Penulis: Dr Sahul HM
Alhamdulillah hari raya Aidilfitri sudah berakhir pada tanggal 22 April 2023 yang lalu. Kita masih berada pada bulan Syawal dan seperti kebiasaan tradisi di Malaysia, kita menyambutnya sehingga ke penghujung Syawal.
Aidilfitri, dari segi syarak hanya disambut sehari, tetapi sejak 30 tahun kebelakangan ini, ia diharung selama 30 hari. Seingat saya, ketika waktu kecil dahulu pada tahun-tahun 1980-an, paling lama pun ia disambut selama tiga hari. Ia berdasarkan kepada rancangan televisyen yang ditayangkan sehingga ‘Raya ke-3’. Itulah satu-satunya sumber hiburan yang ada bagi orang kampung yang tinggal jauh daripada kemajuan di bandar, yang tersedia panggung wayang di sana. Televisyenlah yang menjadi sumber berita dan sumber pengetahuan. Sebarang berita yang tersebar melalui televisyen menjadi pegangan dan panduan.
Jadi, kalau program televisyen mengisyaratkan raya melalui rancangannya selama tiga hari, maka tiga harilah hari raya yang difahami. Habis dari mana pula datangnya sambutan 30 hari Aidilfitri ini? Ia, saya percaya, adalah hasil gabungan antara peranan televisyen dan keghairahan pihak kerajaan yang mula mengadakan rumah terbuka Aidilfitri melangkaui tiga hari pertama Syawal tadi. Pihak kerajaan negeri, kemudian dituruti oleh agensi kerajaan mula menganjurkan rumah terbuka yang meleret-leret, asal namanya bulan Syawal, sehingga hari raya Aidilfitri mula dirasakan seperti sebulan, bertepatan dengan puasa sebulan pada bulan Ramadan sebelumnya. Jadi, sebulan lawannya sebulan. Televisyen sebagai medium penyebar maklumat pula membantu mempopularkan budaya baharu ini sehingga kita mula percaya dan menerima bahawa raya adalah sebulan.
Walau bagaimanapun, rencana ringkas ini bukanlah bertujuan untuk menelusuri sejarah, apatah lagi hukum sambutan Aidilfitri selama sebulan. Rencana ini ingin meninjau kecenderungan sambutan hari raya Aidilfitri yang semakin materialistik. Hari raya yang kita sambut sedang berubah (malah sudahpun!) daripada hari untuk menterjemahkan syukur kepada Sang Pencipta, kepada hari untuk menunjuk-nunjuk kemewahan sesama manusia. Daripada sunnah memakai pakaian terbaik yang kita ada, kini kita didorong-dorong untuk membeli pakaian yang baharu setiap kali hari raya. Istilah ‘terbaik’ sudah semakin luput digantikan dengan ‘terbaharu’. Tempoh 30 hari berpuasa menahan nafsu dalam bulan Ramadan tidak dapat membantu kita untuk menahan diri daripada sakan membeli-belah menjelang Syawal.
Syawal, bagi kita, ialah hari untuk melepaskan apa-apa yang tertahan sepanjang Ramadan. Itu belum lagi dikira dengan keghairahan tema raya. Warna bajunya sedondon, jenis fabrik juga berubah mengikut tahun. Potongan dan desain juga tak boleh sama dengan yang lepas-lepas.
Menjelang hari raya, tempahan kereta baharu melonjak tinggi sehingga ada yang melepas kerana terlewat ‘booking’. Iklan dan diskaun kereta di mana-mana, buat menarik hati pembeli prospek yang sedang ghairah mengumpul wang untuk menayang kereta pada 1 Syawal. Kalau di rumah, langsirnya hampir pasti diganti baharu. Perabotnya juga begitu. Inilah masanya untuk bermegah dengan yang baharu dan yang terkini kerana tetamu akan berkunjung pada hari terbuka yang diadakan nanti. Takkanlah nak gantung langsir tahun lepas lagi, kan?
Untuk mendapatkan semua ini, kita terpaksa berhempas-pulas membuat kerja tambahan, pada bulan Ramadan. Ramadan yang sepatutnya kita berhempas-pulas beribadah, kini menjadi bulan kerja ‘overtime’. Dengan ‘overtime’ itulah kita bercita-cita untuk memenuhi segala kehendak material yang kita sendiri ciptakan. Bagi yang berniaga, Ramadan adalah musim untuk pulun sakan berniaga. “Setahun hanya sekali”, bukan untuk puasa, tetapi untuk berhabis pada hari raya. Bagi yang bekerja juga, inilah masanya kita berharap bahawa majikan akan menabur ehsan memberi bonus. Lebih banyak bonus, lebih meriah raya.
Saya teringat perkataan beberapa kenalan berbangsa Tionghua ketika di kampung dulu-dulu ketika ditanya tentang raya mereka. Balas mereka, “Kalau ada wang, hari-hari pun raya maa….” Maksudnya, raya mesti kena ada duit. Tanpa duit, raya tiada makna. Benar, segalanya memerlukan duit. Tapi dalam konteks hari raya yang kita sambut ini, ia semakin melarat dan meleret dari segi maqasidnya.
Tidak kurang sahabat kita yang bermuram dan berdukacita menjelang hari raya, kerana apa? Kerana sedih akan dosanya? Atau kerana rindu akan ibu bapa dan saudaranya? Tidak. Ramai yang bersedih mengenangkan ‘duit’. Tanpa duit, tiada material. Tanpa material tiadalah raya, atau tiadalah kemeriahan raya dapat dirasa.
Bukanlah salah untuk bergembira dan berbelanja pada hari raya, tetapi kita sedang mencipta suatu perayaan yang trajektorinya sedang bergerak keluar daripada orbit asal yang dikehendaki oleh agama.
Dalam tempoh 30 tahun ini sahaja kita sudah dapat merasai perubahan yang begitu ketara, bayangkanlah beberapa puluh tahun yang akan datang. Apakah nanti kita akan terus mengabdikan diri untuk bekerja dan mencari duit menjelang hari raya demi memenuhi kehendak material atau kita akan menjadi manusia yang lebih fokus kepada Tuhan yang mahukan kita keluar daripada materialisme dan individualisme? Kitalah yang mencipta pelbagai kemahuan atas nama kegembiraan. Sedang pada asalnya bisa sahaja kita berhari raya tanpa rasa tertekan dengan kehendak material.
Ramadan tidak mengubah apa-apapun dalam diri kebanyakan kita, kecuali mengubah paparan nombor pada alat penimbang berat kita.
Pesanan ini adalah peringatan untuk diri saya yang menulis dan anda yang sedang membacanya.