Pesan Pandemik Daripada Sirah Ibrahim A.S. (Bahagian 2)

Pandemik telah menghimpunkan kita sekeluarga di rumah. Alhamdulillah, suatu anugerah untuk kita punya lebih banyak masa dengan keluarga. Tetapi jangan dinafikan pula cabaran-cabaran yang dipakejkan. 2287 kes keganasan rumah tangga pada tahun 2020 dan ia melonjak lantaran perintah berkurung, 4349 kes keganasan terhadap kanak-kanak. Nombor-nombor ini menyedarkan kita akan the other side of the coin, di sebalik ‘indahnya’ penyatuan keluarga, ada juga berita ‘buruknya’. Di tengah ujian berkeluarga ini, kita ingin belajar daripada Ibrahim a.s., sebagai seorang anak, sebagai seorang pasangan dan sebagai seorang ayah.

Sebagai anak, Ibrahim a.s. mencintai bapanya. Tidak putus asa mengajaknya memeluk hidayah, malah mendoakan kesejahteraan bapanya, mengharapkan agar diampuni dosanya.

“Dia (ayah Ibrahim) berkata: ‘Apakah engkau tidak menyukai tuhanku wahai Ibrahim? Jika engkau tidak berhenti melakukannya aku akan merejammu, lantas tinggalkanku sendirian.’Dia (Ibrahim) berkata: ‘Sejahtera ke atasmu, aku akan memohon ampunan Tuhan ke atasmu, sesungguh Dia terhadapku amatlah luas belas kasih-Nya.’” (Surah Maryam: 46-47)

Ayahnya kekal begitu. Dia tidak dapat mengawalnya. Apa yang dia dapat lakukan adalah memilih kata-kata yang indah, mencintainya sepenuh hati. Saranan ini bukanlah menyuruh anda berdiam diri dan bersabar saja sekiranya dizalimi dan diperlakukan secara tidak baik oleh ibu ayah mahupun pasangan anda. Di sana ada talian-talian yang boleh dihubungi jika keganasan dalam rumah tangga terjadi. Sebagaimana Ibrahim a.s. menghubungi talian bantuan Allah (ﷻ) ketika dihumban ke dalam api, gunakanlah talian-talian bantuan yang ada agar dapat menyelamatkan kita daripada api-api keganasan rumah tangga.

Komunikasi dan Kebersamaan dengan Hajar dan Sarah

Suami dan isteri, adalah dua watak penting dalam sesebuah institusi keluarga. Beresnya hubungan suami isteri, bereslah nanti urusan keluarganya. Cabaran berkeluarga tidak dapat dielak, pergeseran adalah asam garamnya.

Ibrahim a.s telah mendapat arahan Allah (ﷻ), agar meninggalkan Hajar dan Ismail di tanah Hijaz. Tanah kering tanpa sebarang hidupan, hanya berbekalkan sebekas kecil air dan tamar. Sukar sekali situasi ini. Sedang Hajar tentu sekali beriman kepada Tuhan dan kenabian suaminya. Tetapi Hajar tidak terlepas daripada naluri seorang isteri dan ibu, ia sukar buat Hajar. Berkali-kali ia bertanya kepada Ibrahim a.s., “Ke manakah ingin kau pergi setelah meninggalkan kami di lembah yang tiada hidupan dan tiada apa-apa ini?” Ibrahim a.s. tidak menjawab, malah tidak menoleh. Sehinggalah akhirnya Hajar berkata, “Adakah Allah (ﷻ) yang menyuruhmu buat sedemikian?” Ibrahim a.s. menjawab, “Ya” Hajar r.a. akur penuh keimanan, “Oleh itu, Dia tidak akan mensia-siakan dan menyesatkan kita.”

Komunikasi adalah kuncinya. Pertanyaan berkali-kali Hajar tidak membuat Ibrahim melenting, malah diamnya Ibrahim adalah skil komunikasi yang sangat berkesan. Hajar yang kerisauan akhirnya rationalize dirinya dan penuh ketenangan menerima jawapan Ibrahim yang serba ringkas tetapi cukup. Tidak perlu angkat suara, tidak perlu serabutkan sesuatu yang boleh dinilai dengan jelas. Jika kunci kebahagiaan suami isteri adalah komunikasi, pintunya adalah kebersamaan suami isteri dalam menguruskan rumah tangga. Keluarga yang terbina atas sikap sendiri-sendiri, sedang menempuh jalan ke arah cenuram yang berbahaya.

Suatu ketika, malaikat mendatangi rumah Ibrahim a.s. Dialog malaikat dalam peristiwa tersebut asalnya adalah dengan Ibrahim a.s. tanpa melibatkan sang isteri yang berada di lokasi yang sama. Si isteri berperanan di dapur menyediakan makanan dan kudapan buat tetamu, meraikan dan memberi layanan hormat. Saat disampaikan berita akan lahirnya Nabi-nabi, Ishaq dan Yaakub daripada rahim isterinya, Sarah r.a. yang telah tua, memberikan responsnya.

“Datanglah isterinya (Sarah) sambil menjerit (kehairanan) lalu menepuk mukanya sambil berkata: ‘Aku sudah tua, lagi mandul.’” (Surah az-Zariyat: 29)

Terkejut Sarah mendengar khabar luar biasa itu sehingga memukul wajahnya sendiri sedang dia menyatakan bahawa dia hanya seorang tua yang telah mandul, ia reaksi spontan Sarah. Lihatlah bagaimana al-Quran memposisikan Sarah di sisi Ibrahim a.s. Yang kita sangka lampu pentas akan bertumpu kepada Ibrahim a.s sebagai watak utamanya, rupa-rupanya lampu tidak ketinggalan menyimbahkan limpahan cahayanya ke atas Sarah dan Hajar.

Berdialog Dengan Ismail

Pandemik tidak hanya mengesani golongan dewasa, malah kanak-kanak adalah golongan yang bahkan sangat terkesan. Sirah Ibrahim a.s tidak meminggirkan kanak-kanak.

“Maka ketika anaknya itu sampai, Nabi Ibrahim berkata: ‘Wahai anak kesayanganku, sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu.’ Anaknya menjawab: ‘Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu, Insya-Allah, ayah akan mendapatiku dalam kalangan orang-orang yang sabar.’” (Surah as-Saffat: 102)

Ibrahim a.s. hanya perlu buat satu perkara, sembelih sebagaimana diarahkan Allah (ﷻ). Tetapi, Nabi yang agung ini ingin mengajarkan kita suatu yang lebih dari sekadar sembelih anaknya. Dia bertanyakan pandangan anaknya. Apakah di sana ada lagi pertimbangan atau kata dua setelah datangnya arahan Allah? Berinteraksi baik dengan anak juga sebahagian daripada tanda ketaatan si ayah terhadap Allah (ﷻ). Dengan sabar Ismail a.s. menjawab; lakukan saja apa yang disuruh-Nya. Si ayah sangat berbudi bahasa, si anak tidak pula ambil kesempatan.

Kisah-kisah al-Quran senantiasa menginspirasikan, sebab itulah saranan al-Quran buat mereka yang berfikir adalah mencari ibrah yang terkandung di dalamnya. Zulhijjah dan Eiduladha tahun ini kita sambut sederhana sekali lagi seperti tahun yang lalu. Ambillah peluang ini untuk meneroka semula Sirah Ibrahim a.s. serta mereka yang bersama dengannya sebagai uswatun hasanah sebagaimana yang diwartakan Allah (ﷻ) di dalam al-Quran.

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Artikel Terkini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *