan dan dilaknat oleh Allah, salah satunya terlibat dalam pengambilan atau penerimaan rasuah.
Rasuah Menduga Amil Zakat
Dalam konteks pekerjaan sebagai amil zakat pula sebagai contoh, terdapat sebuah kisah yang berkait rapat dengan isu ini, di mana Nabi SAW telah melantik seorang lelaki dari suku al-Azd menjadi amil zakat yang dipanggil dengan nama Ibn al-Lutbiyyah.
Beliau datang menemui Nabi SAW lalu berkata: “Ini bahagian untukmu dan ini adalah hadiah yang dihadiahkan orang kepada saya.
Kemudian Rasulullah SAW berdiri dan mengucapkan pujian kepada Allah dan selanjutnya Baginda SAW bersabda:
“Adapun kemudian dari itu, aku telah melantik dari kalanganmu lelaki ini untuk mengerjakan tugasan yang diserahkan Allah kepadaku. Lalu suatu ketika dia datang dan berkata: “Ini untukmu, dan ini hadiah yang dihadiahkan untukku.” Mengapa orang itu tidak duduk saja di rumah ibu dan bapanya, sehingga hadiah itu datang sendiri kepadanya, kalau benar bagai dikata? Demi Allah, jika seseorang daripadamu mengambil sesuatu yang bukan haknya, maka dia akan bertemu dengan Allah dalam keadaan membawa (liabiliti) bebanan barang itu di hari kiamat.”
Kemudian Rasulullah SAW mengangkat kedua tangannya sampai kelihatan kedua ketiaknya yang putih, lalu Baginda berdoa: “Ya Allah! Bukankah semua ini telah aku sampaikan?”
Hadis ini merupakan suatu larangan dan amaran keras Nabi SAW bagi para amil zakat, dan juga sebenarnya terpakai ke atas kesemua pekerjaan dan profesion.
Syeikh Dr Yusuf al-Qaradawi dalam adikarya beliau Fiqh Zakat memperuntukkan satu subtopik khusus dalam isu ini, dengan memberi tajuk: “Memberi Hadiah kepada Amil Adalah Rasuah,” beliau mengungkapkan:
“Sebagaimana amil tidak boleh menyembunyikan sesuatupun daripada dana zakat yang dipungutnya walau hanya sebilah jarum, mereka juga tidak boleh menerima untuk diri sendiri sebarang pemberian daripada pembayar zakat kerana ia dianggap sebagai rasuah, walaupun diambil atas nama hadiah.
Ini adalah kerana amil zakat hanya boleh menerima upahnya daripada perbendaharaan negara. Oleh itu, dia tidak boleh mengambil lebih dari haknya yang diberikan oleh pembayar zakat kerana itu adalah tindakan memakan harta orang lain secara batil.
Paling kurang, orang yang mengambil harta tambahan tersebut akan mendedahkan dirinya kepada tohmahan. Hal ini kerana sesiapa yang meletakkan dirinya pada punca tohmahan, maka janganlah dia mencela sesiapa yang bersangka buruk terhadapnya.”
Najis Rasuah vs Najis Mughallazah
Ini menunjukkan betapa jijiknya perbuatan suapan dan lahapan rasuah, apatah lagi jika sekiranya ia menjadi darah daging dan disuap pula hasil dari rasuah kepada tanggungan anak bini. Saya amat berharap dan menggesa agar para agamawan dan juga pendakwah masyhur yang mempunyai pengikut yang ramai mendidik masyarakat betapa jijiknya najis rasuah ini, ia boleh dikatakan setanding (atau lebih teruk) berbanding najis mughallazah (khinzir dan anjing) yang diajar dalam bab taharah.
Di samping itu, perolehan harta melalui jalan yang halal lagi baik adalah merupakan prasyarat makbulnya doa seseorang dan ibadat secara keseluruhannya. Kita sedia maklum berkenaan sebuah hadis tatkala Rasulullah SAW mengisahkan seorang pemuda dalam keadaan kusut masai berjalan seorang diri di tengah padang pasir berdoa merintih kepada Allah SWT: “Ya Rabb.. Ya Rabb,” namun dalam masa sama sumber makan minum dan perolehan hartanya melalui jalan haram, sabda Rasulullah SAW:
“Jauh sekali (atau macam mana) Allah nak makbulkan doa dia?”
Oleh yang demikian, perjuangan untuk membanteras rasuah ini telah sekian lama dimulakan dan diisytiharkan oleh Rasulullah SAW sebagai musuh terkutuk negara. Justeru itu, jika ada mana-mana pimpinan atau pihak yang mendakwa bahawasanya usaha pembanterasan rasuah adalah perkara sampingan ataupun sia-sia (paling teruk yang menjadikan rasuah sebagai norma), maka hendaklah kita berwaspada dan berjaga-jaga terhadap mereka, ataupun kita sedaya upaya menyekat mereka daripada memegang sebarang kedudukan penting terutama sekali dalam pembuatan dasar dan polisi negara (ahli legislatif). Atau dengan kata lain jangan sesekali memberi undi kepada mereka meskipun mereka mendakwa diri sebagai pejuang Islam dan Melayu, termasuklah yang mendakwa pendokong liberal dan demokrat, kerana hakikatnya tawaran rasuah ini akan sentiasa menyelubungi mereka yang berkuasa dan berkedudukan.
Petikan puisi karya Kiyai Hj Ahmad Mustofa Bisri (Gus Mus) berjudul: Ada apa dengan kalian?
Bila karena merusak kesehatan
Rokok kalian benci
Mengapa kalian diamkan korupsi?
Yang merusak nurani.
Bila karena memabukkan
Alkohol kalian perangi
Mengapa kalian biarkan korupsi?
Yang kadar memabukkannya jauh lebih tinggi.
Bila karena najis
Babi kalian musuhi
Mengapa kalian abaikan korupsi?
Yang lebih menjijikkan ketimbang kotoran seribu babi.