Pesan Pandemik Daripada Sirah Ibrahim A.S. (Bahagian 1)

13,215 kes covid-19 dicatatkan pada 15 Julai 2021. 1708 kes bunuh diri telah dilaporkan dengan purata 3 kes bunuh diri dalam masa satu hari. Lebih 700,000 orang menganggur, bersamaan 4.6% kadar pengangguran. Kes-kes keganasan rumah tangga meningkat, kes-kes kemurungan juga begitu. Kita mengalami keruntuhan emosi, spiritual, ekonomi dan sosial, dari segenap segi dan segenap peringkat dalam masyarakat. Burn-out, realitinya, kita sudah tidak larat lagi menanggung beban ini.

Ibrahim a.s., sang Nabi yang menjadi perhatian kita dalam siri ini, adalah watak yang amat cocok menjadi teladan kita buat masa ini. Sedang Nabi Muhammad (ﷺ) bersabda, bahawa manusia yang paling banyak ditimpakan ujian atau bala adalah para Nabi. Bagaimana jika dia adalah bapa kepada para Nabi, iaitu Ibrahim a.s.?

Ibrahim a.s., suatu watak yang kita mahu telusuri hayatnya yang penuh ujian, bersempena dengan ujian-ujian yang menyelubungi kita hari ini. Sebagaimana Ibrahim diisytihar sebagai Khalilullah, yang hampir dengan Allah (ﷻ) lantaran berjayanya Baginda menjalani saat-saat ujian menimpa, kita juga ingin jadi begitu.

‘Self-care’ Seperti Ibrahim a.s.

وَإِذۡ قَالَ إِبۡرَ ٰ⁠هِـۧمُ رَبِّ أَرِنِی كَیۡفَ تُحۡیِ ٱلۡمَوۡتَىٰۖ قَالَ أَوَلَمۡ تُؤۡمِنۖ قَالَ بَلَىٰ وَلَـٰكِن لِّیَطۡمَىِٕنَّ قَلۡبِیۖ

“Ketika Ibrahim berkata: ‘Wahai Tuhan tunjukkan kepadaku bagaimana dihidupkan sesuatu yang telah mati.’ Dia berkata: ‘Apakah kamu tidak beriman?’ (Ibrahim) berkata: ‘Bahkan tidak, tetapi aku ingin menenangkan jiwaku.’” (Surah al-Baqarah: 260)

Ada suatu mesej penting yang terselit di celah dialog ini, iaitu perakuan seorang Nabi yang mulia, Ibrahim a.s., akan keadaan jiwanya yang tidak beres. Adakah Ibrahim a.s tidak beriman atau ada syak waasangka kepada Tuhannya? Tidak, imannya terlampau jauh lebih tinggi berbanding kesemua makhluk seperti yang telah tergambar dalam perjalanan kehidupannya. Sebaliknya, Ibrahim a.s. sedang validate sesuatu yang bersarang dalam jiwanya, iaitu rasa tidak beres dan tidak tenang.

Kadang-kala, kita sebagai hamba yang daif, lemah, terlupa untuk mencontohi sunnah-sunnah kenabian yang begini. Kita berasa tidak selesa untuk mengakui kelemahan, rasa tidak enak untuk mengakui kekurangan, bahkan rasa berdosa dan berkurang keimanan hanya kerana mengatakan bahawa aku tidak mampu. Ini sangat berbahaya di tengah ujian yang melanda kita.

Inilah toxic positivity, kita sangka kita sedang bersikap positif tetapi ia bakal memakan diri. Manusia ada had kemampuannya, dan sekarang ini kita sedang melalui ujian terbesar yang hanya menimpa dunia satu kali selama 100 tahun. Maka jika ada saatnya dalam hidup ini kita mengadukan masalah, mengakui kelemahan dan meratap kesedihan, inilah masanya.

Masalah pertama seseorang dalam menguruskan dirinya di tengah cabaran adalah dia tidak mengakui dirinya lemah dan memerluan bantuan, inilah denial syndrome. Sedangkan Ibrahim a.s. sendiri mengakui kelemahan dirinya di hadapan Allah (ﷻ). Ketika dia takutkan keberhalaan menimpa umat, Baginda tidak lupa untuk berdoa agar dirinya terlebih dahulu diselamatkan daripada kesyirikan itu. Ketika dia membina Ka’bah bersama Ismail a.s., Baginda tidak lupa untuk berdoa agar dirinya terlebih dahulu yang membangunkan ibadah Solat.

وَإِذۡ قَالَ إِبۡرَ ٰ⁠هِیمُ رَبِّ ٱجۡعَلۡ هَـٰذَا ٱلۡبَلَدَ ءَامِنࣰا وَٱجۡنُبۡنِی وَبَنِیَّ أَن نَّعۡبُدَ ٱلۡأَصۡنَامَ

“Ketika Ibrahim berkata: ‘Wahai Tuhan jadikanlah tempat ini aman dan jauhkan diriku dan keturunanku daripada kami menyembah berhala.” (Surah Ibrahim: 35)

رَبِّ ٱجۡعَلۡنِی مُقِیمَ ٱلصَّلَوٰةِ وَمِن ذُرِّیَّتِیۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلۡ دُعَاۤءِ

“Tuhan jadikanku dan keturunanku dalam kalangan pendiri Solat, wahai Tuhan kami terimalah doa ini.” (Surah Ibrahim: 40)

Marilah mengakui kelemahan kita semua dalam berhadapan dengan ujian covid-19. Supaya kita cari cara dan jalan bagaimana ingin menguruskan cabaran dan masalah ini secara sedar, bukan membiarkan ia surut sendiri tanpa sebarang terapi, takut sampai masanya kita meletus dan melakukan tindakan-tindakan di luar batas.

Ber’me-time’ Dengan Allah (ﷻ)

Babak kehidupan Nabi Ibrahim a.s. memuncak selepas Baginda memecahkan berhala-berhala di Iraq, sehingga membawanya berdiri di hadapan api yang marak menyala, dimalukan oleh Raja dan masyarakat yang telah lama membencinya, bahkan barangkali termasuk ayahnya sendiri. Kini nyawa Ibrahim a.s., ingin ditamatkan serta-merta.

Di saat yang paling getir inilah, Ibrahim a.s. mengucapkan kalimah terakhir sebelum dihunjam ke dalam api yang marak. Hasbiallahu wa ni’mal wakil. Cukuplah bagiku Allah, dia adalah sebaik-baik tempat berserah diri. Ketika ujian nampaknya tidak kunjung henti, ketika segala orang tidak peduli, ketika harapan kepada makhluk tidak lagi bererti, inilah saatnya kita berserah kepada satu-satunya pihak yang tidak akan membiarkan kita bersendiri, Allah (ﷻ). Dia jugalah yang Maha Menyembuhkan, Dia jugalah yang Maha Menahan segala keburukan daripada menimpa kita. Maka cukuplah Dia, sebagai pembela dan sebaik-baik tempat untuk berserah diri. Inilah ‘me-time’ Ibrahim a.s. yang menyelamatkan Baginda daripada dibaham api yang marak.

Alangkah agung kalimah ini, bahkan Nabi Muhammad (ﷺ) mengucapkan ia saat warga Thaqif melempar Baginda dengan batuan keras dan tajam yang mengalirkan darah suci Baginda hingga ke seliparnya. ‘A’isyah r.a., ibu kita, juga mengucapkan ia saat fitnah kecurangannya tersebar dan menggegarkan Madinah.

Cognitive reframing adalah satu bentuk terapi yang penting bagi seseorang yang mengalami ujian. Kita ingin melihat semula secara berasaskan panduan Rabbani mengenai soal takdir Tuhan, hakikatnya takdir-takdir ujian yang berlaku ini adalah di bawah pentadbiran Allah (ﷻ). Maka dengan menyerah diri kepada-Nya, ia menambah kelegaan dan ketenangan, bahawa Dia tidak akan mensia-siakan segala kesabaran dan ikhtiar kita dalam berhadapan dengan ujian-Nya, baik di dunia dan di akhirat.

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Artikel Terkini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *