Polemik Status Pulau Pinang: Propaganda Sejarah Dan Fahaman Irredentism – Bahagian 1

Penulis: Dr Sahul HM


Dalam pergulatan moden bersama sains dan teknologi, ilmu sejarah sudah menjadi seperti ilmu dan disiplin kelas kedua. Yang diuar-uarkan di sana sini dalam segala pertemuan bersama wakil pemerintah, tiada pun yang berminat untuk menggalakkan penerokaan sejarah yang lebih autentik. Dalam segala zaman, ilmu sejarah hanya bernilai ketika rakyat dan negara berkonflik. Ketika itulah dapat kita saksikan berduyun-duyun pakar jadian, pseudosejarawan, yang memetik sejarah bagi menjustifikasikan tindakan dan reaksi mereka terhadap sesuatu peristiwa. Lalu sejarah yang selalunya digunakan sebagai pencerah, bertukar menjadi alat propaganda atau lebih malang, digunakan sebagai senjata untuk menjajah.


Salah satu cara utama sejarah digunakan sebagai propaganda adalah melalui penceritaan selektif. Pemerintah atau penguasa seringkali menyoroti peristiwa atau tokoh tertentu sambil mengabaikan atau menghilangkan sisi yang lain untuk menciptakan naratif tertentu yang seiring dengan kepentingan mereka. Hal ini melibatkan pemujian pencapaian masa lalu, kepahlawanan, dan ceritera kemenangan sambil mengurangi atau mengabaikan kecacatan, kesalahan, atau ketidakadilan yang dilakukan oleh individu atau entiti yang sama. Dengan membentuk sejarah seperti ini, mereka yang berkuasa dapat membangkitkan rasa bangga yang menjurus kepada nasionalisme, penyatupaduan, dan sekaligus mencipta legitimasi.


Pendekatan lain yang digunakan dalam propaganda sejarah adalah manipulasi simbol dan gambaran sejarah. Simbol dan tokoh sejarah dapat diambil dan disesuaikan untuk melayani agenda tertentu. Ia dapat dilihat dalam penggunaan simbol nasionalistik, seperti bendera atau monumen, untuk membangkitkan emosi yang kuat bagi menumbuhkan rasa patriotisme atau kesetiaan. Tokoh sejarah dapat digambarkan dengan cara yang menekankan kebajikan dan pencapaian mereka, dalam masa yang sama mengabaikan aspek kontroversial atau negatif dari karakter mereka. Dengan mengaitkan diri mereka dengan tokoh atau peristiwa sejarah yang dihormati, propagandis sejarah berusaha melegitimasi tindakan mereka sendiri dalam usaha menggembleng dukungan rakyat.


Selain itu, interpretasi dan reinterpretasi peristiwa dan fakta sejarah adalah strategi propaganda yang biasa digunakan. Naratif sejarah dapat diubah, dimanipulasi, atau bahkan dibuat-buat supaya kelihatan sesuai dengan agenda tertentu. Fakta dapat disajikan secara selektif, dilebih-lebihkan penceritaannya, bahkan difabrikasi sepenuhnya untuk mendukung versi sejarah yang diinginkan. Hal ini dapat dilakukan melalui kaedah tapisan, pembinaan kurikulum pendidikan, atau penyebaran maklumat yang terseleweng melalui saluran media. Dengan mengendalikan maklumat yang tersedia untuk umum, propagandis dapat mempengaruhi ingatan kolektif dan pemahaman tentang peristiwa sejarah.


Dalam era yang segalanya disandarkan kepada media sosial hari ini, kebenaran diukur daripada keupayaan maklumat itu diakses dan bertebaran dalam media sosial. Semakin banyak sesuatu maklumat itu ditayang dan diulang di media sosial, semakin tinggi kadar penerimaan terhadapnya, meskipun kebolehpercayaan terhadap maklumat tersebut masih boleh dipertikaikan. Walaupun secara rasionalnya kebolehpercayaan maklumat adalah elemen yang penting untuk dipertimbangkan, ingatan kolektif dan gejolak ‘bandwagon’ menenggelamkan rasionaliti itu, setidak-tidaknya buat masa yang sebentar. Kesahihan maklumat tenggelam dek kerana runtunan emosi dan sentimen. Tabayyun? Jauh sekali untuk difikirkan jika ia melibatkan diri sendiri. Meneliti kesahihan maklumat tidak menjadi prasyarat dalam menegakkan kebenaran sejarah.


Manipulasi sejarah sebagai propaganda tidak terbatas pada pemerintah dan institusi; individu dan kelompok politik juga menggunakan taktik ini untuk memperjuang dan memajukan kepentingan mereka. Naratif sejarah dapat digunakan untuk membenarkan ideologi, memprovokasi kebencian atau perpecahan, dan memobilisasi dukungan untuk sebab atau gerakan tertentu. Dengan memutarbalikkan peristiwa sejarah atau mempromosikan teori konspirasi misalnya, individu atau kelompok dapat memanipulasi pendapat umum dan meraih pengikut. Kesedaran tentang ketaksuban dan kesediaan pengikut untuk membuta tuli mempercayai propaganda sejarah sangat membantu pseudosejarawan yang bertindak sebagai propagandis.

Natijahnya, kerosakan terhadap kestabilan fabrik masyarakat lebih pantas berlaku apabila kita mendapati bahawa pseudosejarawan atau propagandis ini terdiri daripada pihak yang mempunyai kuasa atau pemerintah itu sendiri. Disebabkan kuasa yang ada padanya, ia lebih berupaya mencetuskan kegusaran awam dan berupaya pula berkonfrontasi dengan pihak yang berlawanan dengannya atas kepercayaan bahawa ia sudah menguasai pengetahuan yang penting tentang realiti masyarakat berdasarkan sejarahnya.


Melalui propaganda sejarah, pendapat umum perlahan-lahan dapat dibentuk, dikuasai dan kemudian digerakkan untuk menyokong sesuatu tuntutan. Dari situlah akhirnya muncul satu gerakan penting yang dicetuskan oleh faktor kesedaran sejarah (walaupun tafsirannya masih boleh diperdebatkan). Gerakan atau fahaman yang dimaksudkan ialah iredentasi, atau dalam bahasa Inggerisnya dikenali sebagai irredentism.


Irrendentism merupakan ideologi atau gerakan politik yang memperjuangkan pengilhakan atau pengembalian wilayah yang dianggap memiliki kaitan sejarah atau etnik dengan sebuah negara tertentu. Istilah irrendentism berasal daripada istilah Itali ‘irredento’ yang bererti ‘tidak ditebus.’ Ini membawa implikasi bahawa terdapat wilayah tertentu yang dianggap tidak ditebus, atau wilayah tersebut dipisahkan secara tidak adil daripada sebuah negara dan seharusnya dikembalikan di bawah kuasa dan kendali negara tersebut.


Menelusuri wacana ini adalah penting untuk membolehkan kita memahami polemik Pulau Pinang-negeri-pajakan dan retorik ‘Pulau Pinang milik Kedah’ yang kini galak dimainkan sebahagian pihak bagi kepentingan politik sempit mereka.


Bersambung…

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Artikel Terkini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *