Penulis: Dr Sahul HM
Pada 14 Mei 2023, di Pusat Dagangan Dunia (WTC, dulunya dikenali sebagai P [Putra] WTC) berlangsung satu peristiwa penting yang menjadi antara titik terpenting sejarah politik negara ini. Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan, menghimpunkan 19 parti politik daripada pelbagai spektrum pemikiran dan ideologi, demi mempertahankan kelangsungan pentadbiran pasca PRU-15.
Mengapa ia penting? Kerana buat kali pertama, Dewan Merdeka yang biasanya menjadi medan pelancaran perang parti UMNO, akan turut bersama-sama diduduki oleh parti yang pernah menjadi musuh ketatnya, DAP. Lebih daripada itu, sosok utama yang memungkinkan semua ini berlaku, adalah orang yang bernama Anwar Ibrahim, sang Perdana Menteri ke-10 – PMX gelarannya. Bagi para pemimpin DAP, inilah kali pertama mereka menjejakkan kaki ke Dewan Merdeka ini walaupun mungkin tiada larangan khusus yang pernah dikeluarkan untuk menghalang mereka untuk masuk ke dalamnya. Bagi PMX pula, beliau kembali menjejakkan kaki ke Dewan Merdeka selepas 25 tahun dipecat daripada UMNO. Mungkin Nostrodamus pun tak bisa meramalkan ini boleh berlaku sedemikian. Masakan tidak. Semua pengikut politik di Malaysia tahu betapa kerasnya permusuhan antara UMNO dengan DAP, dan betapa slogan No Anwar, No DAP dilaungkan dengan gagah dan megah di bangunan yang sama hanya beberapa bulan yang lalu.
Perkembangan yang menarik ini mengujakan untuk diikuti. PMX, ketika berucap dalam perhimpunan tersebut, meluahkan keyakinan beliau bahawa konvensyen ini menjadi petunjuk kekuatan dan kestabilan kerajaan perpaduan. Memetik laporan dalam portal Astro Awani, PMX berkata, “Alhamdulillah, konvensyen hari ini memberikan signal yang jelas kepada rakyat Malaysia dan dunia bahawa kerajaan ini bukan sahaja stabil, tetapi InsyaAllah kekal sehingga PRU akan datang. Kekal untuk apa? Kekal untuk pastikan tata kelola mesti baik, hentikan amalan rasuah, penyalahgunaan kuasa dan keduanya, memastikan dasar yang boleh memacu pertumbuhan dan membela nasib rakyat negara kita.”
Seperti biasa, PMX masih tegar dengan perjuangan beliau yang menekankan prinsip anti-korupsi. Itulah yang menjadi tema dalam perjuangan reformasi beliau dan partinya dalam tempoh 25 tahun kebelakangan ini. Tiada keraguan baginya. Namun, ini juga menimbulkan tanda tanya yang baharu.
Sejak tahun 1998, PMX melancarkan reformasi bagi merombak segala sistem dan aturan yang dibina oleh UMNO sejak 1957 (Walaupun beliau sendiri pernah berada dan berfungsi dalam sistem tersebut sejak 1982, itu cerita lain!) Melalui parti yang diterajuinya, Parti Keadilan Rakyat (PKR), PMX gigih berjuang, jatuh bangun, dipukul dan dipenjara demi untuk memperjuangkan idealisme ‘tadbir urus dan tata kelola’. Melihatkan kepada ucapannya dalam konvensyen tersebut, masih jelas terlihat aspirasi beliau berkaitan subjek ‘tata kelola dan anti-korupsi’.
Ironinya, ketika beliau memegang jawatan Perdana Menteri ini, beliau berdiri di situ atas sokongan dan dukungan sebuah parti yang beliau lawan kerana kelemahan tatakelola dan korupsinya sejak bertahun-tahun kebelakangan ini. Bukanlah makalah ini bertujuan untuk memburukkan UMNO yang banyak jasanya kepada negara ini. Tetapi hakikatnya memang terdengar di telinga dan terlihat di depan mata. Sekian banyak pemimpinnya terpalit dengan kontroversi korupsi dan penyalahgunaan kuasa. Natijahnya, sekian banyak juga tatakelola yang terpelecok dan terseleweng kerananya. Yang dilawan dan ditentang oleh PMX selama ini bersama-sama dengan parti dan sekutunya adalah untuk menewaskan kebobrokan tersebut. Tetapi, tiba-tiba, yang dilawannya kini menjadi kawannya yang paling baik. Inilah dilemanya.
Reformasi yang dihajatkan, dapatkah direalisasikan bersama-sama UMNO yang menentang reformasi tersebut? Bisakah kerajaan PMX ini menggerakkan perubahan dalam sektor-sektor yang diterajui oleh para pemuka UMNO?
Dalam beberapa portfolio penting yang dipegang dalam kabinet kerajaan perpaduan ini, berapa ramai menteri UMNO yang dikritik dan dikecam rakyat berbanding menteri daripada Pakatan Harapan (PH)? Yang menjadi poin di kanta teropong rakyat terbanyak hari ini bukan menteri UMNO, tetapi menteri PH.
Orang tak bercakap tentang Khaled Nordin yang menerajui Kementerian Pengajian Tinggi, tetapi selalu sahaja membedil Fadhlina Sidek yang mengepalai Kementerian Pelajaran. Orang tak peduli pun apa-apa yang dilakukan oleh Menteri Pertahanan, tetapi sering sahaja mengecam Menteri Dalam Negeri. Orang sentiasa meneropong pergerakan Menteri Pengangkutan tetapi tak kisah pun dengan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah. Orang tak kisah dengan Menteri Perdagangan Antarabangsa, tetapi kerap sahaja menyindir Menteri Ekonomi.
Ini semua kerana apa? Kerana idealisme yang dipernah dijaja dan ditawarkan oleh para politikus PH tidak sama dengan yang dijanjikan oleh politikus UMNO. UMNO tidak menjadikan ‘reformasi’ sebagai modal, tetapi PH ya. UMNO kekal selesa dengan sistem dan amalan yang diwarisinya sejak puluhan tahun lalu, tetapi PH tidak.
Lalu apabila PKR/PH membentuk kerajaan bersama-sama UMNO di dalamnya, apakah reformasi yang diimpikan itu dapat terlaksana? Mampukah PKR/PH membersihkan segala sisa tinggalan dan daki daripada pemerintahan terdahulu yang ditentangnya itu? Inilah cabaran besar yang didepani oleh PMX dalam kerajaan perpaduan ini. Ibarat telan mati mak, luah mati bapak.
Nak dicantas semuanya, takut melukakan hati UMNO, teman baharunya. Nak dibiarkan tanpa tindakan, jadi modal pula kepada pembangkang, dan pada masa yang sama rakyat mengkritik tak henti-henti. Tindakan PMX waktu ini harus sangat berhati-hati, umpama menarik rambut dalam tepung. Tepungnya tak berserak, rambutnya pun tak putus. Kerja mempromosikan tata kelola yang baik dan strategi anti-korupsi harus dilangsungkan. Pada masa yang sama, UMNO juga perlu dijaga dan dipelihara sensitivitinya.
Dalam kerajaan perpaduan yang diterajui oleh PMX ini, reformasinya tumbuh tetapi terbantut. Seperti pokok bonsai, ia hidup merimbun, tapi tak meninggi. Hidupnya tetap perlu dibaja dan diairi, walaupun hakikatnya disedari ia tak bisa mencakar langit.