Penulis: Hasrizal Abdul Jamil
“Jadi, pendidikan ini sebenarnya untuk apa?”
Kita semua boleh terbelenggu memikirkan macam-macam persoalan mengenai pendidikan. Tidak tahu hendak mula dari mana, dan bergerak menuju ke arah mana. Anak-anak pula tidak boleh menunggu. Masa berjalan. Tiba masa mereka mula bersekolah, mereka perlu bersekolah. Atau, perlukah sebenarnya anak kita bersekolah, jika yang diperlukan ialah pendidikan?
Inilah yang dicuit oleh Neil Postman, seorang pendidik dan penyelidik di Amerika Syarikat, dalam bukunya, The End of Education. Kata beliau:
“Meneliti apa yang orang ramai perkatakan tentang sekolah, saya dapati kebanyakan perbincangan adalah mengenai wasilah (means), dan bukannya matlamat (ends).
Sekolah kerajaan atau sekolah swasta? Apa standard untuk peperiksaan? Bagaimana sepatutnya kita menggunakan komputer? Apa kegunaan televisyen untuk pendidikan? Macam mana cara yang betul untuk membaca?
Ada antara persoalan ini yang menarik, sebahagiannya tidak.
Namun, persamaan antara semua pertanyaan ini adalah, ia mengalihkan perhatian kita daripada persoalan yang lebih utama: apa tujuan sebenar wujudnya sekolah? Seolah-olah kita ini adalah sekumpulan juruteknik yang bergelumang dengan kepakarannya mengenai bagaimana hendak melakukan sesuatu perkara, takut atau tidak mampu untuk berfikir mengenai soalan MENGAPA!”
Berbincang mengenai wasilah, kita akan sibuk dengan dapatan penyelidikan, iltizam dengan agenda nasional, terikat dengan dasar, polisi dan urusan punca kuasa, silau dengan penarafan dan penat dengan birokrasi. Semua ini sudah cukup untuk menyedut seluruh masa dan tenaga yang ada.
Sebaliknya, untuk meneroka jawapan kepada persoalan matlamat, ia akan mencabar kepercayaan dan pandangan alam kita.
Jika kita seorang Muslim, apakah yang Islam tuntut ke atas keislaman kita mengenai sekolah, persekolahan dan pendidikan? Andai apa yang Islam tuntut itu berlawanan dengan segala jentera dan wasilah pendidikan, sekuat manakah iltizam kita untuk mengutamakan kehendak Islam?
Neil Postman dalam buku yang sama ada menegaskan, “pendidikan memerlukan ‘tuhan-tuhan (gods)!” Tuhan yang beliau maksudkan itu bukan merujuk kepada Tuhan yang kita sembah. Ia bermaksud pendidikan memerlukan tujuan yang Tinggi, lebih tinggi daripada sekadar soal kerjaya, makan minum dan keperluan kehidupan material (duniawi) kita semata-mata.
Itu usik Neil Postman.
Bagaimanakah al-Quran meletakkan asas pendidikan?
Saya ingin mengajak pembaca meninjau dua kumpulan ayat untuk renungan kita bersama.
IQRA’
Biar pun matlamat Islam adalah untuk manusia menyembah Allah (Al-Dzariyat, 51: 56), wahyu pertama tidak hadir dengan perintah sembahlah, atau sujudlah, atau taatlah. Sebaliknya wahyu pertama membuka jalan kepada matlamat itu iaitu BACALAH. Ia menggambarkan, walaupun matlamat itu penting, dan itulah yang kita mahukan, kita juga perlu mengutamakan proses yang betul.
Islam bukan hanya soal matlamat.
Islam juga soal proses.
Pendidikan adalah sebuah proses.
Kembali kepada ayat Iqra’ (Al-‘Alaq, 96: 1), cuba kita halusi ia sebagai sebuah proses.
Iqra’ atau bacalah dalam bahasa Arab tidak merujuk semata-mata kepada proses memahami tulisan. Akar makna kepada baca atau قرأ itu ialah menelus lafaz-lafaz dan makna-makna. Ini bermaksud, baca boleh terjadi bukan hanya dengan keupayaan memahami tulisan, sebaliknya ia juga terjadi apabila kita mengikuti perkataan-perkataan yang disebutkan kepada kita, atau bunyi yang diperdengarkan, malah juga melalui apa yang kita perhati daripada fenomena sekeliling. Ini selari dengan kefahaman sains moden yang melihat baca itu sebagai pengungkaian kod (decode), yakni cuba memahami makna yang disampaikan oleh huruf-huruf yang bergabung membentuk perkataan, serta ayat.
Tidak timbul masalah tentang rasionalnya baca, hanya kerana Nabi Muhammad ﷺ itu seorang yang ummi (buta huruf).
Namun, baca dalam wahyu pertama ini bukan sebarang baca. Ia merupakan baca sebagai satu proses, yang digandingkan dengan tujuan yang TINGGI.
ٱقْرَأْ بِٱسْمِ رَبِّكَ ٱلَّذِى خَلَقَ
Maksudnya: Bacalah, dengan nama Tuhanmu yang Maha Mencipta (Al-‘Alaq, 96:1)
Apabila Jibril menyampaikan wahyu pertama itu kepada Muhammad ﷺ, Allah SWT belum memperkenalkan diri-Nya sebagai Tuhan yang disembah. Malah nama Allah itu sendiri belum disebut.
“Bacalah, dengan nama Tuhan…”
Mungkin ada yang bertanya:
“Tuhan yang mana?”
“Tuhan orang Arab? Tuhan Yahudi? Tuhan Nasrani?”
Tidak.
Proses banyak ini murni.
Bacalah, dengan nama Tuhan. Bukan Tuhan orang lain. Tetapi Tuhan kamu sendiri.
“Bacalah, dengan nama Tuhanmu”
Baca ini adalah proses yang eksklusif antara kamu dengan Tuhan kamu sendiri.
Mungkin ada pula yang seterusnya bertanya:
“Tuhan?”
“Saya tidak ada Tuhan dalam hidup ini. Saya tidak menyembah sesiapa. Apa itu Tuhan?”
Di sini, Allah tidak memperkenalkan dirinya sebagai Tuhan yang disembah.
Belum lagi.
Sebaliknya, Allah memperkenalkan dirinya dengan asas paling kukuh untuk memahami siapa Muhammad dan siapa Dia.
Allah memperkenalkan dirinya sebagai Tuhan, dan Dia ialah Tuhan kerana Dia ialah Pencipta!
Sebelum Allah itu Tuhan kita dan kita menyembah-Nya, kita perlu jelas terlebih dahulu bahawa kita menyembah Allah kerana Allah Tuhan kita dan Dia Tuhan kita sebab kita ialah ciptaan dan Dia itulah Pencipta segala ciptaan. Itulah bezanya Allah dengan segala selainnya kerana hanya Allah yang Mencipta, manakala yang selain-Nya ialah makhluk, ciptaan belaka.
Iqra’ membentangkan definisi yang paling jelas tentang maksud Tuhan. Konsep ketuhanan di dalam Islam sangat lurus. Tuhan ialah Tuhan bukan kerana sembahan. Itu kemudian. Sebelumnya, Tuhan ialah Tuhan kerana Tuhan ialah Pencipta. Hikmahnya Tuhan itu dalam bahasa Arab disebut dengan dua istilah, sama ada Rabb (ربّ) atau Ilah (إله).
Lihatlah bagaimana jalan untuk mengenal Allah itu sangat luhur. Bersih daripada paksaan, bersih daripada indoktrinasi. Biar pun matlamat akhir kita beragama itu amat agung (menyembah Allah), keagungan itu bermula dengan agungnya sebuah proses.
Ayat Iqra’ ini juga memperlihatkan jalan untuk menyingkap tentang Allah sebagai Tuhan adalah dengan menghargai kerja-kerja yang Tuhan itu hasilkan dalam bentuk penciptaan. Semasa wahyu ini turun, manusia tidak berpengetahuan secara benar lagi mendalam tentang kejadian manusia dan kehamilan. Tetapi Allah telah menjelaskan di dalam ayat-ayat berikutnya bagaimana manusia itu dicipta dengan sifat permulaannya sebagai al-‘alaq, seketul daging yang tergantung di dinding rahim. Sesuatu yang hanya manusia tahu selepas teknologi menjadi cukup maju untuk mengimbas perut seorang wanita yang hamil. Seribu tahun kemudian.
Wahyu pertama sudah mengangkat pentingnya kita memanfaatkan ilmu-ilmu yang membantu kita memahami alam. Ilmu yang di zaman moden ini kita kenal sebagai ilmu sains.
KHALIFAH
Kumpulan kedua ayat-ayat al-Quran yang perlu kita halusi pada memahami TUJUAN sebuah pendidikan adalah seputar pelantikan Adam ‘alayhi al-salam sebagai khalifah. Ia dipaparkan oleh Allah dalam surah al-Baqarah ayat 30 hingga 33.
Semasa Allah memaklumkan Adam menjadi khalifah di muka bumi, para malaikat telah bertanya:
“adakah Engkau jadikan khalifah di muka bumi itu seorang yang melakukan kerosakan dan menumpahkan darah? Sedangkan kami para malaikat sentiasa bertasbih dengan memuji-Mu, dan mengagungkan kesucian-Mu?”
Jika kita ada tugas yang hendak diberi, dan kita ada dua calon, mana satukah yang menjadi pilihan?
Calon pertama taat mengikut arahan, sentiasa melakukan sebagaimana yang disuruh.
Calon kedua pula berisiko melakukan kerosakan, menumpahkan darah.
Pastinya, calon pertama itu nampak lebih sesuai dan wajar untuk dipilih. Mungkin itulah gambaran yang ada di sebalik pertanyaan malaikat. Apa kewajaran Adam diberi tugasan berkenaan, memakmurkan bumi menurut kehendak Pencipta alam, sedangkan Adam itu amat besar risikonya.
Allah SWT tidak menafikan isu-isu yang malaikat timbulkan itu.
Tetapi Allah mengalihkan perhatian malaikat, dan kita semua, kepada potensi Adam yang malaikat belum nampak.
“Sesungguhnya Aku Mengetahui apa yang kamu tidak tahu!” kata Allah.
Apakah ia?
Allah memberi penjelasan bukan dalam format ayat penyata. Sebaliknya Allah membentangkan demo potensi Adam.
Allah ajar.
Adam belajar.
Walaupun ahli tafsir menafsirkan ‘nama-nama’ yang Allah ajar kepada Adam itu dengan maksud yang berbagai-bagai, ia bersatu pada maksud Adam berkebolehan belajar dan mengembangkan apa yang dipelajarinya.
Sesuatu yang apabila Allah suruh malaikat buat sebagaimana Adam, malaikat akur kepada batasan upayanya.
“Maha Suci Engkau ya Allah, kami tidak ada ilmu melainkan sekadar apa yang Engkau ajar kepada kami. Sesungguhnya Engkau adalah Tuhan yang Maha Berilmu lagi Maha Bijaksana”
Adam istimewa kerana akal fikiran yang Tuhan kurniakan kepadanya menjadikan Adam itu boleh mengembangkan ilmu yang dipelajari. Adam boleh ingat, boleh faham, boleh buat mengikut kefahaman, boleh menganalisis, boleh menilai, dan menggunakan semua itu untuk menghasilkan sesuatu. Sesuatu yang malaikat tidak boleh lakukan.
Ertinya, Adam dan keturunannya para manusia, adalah khalifah kerana keupayaan ini. Bak kata al-Jurjani (meninggal dunia 471h / 1078m):
الإِنْسَانُ حَيَوَانٌ نَاطِقٌ
“Manusia ialah hidupan yang berfikir.”
50 tahun yang lalu, manusia bermusafir dengan kapal terbang yang canggih. Tetapi ada kapal terbang yang tingkapnya pecah, terbakar kerana rokok, terhempas kerana kesilapan mengisi minyak, tragedi demi tragedi. Setiap kejadian dianalisis oleh manusia dengan kepakarannya, dan 50 tahun kemudian, bermusafir dengan kapal terbang menjadi jauh lebih selamat berbanding suatu ketika dahulu. Manusia dan upaya fikirnya, ialah kelebihan yang perlu untuk terus memakmurkan bumi dengan kebaikan, membetulkan kesilapan, dan menambah baik keadaan.
Berfikir ini jugalah yang perlu untuk meminimumkan risiko manusia bertukar menjadi makhluk yang melakukan kerosakan dan menumpahkan darah.
Pendidikan juga tidak pernah bermaksud untuk memproses manusia menjadi malaikat.
Allah sudah ada malaikat.
Manusia perlu menjadi manusia.
Manusia ialah manusia, gabungan pada kecenderungannya kepada kejahatan dan kebaikan. Allah yang jadikan manusia itu berkecenderungan ke kiri dan ke kanan. Kemudian Allah datangkan wahyu dan angkat keutamaan ilmu, agar manusia terbimbing pada membuat perancangan dan tindakan antara baik atau buruk.
Pendidikan dan persekolahan, adalah untuk membangunkan upaya fikir manusia, serta menggunakan kemajuan fikirannya untuk berperanan sebagai khalifah.
Jika anak-anak ke sekolah, tetapi sekolah gagal menjadi tempat anak-anak belajar berfikir dan bertindak berasaskan fikiran, anak-anak bersekolah namun tidak berpendidikan.
Kegagalan yang menjadikan bertambah ramai manusia, bertambah ramai perosak dan penumpah darah.
Bukan sahaja kerosakan dan pertumpahan darah itu lahir dalam bentuk peperangan, malah di rumah sendiri ibu bapa boleh menjadi ancaman dan risiko keselamatan ke atas anak mereka sendiri apabila lumpuh upaya mereka berfikir ketika menggalas peranan sebagai pelindung utama.
Fikirkanlah hal-hal ini untuk menjawab semula soalan besar, pendidikan dan sekolah anak kita, sebenarnya untuk APA?
Hasrizal Abdul Jamil
Naas, Ireland
24 Mac 2022