Penulis: Imran Rasid
Kita sudah hampir tiba di penghujung bulan pertama bagi tahun 2023. Setakat ini permulaan tahun 2023 di Malaysia bergerak perlahan. Tidak deras seperti biasa. Saya tidak pasti bagaimana perasaan anda memasuki tahun 2023. Saya memulai tahun ini dengan rasa teruja dan bimbang. Teruja kerana tahun ini menandakan sebuah petualangan yang baru. Juga bimbang kerana tahun 2023 ini kita (dan dunia) berdepan dengan cabaran ekonomi yang agak getir.
“Apakah agaknya perasaan penduduk dunia dalam mengecapi perjalanan tahun 2023 nanti?” saya bertanya sendiri. Saya tidak pasti apa jawapannya. Kebetulan, beberapa minggu yang lalu, saya menemui jawapannya sewaktu membaca Laporan Pembangunan Manusia (Human Development Report, HDR) 2021/2022 yang diluncurkan PBB baru-baru ini.
Menurut HDR, tanggapan penduduk dunia hari ini antara yang paling pesimistik dalam sejarah dunia moden, bahkan jauh lebih muram dan sugul berbanding waktu peperangan dunia pertama! Ya, paling muram dan sugul sepanjang 120 tahun yang lalu!

Dapatan ini agak mengejutkan. Pasukan penyelidik HDR telah meninjau trend penulisan sepanjang 125 tahun yang lalu sebelum hadir pada kesimpulan ini. Bahkan, sejak dua dekad yang lepas, luahan negatif terhadap masa depan manusia meningkat dengan mendadak. Persoalannya, mengapa penduduk dunia hari ini dalam keadaan yang begitu depressing? Dari mana ledakan pesimisme ini muncul?
Jawapannya, menurut Achim Steiner, Pentadbir United Nations Development Programme, sewaktu membentangkan HDR 2021/2022 baru-baru ini, terletak pada situasi ekonomi dan politik global yang kian rencam dan tidak stabil.
“Kita hari ini hidup dalam era ketidaktentuan,” ujar Steiner. “Wabak COVID-19, kini dalam tahun ketiga, terus menghasilkan varian baru. Peperangan di Ukraine terus menjejaskan segenap dunia, mengakibatkan kesengsaraan manusia, termasuk krisis peningkatan kos sara hidup. Bencana ekologi dan iklim juga terus mengancam kita saban hari,” sebutnya lagi.
Ini bukan pandangan baru atau asing. Unjuran ekonomi tahun 2023 juga menceritakan kisah yang sama. Baca sahaja unjuran ekonomi yang dikeluarkan badan-badan pengkaji dasar dunia seperti IMF, OECD, dan UNCTAD; kesemuanya membayangkan situasi ekonomi dunia yang kelam untuk tahun 2023. Kristalina Georgieva, Pengarah Pengurusan IMF, juga menyebutkan bahawa “tahun ini akan menjadi lebih sukar berbanding tahun-tahun sebelumnya,” terutamanya satu pertiga ekonomi dunia dijangka akan mengalami kemelesetan.
Inilah realiti tahun 2023 yang sebenar. Kita sedang mengharungi fasa krisis ekonomi yang mendasar: kadar pendapatan sebenar yang menguncup, kemiskinan yang meluas, jurang ekonomi yang menebal serta krisis bencana alam yang menggusarkan. Laporan Human Development Index (HDI) menunjukkan lebih 90 peratus negara mengalami penurunan skor HDI antara tahun 2020 – 2021 akibat pandemik COVID-19. Dan kebanyakannya kini masih bertatih untuk memulihkan keadaan ekonomi masing-masing.
Jurang ekonomi juga terus melebar dengan maha dahsyat. Maksudnya, dalam situasi krisis ini tidak semua yang merana. Sebahagian kecil (kelompok 10% teratas) ini sebenarnya menjadi lebih untung dengan kesengsaraan kita semua. Misalnya, tajukah anda tahu sejak COVID-19 tercetus, kekayaan 10 orang terkaya di dunia meningkat dua kali ganda? Tahukah anda juga sejumlah 2,755 billionaire bertambah kaya sewaktu COVID-19 dengan kadar tertinggi sejak 14 tahun sebelumnya? Ini ialah pembolotan kekayaan yang menggila!

Malaysia juga turut menerima tempias krisis sebegini. Hanya beberapa bulan lepas, beberapa tempat di kawasan Pantai Timur dilanda banjir (krisis iklim) mengakibatkan kerugian sejumlah RM 6.1 billion. Kos sara hidup akibat inflasi juga belum surut sepenuhnya (itupun ada lagi menteri yang menyalahkan rakyat).
Kata Prof Fatimah Kari (Dewan Ekonomi, Jan 2023) “ ..menjelang tahun 2023, inflasi keseluruhan dan inflasi teras dijangka kekal tinggi berikutan tekanan permintaan dan kos serta sebarang perubahan pada langkah dasar dalam negara.” Membaca petikan ini, saya termenung sendirian: Adakah kita bersedia untuk mendepani krisis ini?
Soalan ini harus dijawab (dan diselesaikan) oleh pentadbiran sekarang, khususnya PMX dan saudara Rafizi Ramli. Dua tahun lalu, sewaktu Laporan Penyelidikan KRI (2019) dikeluarkan, saya membaca pengiraan yang melihat 50% peratus isi rumah dikelompokkan dalam kategori situasi kewangan yang rapuh. Itu sudah separuh daripada populasi rakyat Malaysia.
Maknanya, separuh rakyat Malaysia yang berstatus kewangan yang rapuh ini akan paling terjejas dengan krisis-krisis ekonomi dan bencana alam yang mendatang. Mereka tiada jaringan keselamatan (safety net) yang lengkap, tiada wang simpanan yang mencukupi. Kalau dibuang kerja, dipotong gaji, atau ditimpa bencana, mereka tiada pautan hayat lain untuk bergantung harap.
Tujuan saya memaparkan data-data dan kajian ini bukan untuk menakut-nakutkan anda. Ini merupakan realiti dunia yang kita diami hari ini, serta latar bagi ledakan pesisme dan kemurungan yang terburuk dalam sejarah moden seperti yang dicatatkan oleh HDR baru-baru ini. Kemurungan dan pesimisme inilah juga yang digembleng oleh sebahagian pihak untuk dijadikan modal politik, khususnya politik perkauman dan keagamaan yang melampau.
Steiner juga menyimpulkan perkara yang sama. “Tidaklah menghairankan” kata Steiner, “sekiranya banyak negara kini dilanda masalah perpecahan, ekstremisme politik dan demagog yang berleluasa – kesemuanya diberdaya dengan media sosial, artificial intelligence dan teknologi-teknologi canggih yang ada.” Bibit-bibit ini juga sudah kita temui dalam PRU15 yang lalu.

Saya tidak pasti apa yang menanti di penghujung tahun 2023 nanti, atau tahun-tahun yang mendatang. Apakah krisis ekonomi ini akan beralih menjadi suatu bencana politik, tidaklah saya tahu. Hakikatnya krisis politik negara ini bukan berpunca daripada krisis ekonomi saja. Kita masih ada banyak masalah yang belum beres; masalah pembentukan bangsa, kecelikan politik, ketandusan pemimpin berkaliber, dan banyak lagi.
Tetapi biarlah ekonomi itu segera dipulihkan, atau saya khuatir, kecelakaan ekonomi ini akan menyemarakkan lagi masalah-masalah lain yang mengakar. Ibarat api dicurah petrol, sekaligus membakar hangus rumah keluarga Malaysia kita ini.
Sumber Rajah