Tatkala Ulama Mula Lunak Dengan Israel

Penulis: Luqman Tarmizi

Israel kini mula cenderung ke arah kedamaian.” – Syeikh Abdullah bin Bayyah

Sumber gambar: Laman web rasmi The Jewish Chronicle

Syeikh Abdullah bin Bayyah tersenyum mesra sambil menjabat tangan Rabbi Ephraim Mirvis, ketua ‘ulama’ Yahudi di United Kingdom (UK). Dalam program sempena ulang tahun kedua normalisasi hubungan UAE – Israel pada Julai 2022 itu, Syeikh Bin Bayyah yang merupakan salah seorang pengasas Forum for Promoting Peace in Muslim Societies yang ditaja oleh UAE, dengan yakinnya menyebut bahawa sejak perjanjian normalisasi itu ditandatangani, “the record of Israel is a move to a more peaceful existence.”[1]

Rabbi yang ditemui ini pula bukan calang-calang. Rabbi ini seorang Zionis totok, yang menyifatkan setiap kritikan terhadap Zionisme sebagai anti-semitik,[2] yang pada 2014 secara terus-terang memberi ‘lampu hijau’ kepada tentera Israel untuk terus mengebom bumi Gaza.[3]

Jika ditelusuri, sikap lunak agamawan serta pujian ilmuwan Islam terhadap Israel ini sebenarnya bukan perkara baharu.

Gus Dur, atau nama sebenarnya Abdurrahman Wahid, mantan Presiden Republik Indonesia 1999-2001, digelar ‘kiyai’ lantaran ketinggian ilmu agamanya, pemimpin tertinggi gerakan massa terbesar dunia Nahdhatul Ulama, merupakan salah seorang ilmuwan Islam yang terkenal lunak dan mempunyai hubungan yang rapat dengan Israel. Beliau telah melawat negara settler-colonial tersebut sebanyak enam kali, termasuk menjadi ahli lembaga pengarah bagi (Shimon) Peres Center for Peace.

Berikut merupakan cuplikan daripada satu temu bual beliau bersama salah sebuah akhbar paling berpengaruh di Israel pada tahun 2004:

Wartawan: Anda dikenali di Israel sebagai sekutu. Ia jarang berlaku bagi seorang pemimpin Islam.

Gus Dur: “Saya fikir tanggapan bahawa Islam bermusuhan dengan Israel ialah satu tanggapan yang salah. Hal ini disebabkan oleh propaganda Arab. Kita mesti membezakan antara bangsa Arab dengan agama Islam….Israel mempunyai reputasi sebagai sebuah negara yang menjulang nilai Ketuhanan dan keagamaan – maka tiada sebab untuk kita memusuhi Israel.”

Wartawan: Apa kata-kata terakhir kamu buat Israel?

Gus Dur: “Teruskan usaha kalian, jadilah diri sendiri. Itu sudah cukup.”[4]

Teruskan usaha apa? Usaha menjarah setiap inci tanah Palestin dan mengusir penduduknya?

“Jadilah diri sendiri?” Maksudnya tiada apa yang salah dengan polisi Israel sedia ada yang terus menerus mengebom Gaza tanpa belas ihsan? “Itu sudah cukup?” Bagaimana dengan hak jutaan pelarian Palestin yang masih tidak mendapat pembelaan sewajarnya setelah puluhan tahun merempat?

Betapa malangnya apabila ilmuwan sehebat Ben Bayyah dan politikus-negarawan sepintar Gus Dur merelakan diri mereka dijadikan alat soft-propaganda oleh rejim Israel. Hal yang muluk mula disebut-sebut, manakala kemungkaran yang jelas didiamkan.

Tapisan kendiri (self-censorship) terhadap kezaliman Israel di Malaysia

Bibit-bibit sikap menahan diri daripada menyentuh persoalan Israel-Palestin ini malangnya telah menular ke Malaysia. 

Saya sebenarnya agak keberatan untuk menulis subtajuk ini. Namun atas dasar tanggungjawab, saya perlu coretkan untuk peringatan bersama. 

Ada sebuah pertubuhan ilmuwan Islam peringkat antarabangsa yang telah mewujudkan cawangannya di Malaysia sekitar penghujung 2021 dan melantik seorang ilmuwan yang dihormati ramai untuk mengetuainya. Banyak program yang diadakan dan pernyataan umum yang dikeluarkan bagi beberapa isu penting.

Namun sayangnya, masih belum ada sebarang kenyataan rasmi melalui platform badan tersebut yang membela rakyat Palestin atau mengecam kebejatan Israel, meskipun dalam tempoh masa sejak penubuhannya hingga sekarang, sekian banyak isu berkenaan konflik di wilayah bergolak itu yang boleh diangkat ke ruang awam.

Namun apabila ada tragedi menyayat hati yang menimpa negara-negara yang mendanainya, sepantas kilat kenyataan rasmi dikeluarkan bagi menzahirkan rasa simpati dan mengecam terrorisme.

Mengapa simpati yang sama tidak dizahirkan terhadap puluhan rakyat Palestin yang terbunuh di tangan rejim Israel dalam tempoh Januari – Jun tahun ini?

Mengapa rasa marah tidak dizahirkan terhadap pembunuhan wartawan Palestin Shireen Abu Akleh oleh tentera Israel pada Mei yang lalu? 

Persoalan ini mudah terjawab apabila kita mengetahui pihak yang menajanya dan apa agenda mereka.

Teguran ini dibuat agar sikap ‘tapisan kendiri’ daripada menyentuh isu sensitif ini tidak membawa ke arah sikap yang lebih buruk yang disebut di atas, iaitu merelakan diri menjadi alat propaganda pihak tertentu.

Kewajipan menegur ulama

Adakah saya mendakwa kesemua ilmuwan ini merupakan sell-out yang telah mengorbankan prinsip agama demi kepentingan dunia? Wallahi tidak. Adakah saya mendakwa mereka ini tidak prihatin terhadap rakyat Palestin dan telah rosak hati nuraninya daripada menzahirkan kecaman terhadap kezaliman Israel? Sudah pasti tidak.

Saya cuma mengaplikasikan pesanan oleh ‘Allamah Syeikh Ahmad al-Raysuni yang memperingatkan kita agar tidak berdiam diri daripada menegur kealpaan dan kesalahan yang dilakukan oleh para ulama, kerana:

Meskipun para ulama itu terkenal dengan kebaikan, telus dan amanah, tetapi mereka tetap tidak boleh lari daripada terkesan dengan pengaruh negatif di sekeliling mereka, kerana mereka hanyalah manusia biasa.

Demi mengekalkan kebaikan pada institusi ulama dan untuk mengekang penularan anasir perosak dalam kalangan mereka, para ulama mestilah tertakluk kepada kritikan dan peringatan setiap kali wujudnya kerosakan pada diri mereka.”[5]

Kepada Allah SWT jualah kita memohon ampun dan petunjuk.


[1] Rujuk laporan beberapa akhbar dan laman sesawang, antaranya https://www.thejc.com/news/news/a-new-era-chief-rabbi-meets-emirati-sheik-in-historic-moment-5bi0IxzSCRSVxNHnNIDo9e dan https://5pillarsuk.com/2022/07/05/abdullah-bin-bayyah-meets-with-zionist-rabbi-in-london/

[2] Rujuk pautan: https://electronicintifada.net/content/uk-chief-rabbi-owes-us-palestinians-apology/16546

[3] Rujuk pautan: https://www.thetimes.co.uk/article/israel-has-no-choice-but-to-use-force-in-gaza-says-chief-rabbi-s6ld2p3kcsb

[4] Rujuk pautan: https://www.haaretz.com/2004-07-07/ty-article/a-friend-of-israel-in-the-islamic-world/0000017f-e0bd-d7b2-a77f-e3bf6e2f0005

[5] Rujuk Risalah ila Ulama’ al-Islam oleh Ahmad al-Raysuni (2021) Istanbul: Dar al-Asolah, Cetakan Pertama, hlm. 36

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Artikel Terkini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *