Merungkai kenyataan “Wajib sokong PAS kerana PAS dipimpin oleh ulama”

Penulis: Luqman Tarmizi

Menurut kaca mata Islam, ilmuwan dan ulama menempati kedudukan yang amat tinggi. Dalam al-Quran, ulama itu ditafsirkan sebagai mereka yang benar-benar takut kepada Allah SWT. Ulama juga disifatkan oleh Rasulullah SAW sebagai pewaris para Nabi.

Oleh kerana itu, ulama memainkan peranan besar dalam kehidupan seorang Muslim, dan tidak terkecuali dalam soal politik.

Justeru, ramai ulama yang mengambil keputusan untuk terjun secara langsung ke dalam ranah politik, atau mengisytiharkan sokongan politik secara terbuka. Ini sudah tentu tidak menjadi suatu masalah kerana ia merupakan satu hak yang dijamin dalam negara demokrasi.

Masalah timbul apabila ada kalangan dalam masyarakat yang terkeliru dan ada sebahagian pihak yang sengaja menimbulkan kekeliruan bahawa oleh kerana kita wajib mentaati ulama, maka parti dan pendirian politik seorang ulama itu juga wajib untuk ditaati.

Kita boleh cerakinkan permasalahan ini kepada dua:

  1. Wajib mengundi PAS kerana PAS dipimpin oleh ulama

Pertama, berapa ramai kalangan pimpinan tertinggi PAS yang sedia ada benar-benar boleh dikategorikan sebagai ulama? Selain TG Abdul Hadi Awang dan Ustaz Zulkifli Ismail, siapakah lagi yang layak diiktiraf sebagai ulama dalam erti kata seorang alim yang mendalam ilmunya, jelas pemikiran ilmiahnya serta banyak pula kitab karangannya?

Mungkin boleh ditambah lagi beberapa nama besar yang menganggotai Majlis Syura Ulama PAS Pusat, seperti Dr Johari Mat, Profesor Dato’ Dr. Mohd Yakub @ Zulkifli bin Mohd Yusoff, dan Dato’ Dr. Mahfodz Mohamed. Tapi setakat manakah mereka ini berperanan dalam menentukan hala tuju PAS?

Kedua, dari mana datangnya idea bahawa kita perlu memilih ulama sebagai pemimpin?

Ia pastinya tidak disokong oleh nas syarak. Hadis Rasulullah SAW jelas menyebut, para ulama merupakan pewaris para Nabi. Apa yang mereka warisi? Satu sahaja, iaitu ilmu.

Para ulama tidak mewarisi kuasa pemerintahan, meskipun Baginda SAW dan ramai Rasul lain – Nabi Musa, Daud dan Sulaiman – merupakan penguasa pada zaman mereka.

Kita lihat sepanjang sejarah Islam, para ulama bukan sahaja tidak bergiat aktif dalam merebut tampuk kepimpinan, bahkan ramai daripada kalangan mereka mengelak daripada memegang sebarang jawatan dalam kerajaan.

Autoriti hakiki seorang ulama ialah autoriti ilmu. Autoriti ilmu itu pula kekal absah selagi ulama itu benar-benar bebas dalam berpendirian, dan selagi pandangan mereka itu adalah demi umat yang dikasihi, bukan demi parti yang disertai.

Apabila seorang ulama menyertai politik, autoriti keilmuan beliau kekal sejauh mana pandangan ilmunya itu tidak dicemari atau dipengaruhi oleh kepentingan politiknya.

Selain itu, urusan politik ialah urusan memastikan tercapainya maslahah dan terhindarnya mafsadah dalam sesebuah masyarakat atau negara. Konsep maslahah dan mafsadah ini pula bukan hanya terhad kepada apa yang disebut dalam al-Quran, al-Sunnah atau kitab-kitab agama, namun ia diketahui melalui pemerhatian, kajian dan eksperimen seperti yang disebut oleh Imam ‘Izzuddin Abd al-Salam.

Kita kaitkan pula dengan dua syarat utama dalam memilih pemimpin menurut al-Quran, iaitu kompeten (al-qawiy) dan amanah (al-amin). Memandangkan urusan mentadbir negara itu kebanyakannya berkisar pada mentadbir ekonomi, menggubal undang-undang dan memastikan keharmonian, maka ia perlu diserahkan kepada ahlinya.

  1. Wajib mengundi PAS kerana ramai ulama dan asatizah yang menyokong PAS

Pertama, jumlah sokongan merupakan penentu kemenangan, tapi ia bukannya neraca penentu antara kebenaran dan kebatilan. Neraca kebenaran ialah sandaran dalil dan kekuatan hujah.

Ketika terjadinya perang antara kerajaan Mamalik melawan tentera Monggol, kerajaan telah meminta fatwa daripada para ulama untuk membolehkan kerajaan mengutip wang daripada rakyat. Kebanyakan ulama memfatwakan harus. Namun Imam al-Nawawi enggan mengharuskannya, selagi Sultan sendiri tidak membelanjakan khazanah harta yang menimbun di istana baginda. Akhirnya sejarah menjadi saksi bahawa ijtihad Imam al-Nawawi menjadi simbol kepada keberanian seorang ulama dalam berkata benar kepada pemerintah, meski beliau ketika itu bersendirian.

Kedua, tidak dinafikan bahawa berdasarkan pemerhatian kasar, memang lebih ramai ulama dan agamawan di Malaysia yang cenderung menyokong PAS. Namun lanjutan daripada poin pertama, ramainya ulama yang menyokong tidak menescayakan bahawa kebenaran itu berada di pihak PAS, sementelah pula tidak kurang ramainya juga kalangan ulama, asatizah dan agamawan yang tidak aktif bersama PAS, tidak menyokong PAS, menentang amalan yang menyeleweng dalam PAS atau yang keluar dari PAS setelah sebelumnya berjuang dalam PAS.

Keilmuan dan ketokohan Almarhum Dr. Siddiq Fadzil tidak mampu dipertikaikan oleh sesiapa. Beliau terkenal sebagai seorang penyokong sejati PMX sejak dahulu hingga sekarang.

Almarhum Mufti Terengganu ke-10, Sayyid Yusuf bin Ali al-Zawawi pada 1963 telah mengarang sebuah risalah penting berserta fatwa dalam melarang amalan kafir-mengkafir dalam isu politik terutamanya melibatkan isu mengundi calon bukan Muslim dalam pilihanraya, yang ketika itu sedang rancak dimainkan oleh PAS.

Dalam sejarah Pas sendiri, betapa ramai ulama dan asatizah yang telah meninggalkan PAS.

Pengasas merangkap Yang Di-Pertua Pas, Ustaz Fuad Hasan telah keluar parti pada 1953 kerana tidak sehaluan dengan dasar politik semasa. Pada tahun 1960, Yang Dipertua PAS Kuala Terengganu, Senator Tuan Guru Haji Abbas Mohamed telah mengisytiharkan keluar dari PAS ekoran krisis kepemimpinan yang berpanjangan dalam PAS Terengganu. Begitu juga bekas Timbalan Presiden Pas, Ustaz Hasan Adli, bekas NYDP PAS Ustaz Nakhaie Ahmad dan pengasas Pas Kelantan, Ustaz Amaludin Darus yang turut meninggalkan Pas dan membawa haluan masing-masing.

Parti Amanah Negara yang ditubuhkan untuk menjadi alternatif kepada PAS sendiri tidak ketandusan asatizah yang mantap penguasaan ilmunya. TG Abdul Aziz Abas dan Dr Ramadan Fitri Elias sekadar menyebut beberapa nama yang gigih membantu perkembangan politik Amanah, meski sekadar di belakang tabir.

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) sebagai badan dakwah telah melahirkan ramai tokoh yang kukuh penguasaan ilmunya, contohnya Dr Muhammad Nur Manuty yang telah dilantik sebagai pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM). Baru-baru ini pula Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Sanusi Md. Nor secara tidak langsung telah ‘memperkenalkan’ kita kepada seorang tokoh ABIM yang ternyata seorang agamawan dan pendakwah yang berilmu dan berhikmah, iaitu adik kandungnya sendiri Ustaz Saidi Adnan.

Belakangan ini juga, ramai kalangan asatizah lepasan Universiti al-Azhar – yang sebelum ini terkenal sebagai kilang mencetak asatizah PAS – yang secara terang-terangan menyokong Pakatan Harapan dan berusaha menjernihkan kekeliruan yang dicetuskan oleh amalan politik PAS.

Pokoknya, kenyataan-kenyataan seperti ‘orang yang faham agama pasti akan bersama PAS’ adalah tertolak sama sekali.

Mantra “wajib sokong PAS kerana PAS dipimpin ulama” dan “wajib sokong PAS kerana ramai ulama menyokong PAS” hanya slogan retorik yang tidak berlandaskan hujah ilmu yang kukuh.

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Artikel Terkini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *