Oleh: Syeikh Muhammad Said Ramadhan al-Buti
Menjadi kewajipan setiap muslim untuk mempelajari sejarah kehidupan generasi terawal, kerana itulah tanda ukuran yang kekal sebagai rujukan dalam menjalani hidup menurut jalan yang diredai Allah SWT.
Lihatlah bagaimana mereka melaksanakan perintah-perintah rabbani dan meneladaninya, bermula daripada zaman Rasulullah SAW. Kemudian renungkanlah pula pada zaman al-Khilafah al-Rashidah (Khulafa’ Rashidin: Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali), dan renungkanlah juga sirah Muslimin di atas jalan ini, yang tidak terpesong daripadanya, pada zaman-zaman selepas itu pula.
Mereka patuh kepada perintah Allah SWT seperti yang diarahkan, mereka tidak mengubah dan menukar-nukarnya. Mereka beriltizam untuk melaksanakan Syariat Allah semampu mungkin, dan hawa nafsu mereka tidak tergoyang untuk mencari ganti kepada Syariat Allah itu. Begitu juga, keinginan mereka tidak menghasut mereka untuk memansuhkan Syariat yang telah diperintahkan Allah SWT, lalu menggantikannya dengan Syariat yang difardukan oleh diri dan hawa nafsu mereka sendiri.
Akan tetapi, apa yang telah berlaku selepas itu? Generasi tersebut telah digantikan dengan generasi yang hidup pada zaman kita ini. Kemurnian kefahaman Islam hasil pemeliharaan oleh generasi terawal telah dicemari oleh suatu golongan yang menyalahgunakan agama yang mulia demi cita-cita yang rendah nilainya.
Kita telah tilik dan renungkan perihal mereka – aku tidak maksudkan perihal golongan yang sesat daripada Islam, dan tidak pula berkenaan perihal mereka yang terpesong daripada jalan Allah – akan tetapi, aku memaksudkan mereka yang dinamakan pada hari ini sebagai Islamiyyin (Islamis) – suatu nama dan golongan yang tidak pernah dikenali dalam sejarah Islam.
Aku teliti perihal mereka, dan mendapati bahawa mereka menjadikan Islam sebagai tangga yang dihinakan dan direndah-rendahkan, agar sampai kepada cita-cita, kemahuan dan tujuan politik mereka.
Mereka menjadikan Syariat dan hukum-hakam Allah sebagai khadam, bahkan boleh jadi lebih hina daripada khadam, agar menyampaikan mereka kepada tujuan-tujuan politik mereka yang pelbagai.
Betapa banyak tindakan yang kita telah dengar daripada mereka itu, yang sebelumnya menyatakan bahawa hukum sesuatu perkara itu wajib, lalu pada hari ini, mereka mengumumkan bahawa perkara yang awal itu sudah menjadi haram. Kelmarinnya wajib, dan hari ini menjadi haram.
Lalu kita tertanya-tanya; adakah ada dalil yang tersembunyi daripada kalian kelmarinnya, lalu kalian tahu pula pada hari ini, lalu kalian menukar hukumnya? Tidak. Hukum itu kekal sama, dalilnya itu juga kekal sama, akan tetapi maslahat siyasiyyah dan kepentingan politik merekalah yang telah berubah.
Adakah kalian melihat betapa jauhnya beza dengan generasi terawal yang patuh dengan ikhlas sekali terhadap perintah-perintah Allah dan Syariat-Nya? Mereka meletakkan hawa nafsu mereka di bawah kaki mereka dalam usaha mereka melaksanakan perintah Allah, dan dalam usaha mereka menuju Allah.
Adakah kalian melihat akan perbezaan tindakan generasi terawal tersebut, dengan kesudahan Islam pada tangan kebanyakan mereka yang bernama Islamis itu, pada hari ini? Kalian lihatlah, bagaimana Islam menjadi tangga yang hina, yang dipijak selangkah demi selangkah, agar tercapainya impian politik mereka.
Wahai hamba Allah sekalian, daku menyokong mereka yang menegah daripada Islam Siyasi (Islam Politik) ini. Akan tetapi, hendaklah kalian ketahui, apakah yang kita maksudkan dengan Islam Politik itu? Islam Politik itu ialah mereka yang menukar Islam menjadi wasilah, menjadi khadam, menjadi tangga, yang digunakan untuk sampai kepada cita-cita politik yang pelbagai. Inilah yang daku maksudkan daripada Islam Politik yang aku peringatkan kamu tentangnya.
Islam memerintahkan politik yang baik sentosa lagi manusiawi, yang telah Allah jelaskan kepada kita melalui al-Quran yang jelas, dan telah disyarahkan oleh Rasulullah buat kita dalam hadis- hadisnya yang sahih. Benar. Akan tetapi, tidak wajarlah untuk kita merendahkan Islam daripada ketinggiannya, lalu kita menjadikannya sebagai khadam kepada cita-cita politik kita, dan khadam kepada tujuan peribadi kita.
Islam memerintahkanmu untuk memiliki keinginan agar memahamkan para pemimpin dan raja tentang hakikat Islam, lalu melaksanakannya dalam pemerintahan; bukannya untuk engkau bersaing merebut kuasa dan menduduki kerusi empuk kerajaan.
Malangnya golongan Islamis itu menyibukkan diri mereka dan menghabiskan waktu mereka untuk berusaha mendapatkan tampuk pemerintahan, lalu mereka tidak mempedulikan urusan dakwah kepada Allah SWT, dan tidak berdialog dengan para hamba-Nya. Mereka tidak mencuba untuk memasukkan kecintaan kepada Allah ke dalam hati orang ramai. Mereka mendapat tampuk pemerintahan, sedangkan orang ramai tetap saja seperti dahulunya; lalu bagaimana mungkin mereka akan mampu melaksanakan Islam yang menjadi slogan mereka itu?
Para Islamis terpesong jalan dalam mempraktikkan Islam, dan terpesong jalan dalam usaha melaksanakan Syariat Allah ‘Azza wa Jalla. Sedangkan, Syariat Allah ini bukanlah aliran liberalisme, yang dipraktikkan melalui cara politik – sama ada manusia mahu ataupun tidak. Syariat Allah ialah dakwah kepada Allah ‘Azza wa Jalla:
وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلًا مِّمَّن دَعَا إِلَى اللَّهِ وَعَمِلَ صَالِحًا وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ الْمُسْلِمِينَ
Maksudnya: “Dan tiada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (meng-Esakan dan mematuhi perintah) Allah, serta dia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: Sesungguhnya aku adalah daripada kalangan orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allāh)!” (Surah Fussilat: 33)
Inilah jalan yang sewajarnya kita tempuh, dan waktu masih belum terlambat. Semoga rakan-rakan Islamis kita itu kembali kepada kewarasan mereka. Moga-moga mereka turun daripada menara-menara politik yang menjadi impian mereka sejak sekian lama.
Semoga mereka menoleh ke kiri dan ke kanan, lalu mereka menyedari bahawa Allah SWT tidak memerintahkan mereka untuk menggapai tampuk pemerintahan, lalu mereka turun bertemu umat manusia dan menyebarkan kefahaman Islam yang suci.
Wallahu a‘lam.
*Makalah ini diringkaskan, disaring dan diolah daripada khutbah yang disampaikan oleh Syeikh Muhammad Said Ramadhan al-Buti pada 7 Disember 2012, yang kemudiannya diterjemahkan oleh Mohammad Syafiq Ismail. Naskhah asal boleh dimuat turun pada pautan berikut: https://drive.google.com/file/d/1PYxdx89SB50SAZxzsfkQjnrZL_3dLglF/view?fbclid=IwAR2UX8rR871v-yGC6f6_4TAmDu6jyA2PDTGXXKGXeqanqfapiPVZYjpd1SM