Irrendentism merupakan ideologi atau gerakan politik yang memperjuangkan pengilhakan atau pengembalian wilayah yang dianggap memiliki kaitan sejarah atau etnik dengan sebuah negara tertentu. Istilah irrendentism berasal daripada istilah Itali ‘irredento’ yang bererti ‘tidak ditebus.’ Ini membawa implikasi bahawa terdapat wilayah tertentu yang dianggap tidak ditebus, atau wilayah tersebut dipisahkan secara tidak adil daripada sebuah negara dan seharusnya dikembalikan di bawah kuasa dan kendali negara tersebut. Oleh itu, irredentism secara mudahnya membawa maksud perjuangan untuk menebus semula wilayah (tanah) yang terlepas.
Istilah irredentism jarang dibincangkan secara terbuka kerana sebarang usaha untuk menebus semula sesebuah wilayah seringkali dilihat sebagai cubaan untuk menggalakkan jenayah dan keganasan. Ini kerana perjuangan untuk menebus semula sesebuah wilayah berisiko untuk menimbulkan ketegangan dan pertelagahan. Di Indonesia, sehingga tahun 1962, Sukarno memobilisasi usaha untuk mengembalikan semula tanah Irian Barat yang dikuasai oleh Belanda. Tetapi disebabkan Belanda itu adalah penjajah, maka kesatuan dan gerakan untuk menebus Irian mendapat sambutan hebat daripada rakyat Indonesia kerana ia adalah manifestasi penentangan terhadap penjajah yang menjarah bumi Indonesia selama 300 tahun lamanya.
Ketika Malaysia ditubuhkan pada September 1963, Filipina turut menentang penubuhannya atas alasan bahawa Borneo Utara (Sabah) adalah milik Filipina, berdasarkan sejarah pemilikan Kesultanan Sulu sebelum Alfred Dent dan Von Overbeck memajaknya daripada Kesultana Sulu pada 1878. Walaupun tuntutan tersebut tidak berjaya, waris Kesultanan Sulu masih giat menggerakkan usaha untuk menceroboh dan merampas semula bumi Sabah yang sudah merdeka dan berdaulat dengan pembentukan Malaysia tersebut. Paling tragis, pada Februari 2013, sekumpulan pengganas yang membawa panji Sulu menyerang Lahad Datu sehingga mengorbankan nyawa 10 orang anggota keselamatan dan berpuluh-puluh pengganas Sulu sendiri. Apakah yang menjadi motivasi bagi serangan tersebut? Sejarah! Pihak waris Kesultanan Sulu masih berpegang kepada faktor sejarah pemilikan Sabah walaupun ia sudah merdeka dengan referendum rakyatnya sendiri pada September 1963.
Di peringkat antarabangsa, konflik antara Rusia dengan Ukraine juga ditafsirkan oleh para penganalisis geopolitik sebagai satu cubaan irredentism. Rusia, di bawah Vladimir Putin, menatang nostalgia keluasan empayar Soviet Union untuk menjustifikasikan pencerobohannya di kawasan selatan dan utara Ukraine. Ia berlaku pada tahun 2022, selepas Putin pernah melakukan usaha yang sama di Crimea, pada 2014. Putin mencetus dan menyalakan api etnonasionalisme dengan mengimbau sejarah kegemilangan Soviet Union yang pernah menjadi antara kuasa terpenting dunia sehinggalah perpecahannya pada tahun 1991. Kata Putin pada 2014, seperti yang dipetik oleh media, “The Russian people became [in 1991] one of the biggest, if not the biggest, divided nation in the world.” Bagi Putin, malah bagi para pejuang irredentism yang lain, penebusan wilayah ialah usaha untuk menyatukan dan mengembalikan kegemilangan tanah mereka seperti yang pernah disaksikan oleh sejarah. Ia bukannya usaha untuk perpecahan dan kemusnahan, begitulah retorikanya.
Wacana irredentism yang menjadikan sejarah sebagai sumber motivasi dan alat perjuangan kini marak semula di Malaysia. Isu pemilikan Pulau Pinang dengan Kedah merupakan contoh terkini irredentism digerakkan oleh faktor sejarah. Menteri Besar Kedah, YAB Sanusi Mohd Nor kembali melaungkan tuntutan terhadap Pulau Pinang atas alasan bahawa Pulau Pinang adalah dipajak oleh Francis Light sejak penghujung abad ke-19. Walaupun berlaku pertikaian atas kewujudan dokumen perjanjian 1786, pembayaran wang sebanyak 10,000 dolar Sepanyol sejak itu bukanlah satu rahsia.
Makalah ini tidak bertujuan menelusuri sejarah pemerdayaan Pulau Pinang oleh Francis Light tetapi lebih menumpukan kepada tuntutan terhadap negeri ini selepas Malaysia merdeka sebagai Persekutuan Tanah Melayu pada 1957. Walaupun terdapat beberapa cubaan awal untuk menimbulkan soal kedaulatan Pulau Pinang, kesungguhan yang ditunjukkan oleh MB Kedah, YAB Sanusi baru-baru ini kelihatan lebih serius dan memotivasikan para penyokongnya serta beberapa tokoh pengkaji sejarah.
Sebagai seorang pelajar sejarah, penulis tidak menafikan sejarah Pulau Pinang yang pernah dimiliki oleh Kedah. Sejarahnya tidak pernah dipertikaikan. Walau bagaimanapun, perkembangan pembentukan sebuah negara baharu sejak 1963 memberikan legitimasi terhadap Pulau Pinang sebagai negeri yang merdeka. Faktor sejarah semata-mata tidak dapat menjustifikasikan tuntutan Kedah terhadap Pulau Pinang.
Jika ditelusuri sejarah, pada 1909 ketika British membentuk Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu, Kedah dan Pulau Pinang kekal terpisah dalam dua unit pentadbiran yang berbeza. Tiada tuntutan yang dibuat oleh Sultan Kedah terhadap Pulau Pinang yang berada dalam unit Negeri-negeri Selat. Kemudian berlaku satu lagi perkembangan penting yang mendefinisikan negeri-negeri Melayu iaitu penubuhan Persekutuan Tanah Melayu (PTM) pada 1948. Setelah British gagal menubuhkan Malayan Union pada 1946, PTM ditubuhkan dengan tidak menganggu gugat kuasa dan kedaulatan raja-raja Melayu seperti yang cuba digugah dalam Malayan Union. Ketika ini juga tiada cubaan oleh Sultan Kedah supaya British mengembalikan Pulau Pinang kepada Kedah. Ia kekal dalam unit Negeri-negeri Selat.
Kemudian, pada 1957 Malaysia merdeka dengan nama PTM juga. Perjanjian Kemerdekaan Tanah Melayu yang ditandatangani pada 5 Ogos 1957 antara raja-raja Melayu dan Sir Donald McGillivray yang mewakili Queen Elizabeth memaktubkan dalam Perkara 3 bahawa semua negeri Melayu dan negeri Selat, kecuali Singapura, akan merdeka dengan tertubuhnya Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957. Walaupun terdapat desakan daripada UMNO Pulau Pinang pada 1956 untuk Pulau Pinang dikembalikan kepada Kedah, namun ia tidak berjaya. Akhirnya pada September 1963, dengan tertubuhnya Malaysia, sebuah negara baharu dengan tambahan Sarawak, Sabah dan Singapura, soal penebusan semula Pulau Pinang tidak lagi berbangkit kerana tiada tuntutan rasmi yang diajukan oleh pihak istana Kedah. Pulau Pinang dan Kedah kekal sebagai dua negeri yang berasingan setelah terdapat beberapa ruang dan peluang untuk ia disatukan dalam sebuah negeri, iaitu Kedah.
Demikianlah rentetan sejarah yang menyebabkan Pulau Pinang kekal sebagai negeri yang merdeka. MB Kedah yang pada awalnya bersemangat dengan gerakan irredentism beliau juga akhirnya menukar kenyataan bahawa beliau bukan menuntut Pulau Pinang dikembalikan, tetapi hanya meminta wang pajakan dinaikkan daripada nilai RM10 juta yang dibayar kini. Namun, mendengar ucapan beliau dalam sebuah himpunan yang dinamakan Kedah Berselawat baru-baru ini yang berapi-api, memang MB Kedah tersebut mempunyai hasrat untuk menebus semula Pulau Pinang. Antaranya beliau menggambarkan penebusan semula Pulau Pinang itu umpama sebagai pembukaan kota Konstantinopel oleh Sultan Muhamad al-Fateh.
Demikianlah, gerakan irredentism dalam konteks negara Malaysia yang menggerakkan roda sejarah sebagai alat propaganda yang ampuh. Walaupun ia tidak terlaksana, impian tersebut tidak akan terpadam begitu sahaja tanpa penjelasan dan wacana bagi menguraikan kekusutan tersebut. Usaha seperti pemisahan wilayah dan irredentism hanya menimbulkan keresahan, bukan menyumbang kepada pembinaan negara yang aman dan makmur. Sejarah tidak pernah menipu, tetapi berhati-hatilah dengan mereka yang mengucapkannya.