Ramadan dan Memperingati Golongan yang Kebuluran

Penulis: Imran Rasid

Kini sudah menjelang beberapa minggu kita menyambut bulan Ramadan (1444 Hijrah). Lazimnya, umat Islam pada waktu ini akan menumpukan kegiatan harian mereka dengan berpuasa dan beribadat. Tiap malam, selain daripada solat terawih, tidak kurang yang beri’tikaf di masjid-masjid. Ramadan umpamanya sebuah bulan memencilkan diri, memisahkan diri daripada ruang sosial.

Tetapi ramai juga terlupa bahawa ibadah berpuasa di bulan Ramadan juga mempunyai dimensi sosial yang mendalam. Misalnya, kita menutup gerbang Ramadan dengan Zakat al-fitrah, suatu bentuk sedekah kepada golongan asnaf. Kebiasaannya di pagi Aidilfitri, sebelum menunaikan solat hari raya, ramai yang berpusu-pusu menyelesaikan bayaran zakat fitrah mereka di masjid-masjid.

Pembayaran ini bukan sahaja untuk membantu golongan miskin, tetapi adalah suatu peringatan bahawa dalam melangsaikan tanggungjawab puasa — iaitu untuk mendidik dan melatih diri kita menjadi Muslim yang lebih cekal dan tekad — juga harus beringat kepada orang yang susah.

Aspek sosial inilah yang memaksa saya merenung maksud Ramadan melangkaui kerangka ibadah ritual; melangkaui solat terawih dan witir, melangkaui lapar dan dahaga. Sepanjang Ramadan ini, saya bertanyakan sendirian: bagaimanakah bulan yang diberkati ini boleh dimaknai secara sosial?

Pertanyaan ini, pesan saya kepada diri sendiri, bukan ajakan untuk berteori. Sebaliknya, ianya ajakan untuk menjenguk ke luar jendela dan bertemu mata dengan golongan yang terpinggir; golongan yang miskin dan dizalimi. Hakikatnya, dunia hari ini, baik untuk Muslim atau bukan Muslim, masih dibelenggu dengan kemiskinan tegar yang merunsingkan.

Selepas pandemik COVID-19, kadar kemiskinan tegar meningkat sejumlah 9.6 peratus pada tahun 2020, setelah bertahun-tahun melalui penurunan (laporan tahunan SDG). Anggaran menunjukkan peningkatan daripada 119 juta orang miskin tegar kepada 124 juta orang pada tahun 2020, dan 60 peratus darinya berada di Asia Selatan. Di Malaysia, kemiskinan tegar juga meningkat daripada 5.6 peratus (2019) kepada 8.4 peratus (2020).

Seorang miskin tegar, mengikut takrif United Nations, ialah individu yang berpendapatan sekadar US $1.25 sehari. Maksudnya, dengan pendapatan sedemikian, mereka terdedah dengan masalah kebuluran dan ketidakcukupan nutrisi setiap hari. Berbeza dengan kita yang berlapar dan dahaga hanya di bulan Ramadan, mereka berpuasa sepenuh masa. Bukan dengan rela seperti kita, tetapi kerana desakan kehidupan.

Melihat data-data dan laporan ini saya bermuhasabah mengenangkan puasa yang saya amalkan sekarang. Bukankah kita berpuasa dengan berlapar dahaga antaranya untuk mengenang nasib golongan ini? Ya, tentu sekali. Pun demikian, persoalan besarnya, bagaimana usaha ‘mengenang” nasib golongan pinggiran ini dapat diangkat menjadi satu tindakan solidariti?

Persoalan ini semacam terjawab dalam sebuah perenggan yang dikarang oleh Farid Esack, tokoh pemikir teologi pembebasan, dalam tulisannya On Becoming Muslim. Saya membacanya di awal bulan Ramadhan, sekaligus mengubah paradigma saya:

“Buat sekian lamanya, saya percaya bahawa sebab utama ramai orang mati sebab ketidakcukupan makanan adalah kerana sebahagian kecil lain yang mati kerana makan terlalu banyak. Saya juga bermuhasabah tentang sifat sedekah dan belas kasihan. Selalunya, hal ini mengandaikan bahawa orang miskin akan sentiasa bersama kita, dan kita memerlukan orang miskin untuk menyucikan jiwa kita…Ramai sarjana, dan juga orang Islam yang prihatin akan masalah sosial, selalu menyebutkan bahawa kita berpuasa untuk bersimpati kepada golongan miskin dan kebuluran. Adakah ini bermaksud kita membayangkan orang Islam sebenarnya kaya, atau berkemampuan? Siapa yang membina wacana yang meletakkan orang kaya sebagai subjek keagamaan dan orang miskin sebagai objek, sungguhpun disertakan dengan tanggapan bahawa mereka tidak berpuasa atau perlu berpuasa?”

Celahan saudara Farid Esack ini memaksa saya memikir-ulang maksud berlapar dahaga, dan bersedekah di bulan puasa. Tidaklah bermaksud amalan puasa dan beramal kebajikan itu salah, tetapi big picture yang biasa kita bayangkan di sebalik amalan ini terlalu sempit. Terlalu sesak dan syok sendiri.

Jadinya, bagaimana harus kita memaknai amalan ini dengan lebih menyeluruh? Bagaimana harus kita mengingati golongan miskin dan tertindas dengan lebih tuntas? Saya kira ada tiga perkara utama yang harus disertakan.

Pertamanya, mengingati golongan miskin ialah mengingati hubungan kita dengan isu kemiskinan. Apakah maksud kemiskinan dalam visi kemasyarakatan kita? Kemiskinan bukanlah sesuatu yang lumrah, atau natural, dalam sesebuah masyarakat. Ianya adalah suatu gejala yang harus ditangani setiap anggota masyarakat. Kemiskinan ialah beban yang kita tanggung secara bersama.

Keduanya, apabila kita memikirkan golongan miskin dalam kerangka isu kemiskinan, maka kita harus juga bertanyakan apakah sistem atau hubungan sosial yang membiakkan masalah ini. Misalnya, baru-baru ini, saya terbaca laporan Oxfam 2022 yang menyebutkan bahawa sewaktu pandemik COVID-19, kekayaan 10 orang terkaya di dunia berganda, manakala pendapatan 99% penduduk dunia merudum dengan teruk sekali.

Saya tidak boleh membayangkan kegilaan sebuah sistem yang membolehkan orang kaya menjadi kaya sewaktu satu dunia sedang sengsara. Ini sistem yang gila dan menindas. Dan sebab itulah solidariti kita kepada golongan tertindas harus melangkaui dimensi “sadaqah” semata-mata.

Ketiga, dan yang terakhir, memaknai masalah penindasan juga bermaksud mengembleng massa (miskin dan bukan miskin) untuk mendesak perubahan kepada aturan kehidupan yang memijak-mijak golongan pinggiran. Ingatan kepada orang miskin tanpa tindakan serupalah angan-angan yang membuang masa. Sejenis lancapan minda yang tidak membatalkan puasa, tetapi tetap sia-sia.

Tentunya perubahan berskala besar ini tidak sempat dibereskan dalam bulan Ramadhan kali ini (ataupun tahun depan). Tetapi semangat Ramadan, seperti yang diujarkan oleh Seyyed Hossein Nasr, adalah “untuk memperoleh nafas baru dan kelahiran semula bagi mempersiapkan setiap umat Islam untuk berdepan dengan tahun berikutnya untuk hidup bagi memenuhi kehendak Ilahi”. Ianya suatu proses membina kekuatan dan keazaman untuk menjadi Muslim yang lebih baik.

Barangkali, dalam Ramadan kali ini, kita sematkan juga azam untuk menjadi Muslim sosial yang lebih baik; yang lebih mengingati golongan miskin dan tertindas dengan lebih baik. Yakinlah bahawa itu juga perintah penting bagi memenuhi kehendak Ilahi.

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Artikel Terkini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *