Penulis: Dr Sahul HM
Kita ada masalah yang besar, berskala mega. Atau lebih besar daripada itu mungkin. Apa masalahnya? Hubungan antara kaum. Menjelang tahun ke-60 pembentukan sebuah negara bangsa bernama Malaysia, kita masih bercakaran dan berburuk sangka antara satu sama lain. Ini realiti yang tak dapat disangkal oleh sesiapapun, khususnya setiap kali menyambut pesta pilihanraya umum negara kita. Entah dari mana, tiba-tiba keluarlah sekalian pemancing emosi dan penghasut kebencian bermaharajalela memainkan peranan mewakili syaitan yang sentiasa ingin melihat manusia hidup berantakan.
Tidak seperti dulu, hari ini, setiap daripada kita mempunyai kebebasan untuk mengetik isi hati kita secara bebas di platform yang dinamakan sebagai media sosial itu. Setiap orang adalah karyawan. Setiap kita adalah pahlawan. Karyawan yang menukil karya meluah isi hatinya dan pahlawan yang menuang resah hati membela bangsanya. Ibarat motto AirAsia, ‘Now everyone can fly’, begitu juga kini ‘Now everyone can write’.
Masalah ini bukan masalah satu bangsa khusus sahaja. Bukan masalah bangsa majoriti semata-mata, tetapi adalah masalah, atau penyakit, yang dihidapi oleh bangsa minoriti juga. Ibarat kencing manis dan darah tinggi, ia tidak mengenal latar bangsa dan agama. Siapapun yang terlebih gula, dihinggap kencing manis dan siapapun yang terlebih garam dihinggap darah tinggi. Apa puncanya masalah ini sehingga kita belum mampu menyelesaikannya dalam tempoh yang panjang ini? Ketidakfahaman, atau salah faham, atau gagal untuk memahami antara satu sama lain. Itulah punca utamanya. Kita, warga Malaysia yang pelbagai latar kaum, masih belum memahami hati budi manusia daripada kaum (dan agama juga!) yang berbeza dengan kita walaupun sudah berpuluh tahun bersua muka, hidup berjiran dan kerja bersama-sama.
Persefahaman dan kenal-mengenali, itulah kata kuncinya yang kita gagal terjemahkan dalam konteks hidup bernegara hari ini. Sang Pencipta sendiri menyatakan hal ini dalam surah Hujurat ayat 13: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan dan Kami menjadikan kamu pelbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).”
Allah, Tuhan yang menciptakan kita sendiri menyatakan dengan jelas, tujuan kita dicipta pelbagai kaum dan puak ini adalah untuk saling berkenalan dan mewujudkan persefahaman. Bukan saling prejudis dan menyemai kebencian. Kitalah, bangsa Melayu yang bertunjangkan Islam, harus mendepani usaha ini. Bangsa Melayu sangat sinonim dengan Islam sepertimana bangsa Arab juga sinonim dengan Islam. Kitalah yang harus mengorak langkah dan membuka jalan bagi menterjemahkan seruan Tuhan ini dalam alam realiti. Seruan ini bukan semata-mata untuk dibaca dan ditangisi, tetapi untuk diamalkan dalam tindakan. Kita Muslim, kitalah yang harus mendepani perubahan demi kemanusiaan. Demikian besar dan kudusnya tanggungjawab yang diletakkan oleh Sang Pencipta kepada kita, manusia Muslim, bagi memimpin usaha penyatupaduan.
Di luar sana nanti pasti ada yang membangkitkan, dengan nada pendekar, “Ah, mereka juga memainkan sentimen perkauman, mereka juga perlu ditegur dengan keras!” Benar, seperti yang ditulis di atas tadi. Ini bukan tanggungjawab para umat Melayu-Islam semata-mata, ini adalah tangggungjawab seluruh warga Malaysia yang cintakan kedamaian dan kepingin keharmonian. Kita laksanakan tanggungjawab kita, dan mereka yang berbeza itu juga wajib melaksanakan tanggungjawab mereka.
Untuk tujuan itu, kita perlukan satu bentuk tekanan yang boleh dikenakan kepada kita semua bagi melaksanakan tindakan yang serupa bagi mencapai matlamat yang sepunya. Ia bukannya tekanan negatif tetapi tekanan positif dalam bentuk polisi. Ya, polisi negara. Di sinilah fungsi negara yang perlu melaksanakan intevensi bagi mewujudkan keseragaman dalam tindakan. Kita sebagai orang perseorangan atau organisasi boleh menulis, berforum, berseminar atau berdemo sekalipun, tetapi yang akhirnya berupaya mengubah keadaan adalah polisi yang diperkenalkan oleh pihak pemerintah negara. Polisi itu boleh dalam bentuk perancangan strategik, pelan tindakan, peraturan dan juga undang-undang. Hanya sang pemerintah sahaja yang mempunyai upaya tertinggi bagi melaksanakan usaha persefahaman ini dalam skala besar-besaran dan secara praktikal. Untuk itulah yang kita perlukan keazaman politik, ‘political will‘.
Keazaman politiklah yang akhirnya dapat memandu dan melaksanakan perubahan bagi mencapai cita-cita persefahaman serta penyatupaduan antara kaum dan agama yang berbeza dalam negara. Bagi pemerintah yang serius dan komited, mereka boleh mencipta sentuhan midas, mengubah segala-galanya menjadi emas. Bagi pemerintah yang lengah dan lemah, mereka akan mengekalkan kita dalam kelengaian.