Penulis: Ooi Kok Hin
Sambutan perayaan Tahun Baru Cina (CNY) merupakan antara aktiviti paling utama bagi masyarakat Cina di Malaysia. Tradisi tempatan ini merupakan satu variasi Tahun Baru Lunar yang diraikan oleh pelbagai masyarakat global yang mengikuti kalendar lunar (kalendar berdasarkan fasa bulan) atau kalendar lunisolar (kalendar yang menggabungkan kalendar lunar dan kalendar suria. Perayaan serupa juga didapati di banyak negara lain – misalnya, Tahun Baru Imlek di Indonesia, Seollal di Korea Selatan, Tết di Vietnam, dan Chūnjié 春节 di China.
Istimewanya, sambutan ini bukan satu hari sahaja. Masyarakat Cina tempatan lazimnya menyambut CNY selama 15 hari, berakhir pada Chap Goh Meh (maksud literal: malam ke-15). Anda mungkin pernah melihat orang ramai membaling oren pada Chap Goh Meh, dipercayai kononnya dapat mencari jodoh! Berikut adalah serba sedikit perkongsian daripada pengalaman peribadi yang merumuskan makna, aktiviti dan sambutan CNY dalam lapan perkataan.
- Pembersihan. Persiapan CNY bermula dengan aktiviti pembersihan atau spring cleaning. Buang atau kitar semula perabot, baju-baju dan benda-benda lama. Mak ayah saya selalu guna pembersih duster yang berbulu ayam untuk sapu dinding – ‘senjata’ itulah juga digunakan ketika menghukum kanak-kanak nakal! Kami juga akan mop lantai dalam dan di luar rumah. Awas, segala pembersihan perlu dihentikan sebelum malam tahun baru. Apa sebabnya? Jawapannya ada di bawah.
- Shopping. Bagi yang mampu, memang menjadi adat resam untuk pakai segala yang baru dari atas ke bawah untuk hari pertama CNY. Ketika membesar, keluarga saya hanya membeli pakaian baru setahun sekali, iaitu pada ambang CNY. Apabila ayah dapat gaji atau bonus, maka kami pun sertai crowd yang membeli-belah last minute. Walaupun sekarang boleh saja beli online atau beli awal dahulu supaya tidak perlu sertai crowd yang shopping last minute, tapi saya masih suka perasaan tersebut. Ia telah menjadi satu ritual sosial yang penting. Sebenarnya, semua perayaan di Malaysia sama saja. Kita semua berkiblat konsumerisme.
- Makan. Aktiviti paling penting dalam CNY berlaku pada malam sebelum CNY, iaitu reunion dinner. Konsepnya mudah: makan bersama. Kadang kala saya lihat ada yang terjemah reunion dinner sebagai makan malam besar. Tapi reunion dinner tidak semestinya ‘besar’ atau grand. Ketika era revolusi budaya (1966-1976) di China, berlaku kebuluran besar-besaran. Daging amat jarang didapati, bahkan untuk ramai penduduk ketika itu, mereka akan mampu mendapatkan daging setahun sekali iaitu untuk reunion dinner. Ikan juga merupakan ‘staple dish’ dalam reunion dinner kerana dipercayai sebutan ikan dalam bahasa Cina iaitu “yú” ialah homofon untuk kelimpahan, kemakmuran atau tuah. Persamaan fonetik ini telah menyebabkan ikan menjadi simbol kelimpahan dan kemakmuran dalam budaya Cina. Ini juga erti Yusheng atau Yee Sang yang sebutannya dan bahannya turut mengandungi ikan.
- Merah. Jika mak saya beli tiga baju untuk CNY, ketiga-tiganya mesti berwarna merah. Terdapat mitos di sebalik kenapa orang tua Cina gemar warna merah. Salah satu lagenda adalah makhluk Nian yang takut pada warna merah. Tetapi secara umumnya hari ini, mereka gemar warna merah kerana ia melambangkan tuah dan kemakmuran. Merah juga wujud dalam ungkapan dan aktiviti ziarah CNY. Dalam Bahasa Hokkien, terdapat satu playword popular yang berbunyi, ang ang bo hai lang (terjemahan kasar: merah, merah, tidak menyusahkan sesiapa). Angpao yang diedar ketika aktiviti ziarah pula bermaksud sampul merah. Keluarga kami tinggal di bangunan flat. Ketika kecil, saya dan kakak mengedar buah-buahan dan kuih raya kepada jiran-jiran kami yang berbagaibagai bangsa. Mereka juga mereka memberi kami sama ada angpao atau gula (apa-apa yang manis untuk menandakan ‘kemanisan’ tahun akan datang). Ingat, jangan bagi sampul putih! Sebabnya akan diceritakan kemudian.
- Nanas. Dahulunya saya tidak faham kenapa buah ini memainkan peranan penting ketika musim CNY. Agak berat buah ini, tajam pula, kemudian agak leceh memotongnya. Kemudian saya sedar bahawa signifikan buah ini terletak pada sebutannya dalam Bahasa Hokkien, iaitu ong lai. Sebutannya seolah-olah sama maksud dengan ‘ong mari’ atau ‘tuah mari,’ maka ia menjadi kelaziman untuk membeli atau menghadiahkan nanas sebagai petanda mengharapkan tuah atau kekayaan. Dengar kata ada juga ladang di Balik Pulau yang menjual nanas berwarna merah! ‘Ong’ dua kali ganda!
- Sembahyang. Walaupun CNY boleh sahaja disambut secara tradisi (bukannya upacara agama), tapi ramai keluarga masih mementingkan sembahyang. Sebelum CNY, ramai yang akan ke tanah perkuburan Cina untuk sembahyang nenek moyang mereka. Ada yang hendak ‘memaklumkan’ kepada mendiang ibubapa (ataupun anak mereka yang meninggal pada usia muda) bahawa tahun baru akan tiba. Bagi masyarakat Hokkien, terdapat satu lagi perayaan istimewaan pada hari ke-9 yang dikenali Pai Ti Kong (maksud literal: sembahyang Dewa Langit). Hari ini penting kepada orang Hokkien kerana mereka percaya ia adalah hari lahir Maharaja Jade yang melindungi nenek moyang orang Hokkien daripada tentera yang kejam di China purba. Anda pernah melihat penjaja jual tebu pada musim CNY, atau orang naik motor pegang tebu? Inilah sebabnya. Dahulunya saya selalu menemani ayah membeli dan mengangkat dua batang tebu dengan motor – sebenarnya saya menggeruni saat ini kerana tebu itu berat, apatah lagi semasa naik motor. Oleh sebab motor merupakan satu-satunya kenderaan yang kami ada waktu itu, saya bantu juga kerana jika tidak, ayah akan buat sendiri: satu tangan pegang dua batang tebu, satu tangan lagi pandu motor!
- Pantang. Mitos merupakan ciptaan manusia untuk menyampaikan kisah tertentu dengan maksud sosial yang tersirat. Walaupun mitos tentang pantang larang CNY agak lucu bila difikirkan secara rasional, saya masih mengamalkan beberapa pantang tersebut sebab ia telah menjadi ritual ataupun tradisi keluarga, seumpama sejarah lisan yang diwarisi turun-temurun. Contohnya, kami tidak menyapu lantai atau mencuci rambut dengan shampoo pada hari pertama CNY. Jika berbuat demikian, dipercayai bahawa anda akan ‘menyapu’ atau ‘menghalau’ ong yang datang atau dikurniakan pada malam tahun baru. Biasanya aktiviti pembersihan lain seperti potong rambut atau kuku juga dilakukan sebelum CNY. Dua lagi pantang ialah memakai baju berwarna hitam (seperti berkabung) dan memberi angpao dalam sampul berwarna putih (ini biasa dilakukan ketika upacara kematian).
- Zodiak. Seperti saya, mungkin anda pernah hairan kenapa setiap Tahun Baru Cina ada tahun haiwan tertentu. Contohnya tahun ini (2023) ialah tahun arnab, jadi anda nampak simbol arnab di t-shirt dan pusat membeli-belah. Zodiak Cina ialah skim pengelasan tradisional berdasarkan kalendar Cina yang menetapkan haiwan dan sifat-sifat terkenalnya kepada setiap tahun dalam kitaran dua belas tahun yang berulang. Kitaran 12 haiwan tersebut adalah tikus, lembu, harimau, arnab, naga, ular, kuda, kambing, monyet, ayam, anjing, dan babi. Sesetengah agamawan, pakar feng shui, dan orang tua amat mengambil serius hal ini dan percaya bahawa zodiak anda mencerminkan perangai tertentu. Contohnya, saya pernah diikat (secara literal!) oleh seorang penilik nasib yang berpesan kepada mak ayah saya bahawa saya budak nakal kerana lahir pada tahun monyet. Pandangan ini agak deterministik dan boleh saja disangkal oleh mana-mana ahli sains sosial yang membuat kajian perbandingan (bandingkan sekumpulan manusia yang berlainan zodiak untuk mencari persamaan, dan bandingkan juga sekumpulan manusia yang sama zodiak untuk cari perbezaan). Tapi tidak mengapalah kerana nanti hilang pula keseronokan perayaan!
Tahun Baru Cina atau Tahun Baru Lunar dikatakan memacu penghijrahan manusia tahunan terbesar di bumi ini kerana lebih satu billion manusia akan balik kampung pada masa yang sama. Sambutlah dengan apa-apa cara pun, asalkan anda riang, meriah dan sederhana. Saya agak merindui zaman dulu ketika matriarch keluarga kami masih hidup, semua orang balik kampung. Setelah matriarch meninggal, masing-masing menyambut dengan cara dan di tempat sendiri. Namun, itu juga keistimewaan sesuatu perayaan kan? Setiap generasi akan mewarisi tradisi tertentu, dan kemudiannya mencipta pula tradisinya sendiri. Begitu juga lah dengan keluarga kami yang menyambut CNY dengan berpegang pada tradisi masa lalu sambil mencipta masa depan yang baru.