Penulis: Luqman Tarmizi
Perintah al-Quran agar umat Islam melaksanakan amar makruf nahi mungkar dijadikan asas untuk menceburi bidang politik dan melakukan islah dalam masyarakat.
Namun sebahagian anggota masyarakat telah melampaui batas dan menyeleweng daripada landasan sebenar. Dari berpolitik menurut agama, sebahagian mereka terjebak pula ke dalam kancah mempolitikkan agama, atau memperalatkan agama untuk tujuan politik, atau lebih popular diistilahkan sebagai menunggang agama.
Akhirnya, garis pemisah antara kedua-dua soal tersebut menjadi kabur.
Untuk mengelak sebarang kekeliruan, saya definisikan dahulu maksud kedua-dua istilah ini agar jelas bagi pembaca makna yang saya kehendaki ketika saya menggunakannya.
Berpolitik menurut agama bagi saya bermaksud kita menjadikan nas, prinsip dan nilai agama sebagai teras dalam berpolitik, sumber inspirasi dan garis panduan agar tidak tersasar daripada landasan syarak.
Manakala mempolitikkan agama pula bermaksud menjadikan agama sebagai alat untuk mencapai cita-cita politik, dengan antara lain meletakkan nas agama bukan pada tempatnya, menyelewengkan nas agama daripada maksud asalnya, menempel diri sendiri dan kumpulannya kepada nas-nas yang muluk dan indah, serta menggunakan nas-nas berbentuk ancaman terhadap kumpulan yang berseteru dengannya.
Pendek kata, golongan ini menyalahgunakan dalil atau konsep agama untuk kepentingan parti atau kumpulan mereka.
Seperti yang telah disebut, gejala menunggang agama untuk tujuan politik ini boleh datang dalam pelbagai bentuk, antaranya:
1 – Menyalahtafsir ayat Quran dan hadis, atau menggunakannya untuk memperolok orang lain, atau menggunakannya bukan pada tempatnya
i. Dalam satu ceramah beberapa tahun dulu, seorang ustaz PAS berstatus Exco kanan telah menggunakan ayat al-Quran untuk memperolok ahli parti Amanah yang menurutnya begitu marah apabila dipanggil dengan nama PAN (singkatan Parti Amanah Negara), lalu membawa ayat al-Quran surah al-Rahman ayat 26:
كُلُّ مَنْ عَلَيْهَا فَانٍ
Maksudnya: Segala yang ada di muka bumi itu akan binasa;
Dengan niat untuk memperolok persamaan kalimah ‘faan’ (binasa, hancur) dengan PAN.
ii. Rasulullah SAW telah bersabda:
تَلْزَمُ جَمَاعَةَ الْمُسْلِمِينَ وَإِمَامَهُمْ
Maksudnya: Hendaklah kamu melazimi Jemaah orang Islam.
Hadis ini telah disalahguna oleh asatizah PAS dengan mendakwa bahawa jemaah muslimin itu merujuk kepada suatu kumpulan, firqah atau parti yang ‘memperjuangkan Islam’ dan di Malaysia, kumpulan itu merujuk kepada jemaah PAS!
Walhal apabila diteliti penjelasan para ulama, jelas bahawa seruan melazimi jamaah muslimin itu tidak merujuk kepada kewajipan menyertai kumpulan tertentu, tetapi memberi maksud:
- Wajib bersama majoriti umat Islam yang diistilahkan sebagai al-Sawad al-A’zam dalam urusan agama yang merujuk kepada aliran Ahlissunnah wal Jamaah (al-Tabari, Ibn Battal dan Anwar Shah Kasymiri dalam Faidh al-Bari)
- Kewajipan mentaati khalifah umat Islam meskipun sultan itu zalim (Ibn Hajar dalam Fath al-Bari)
- larangan daripada melakukan pemberontakan bersenjata terhadap pemerintah yang sah (al-Qurtubi dalam al-Mufhim li ma Asykala fi Sahih Muslim dan Ibn al-Mulaqqin dalam al-Taudhih li Syarh al-Jami‘ al-Sahih)
2 – Menyelewengkan konsep, hukum atau istilah agama hingga bercanggah dengan penjelasan para ulama muktabar
i. Menurut Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Awang, menyertai himpunan membantah ICERD hukumnya ialah fardu ain.
ii. Pada tahun 2017, Haji Najmi Zakaria yang ketika itu merupakan Ketua Penerangan PAS kawasan Tanah Merah telah mengumpamakan ahli-ahli PAS yang keluar parti dan menubuhkan parti Amanah seperti orang Islam yang murtad dan wajib dihukum bunuh.
3 – Mereka-reka perkara, hukum, konsep atau istilah baharu dalam agama
i. Istilah munafik haraki telah ditujukan oleh Ustaz Dr Khairuddin al-Takiri kepada mereka yang pada zahirnya bersama Harakah Islam tetapi walak (kasih sayang, kesetiaan dan ketaatannya malah berusaha mempertahankan) diberikan kepada orang di luar daripada Harakah Islam.
ii. Ustaz Mokhtar Senik menyatakan, derma untuk tabung pilihan raya adalah lebih afdal daripada derma untuk pembinaan masjid.
iii. Seorang ustaz PAS telah menyatakan bahawa mati ketika mesyuarat PAS adalah lebih baik daripada mati ketika dalam solat.
iv. Dalam kolum Tafsir Quran akhbar Harakah bertarikh 6 Zulhijah 1413H, Tuan Guru Haji Abdul Awang telah menulis bahawa kerajaan yang tidak laksanakan hudud tidak berhak untuk memungut zakat.

v. Bekas Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Husam Musa pernah memfatwakan bahawa haram hukumnya mengundi PAS, dan seseorang itu memperoleh pahal jika mengundi Pakatan Harapan.
4 – Mendakwa sesuatu tentang perkara ghaib yang hanya boleh disabitkan melalui wahyu
i. Ustaz Mokhtar Senik juga pernah menulis:
“Muafakat Nasional adalah sebuah nama dan kesepakatan yang cukup berkat. Piagam yang mencantumkan dua hati yang retak bercantum semula. Dua hati yang berjauhan kembali bertaut. Sebuah kesepakatan yang membuat malaikat di langit melaungkan Takbir sehingga bergema ke seluruh penjuru alam.”
ii. Ketika kempen PRU15, Ketua Pemuda PAS Sik telah menyebut secara jelas dan terang bahawa mengundi selain parti Pas akan menyebabkan seseorang itu masuk neraka.
5 – Menggunakan kaedah dan konsep agama secara tidak konsisten dan cherry-picking
i. Ketika PRU-15, seorang bekas YB PAS telah keluar PAS dan mengumumkan bertanding atas tiket UMNO. Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tindakannya menjadi calon BN adalah menentang arus dan tidak selari dengan panduan syarak.
Namun sikap tidak konsisten terserlah apabila Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad menggunakan hujah siasah syar’iyyah dan qawaid fiqhiyyah untuk menjustifikasi tindakan PAS meletakkan dua orang bekas YB UMNO untuk bertanding di bawah tiket PAS.
ii. Mantan Naib Presiden Amanah, Ustaz Hasanuddin Yunus, dalam percubaan untuk menjustifikasikan ‘uturn’ kerajaan Pakatan Harapan pada 2019, telah menulis bahawa pelaksanaan Automated Enforcement Systems (AES) adalah selari dengan Maqasid Syariah.
6 – Menisbahkan sesuatu kepada Allah dan Rasul-Nya secara semberono
i. Presiden PAS TG Abdul Hadi Awang menyebut bahawa Nabi juga berpolitik dalam menyampaikan khutbah. Hal itu meskipun benar, namun politik zaman Nabi tidak sama dengan politik pada zaman sekarang. Politik Nabi SAW dalam khutbah dan masjid itu politik siasah yang menguruskan masyarakat, polisi pemerintahan dan strategi peperangan, sedangkan politik di masjid pada zaman sekarang ialah politik kepartian.
Penutup
Makalah ini hanya mampu menukilkan sebahagian daripada kenyataan dan fatwa-fatwa politik yang telah menjadi darah daging sebahagian politikus di Malaysia, tanpa mengira aliran parti. Penulis hanya fokus kepada contoh-contoh eksploitasi agama yang berlaku dalam tempoh beberapa tahun belakangan, dan sebenarnya masih banyak contoh yang tidak sempat dibawa di sini.
Contoh-contoh klasik yang berlaku pada zaman 60an, 70an dan 80an, tatkala fenomena kafir-mengkafir mula mengambil tempat dalam arena politik negara boleh dibaca dalam Kertas Putih isu keselamatan yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan yang boleh diakses di sini.
Perbuatan menggunakan ayat Allah SWT dan hadis Baginda bukan pada tempatnya, serta menyelewengkan pula ialah satu jenayah ilmu.
Masyarakat Islam secara total perlu menolak gejala mempergunakan agama dan politik ekstrem, seterusnya memaksa pimpinan parti-parti yang ada serta pimpinan mereka mengubah dasar dan pendekatan.
Semoga Allah SWT memberi hidayah kepada kita semua.