Menang Kalah Islam Bukan Bergantung Pada Parti Politik

Penulis: Furqan Abdullah

Kita seringkali mendengar retorik atau laungan “berjuang untuk kemenangan Islam” oleh segelintir pihak. Slogan seumpama ini lazimnya dikaitkan dengan pihak yang mendakwa diri mereka sebagai pemegang obor panji Islam terutamanya dalam ranah politik kepartian dan persaingan pilihan raya.

Fenomena Lebai Muda dan Fatwa Tiktok

Pra dan pasca PRU-15 memperlihatkan kemunculan beberapa pempengaruh beperwatakan “lebai muda” yang bersemangat berbicara soal memenangkan Islam. Jika dibuat semakan silang terhadap latar belakang pendidikan ataupun pembimbing mereka, kita khuatir pempengaruh sedemikian hakikatnya tidak mempunyai pengetahuan yang menyeluruh pun terhadap mauduk yang disampaikan.

Lebih parah lagi, mereka seringkali dijadikan rujukan oleh rata-rata pengikut mereka dalam memberikan gambaran sebenar berkenaan Islam dan politik Islam (versi mereka), seterusnya menafikan tafsiran yang dibawa oleh pihak selain mereka.

Sementelahan pula, ada dalam kalangan mereka yang galak mengeluarkan “fatwa titktok” secara semberono dan melulu tanpa kewaspadaan dan disiplin yang tinggi. Umpamanya dengan ungkapkan:

Kita wajib pergi mengundi untuk memenangkan Islam. Jika tidak (keluar mengundi), orang yang memusuhi Islam yang akan memimpin kita.”

Ungkapan sebegini ternyata amat berbahaya kerana konotasi wajib itu merupakan suatu yang amat berat di sisi syarak. Menurut perbahasan fiqh, wajib bererti pelakunya diganjari pahala manakala yang meninggalkannya diancam dengan dosa.

Justeru, adakah perbuatan tidak mengundi pihak yang dikatakan akan memenangkan Islam itu akan berpotensi mendatangkan dosa? Jelas, amat sukar sekali hendak diwujudkan garis pemisah antara kedua-duanya. Sekurang-kurangnya jika hendak menekankan kewajipan sekalipun, ia sewajarnya dinyatakan sekadar wajib keluar mengundi sahaja, tidak perlu diiringi dengan wajib mengundi untuk “memenangkan Islam” versi mereka.

Hal ini sama seperti ucapan “lebai muda” dari pihak sama yang mendakwa jika mengundi pihak selain mereka, akan dihumban ke neraka. Meskipun pengungkapnya telah memohon maaf dan diambil tindakan, akan tetapi ia mencerminkan doktrin songsang mengenai Islam yang telah berakar dalam kalangan pendokongnya.

Apatah lagi, Islam yang dimaksudkan oleh pengungkap terbabit sudah tentu bersifat relatif dan subjektif. Ia tidak harus sewenang-wenangnya ditempelkan kepada mana-mana pihak yang berseteru dalam pesta demokrasi dan persaingan pilihanraya.

Justeru, kita nasihatkan agar para ustaz muda supaya tidak terburu-buru mengeluarkan fatwa tanpa diiringi sifat takwa. Ikutlah resmi padi, makin berisi makin tunduk, tidak mengapa hendak berpegang teguh dan mempertahankan kepimpinan ulama anda, akan tetapi hormatlah serta berlapang dadalah terhadap pandangan dan pendirian ulama yang lain.

Machiavelli Islamik Demi Memenangkan Islam

Selain itu, ada yang begitu berkeahlian dan berkepakaran dalam mengupayakan teknik fear mongering dengan mengatasnamakan perjuangan Islam, mempertahankan agama Islam, memelihara kesucian Islam dan mengembalikan kemuliaan serta kemenangan Islam.

Anak muda perlu bangkit, jangan tidur lagi, dah teruk dah ni, sebab tak mustahil kita jadi pelarian di tanah air kita. Kerana bila mereka menang, mereka akan pijak orang Melayu (Islam). Takkan kita lupa peristiwa 22 bulan agama Islam dihina.”

Nilailah sendiri ungkapan sebegini, tanpa perlu ilmu mantik sekalipun kita sudah dapat hidu bau busuknya ungkapan sedemikian. Acapkali mereka menghamburkan pelbagai retorik dan dakwaan tidak berasas semata-mata kerana mereka memperjuangkan ajaran agama menurut kefahaman mereka.  

Sikap sebegini ialah contoh nyata di depan mata yang menzahirkan cara berpolitik “Machiavelli-Islamik” yang dipraktikkan mereka, meskipun  mereka seringkali menentang dan mengingkari ide Machiavelli dengan dakwaan bahawa majoriti ahli politik dunia yang berfahaman sekular tanpa hidayah agama mengimani falsafah politik Machiavelli.

Sekularisme Ekstrem dan Ketempangan Mizan

Di samping itu, mereka seringkali gemar berselindung di sebalik retorik umum seperti perjuangan menegakkan agama dan memperjuangkan Islam. Sebagai contoh ungkapan seperti berikut:

Kita jangan fikir pemimpin mana yang hendak turunkan harga minyak, akan tetapi fikirlah pemimpin mana yang hendak menjaga agama kita. Tok guru kata, kalau kita khianat terhadap perjuangan Islam ni bukan masalah kita hilang 20 bilion, ini masalahnya akan hilang agama. Hilang 20 bilion satu benda yang biasa, akan tetapi kalau hilang agama manusia berada dalam kesesatan.”

Cara berfikir simplistik kelompok sebegini menampakkan kepandiran yang nyata apabila mereka gagal membezakan dan membandingkan antara dua perkara yang berada pada neraca (mizan) yang berbeza. Meskipun retorik sebegini mudah memukau masyarakat awam, akan tetapi hakikatnya ia merupakan suatu bentuk falasi dan paradoks apabila membandingkan kehilangan 20 bilion wang negara adalah lebih ringan berbanding “kehilangan Islam.”

Sementelahan, politik merupakan seni pentadbiran dan tatakelola yang baik, justeru ia memerlukan kebijakan serta kebijaksanaan terutamanya dalam pengurusan kewangan negara. Oleh yang demikian, mengibaratkan bahawa kehilangan dana negara lebih ringan ketimbang “kehilangan agama” jelas merupakan suatu kedangkalan dan kenaifan.

Ini juga menunjukkan kecelaruan pemikiran yang nyata dan suatu bentuk sekularisme yang ekstrem apabila memisahkan perihal pengurusan kewangan negara daripada agama. Padahal agama amat menitik beratkan aspek pengurusan kewangan dan meletakkan pemeliharaan harta sebagai salah satu daripada teras dalam Maqasid Syariah.

Jika hendak dibuat perbandingan sekalipun, lihatlah petunjuk al-Quran yang dengan jelas menegaskan bahawa mereka yang memakan harta anak yatim seolah-olah menempah menu makanan api di neraka kelak. Ancaman buat penyeleweng dana anak yatim pun sudah begitu berat, tak usah bayangkan bagaimanakah bentuk ancaman terhadap penyeleweng dana awam dan harta rakyat yang pasti lebih besar jumlahnya. Justeru, mengapa tidak ditegaskan bahawa kehilangan dana negara itu juga hakikatnya merupakan kehilangan agama?

Demikianlah masalah kelompok sebegini, acapkali menganggap bahawa diri mereka dan pendirian mereka lebih islamik serta terpaling Islam berbanding pihak lain. Didorong oleh doktrin minda binari yang hanya memikirkan soal hitam-putih tanpa suluhan ilmu serta bimbingan guru yang benar-benar berkeahlian menyebabkan mereka seringkali terbabas dan keterlaluan dalam membicarakan perihal kemenangan atau kekalahan Islam. 

Kemenangan Islam: Antara Retorik dengan Realiti

Persoalannya, Islam apa dan Islam yang bagaimana hendak dimenangkan? Apakah tafsiran, garis panduan, ciri-ciri dan kriteria kemenangan Islam yang dimaksudkan? Tanpa meminta dihuraikan jawapannya, kita boleh menjangkakan Islam yang hendak dimenangkan itu sudah tentu pihak yang disokong oleh pengungkapnya.

Panduan Islam amat jelas dalam hal ini jika kita cerakinkan, manakala hadis-hadis Nabi SAW telah menjelaskan takrifan yang menyeluruh beserta garis pemisah yang jitu mengenai Islam. Antaranya, hadis Jibril yang masyhur apabila ditanya mengenai takrif Islam, Nabi SAW menegaskan Islam adalah apabila kita mengucap dua kalimat syahadah, mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa di bulan Ramadan dan menunaikan haji bagi yang berkemampuan. Tidak pula dinyatakan menyokong atau mengundi mana-mana pihak ataupun parti itu sebagai rukun Islam yang keenam.

Justeru, kemenangan atau kekalahan Islam tiada perkaitan secara langsung dan langsung tiada kaitan dengan kemenangan atau kekalahan mana-mana pihak. Begitu juga, Islam tetap akan tertegak dan dipelihara oleh Allah SWT dalam apa jua cara serta keadaan meskipun kelompok yang mendabik dada sebagai pejuang Islam tidak memegang tampuk pemerintahan. Berpijaklah di bumi yang nyata, usah berfalasi dan berfantasi dengan retorik murahan yang mencemarkan kesucian nama agama, nama Islam serta nama Tuhan.

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Artikel Terkini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *