Penulis: Luqman Tarmizi
Saban tahun, kita akan mengulangbaca dan mendengar ayat 183 daripada surah al-Baqarah berikut:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
Maksudnya: Wahai orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas umat sebelummu, supaya kamu bertaqwa.
Ada dua pengajaran utama daripada ayat ini:
Pertama: Puasa itu merupakan satu kewajipan, dan para ulama bersepakat bahawa yang diwajibkan dalam konteks ayat ini ialah puasa Ramadhan.
Kedua: Puasa itu merupakan amalan tradisi turun-temurun sejak zaman berzaman.
Kitab-kitab tafsir membawa pelbagai riwayat tentang tatacara puasa umat terdahulu. Imam al-Tha’alabi menukilkan bahawa Nabi Adam memulakan puasa pada hari-hari putih, iaitu pada tanggal 13, 14 dan 15 setiap bulan. Imam al-Tabari juga meriwayatkan bahawa Nabi Nuh ada berpuasa setelah terselamat dalam bah besar yang melanda zamannya.
Rasulullah SAW pula dalam sebuah hadith menceritakan bahawa Nabi Nuh sering berpuasa hampir setiap hari sepanjang tahun, manakala Nabi Daud biasa berpuasa selang sehari. Tatkala Baginda hadir ke Madinah, umat Yahudi telah sekian lama berpuasa pada hari Asyura’ sempena memperingati perjuangan Nabi Musa.
Bagi umat Islam, istilah saum / siyam itu sendiri dari sudut bahasanya bermaksud menahan diri daripada melakukan sesuatu; kerana itu tatkala Saidatina Maryam bernazar kepada Allah SWT untuk menahan diri daripada bercakap, kerana bimbang tohmahan orang ramai setelah melahirkan Nabi Isa yang tidak berbapa, beliau menggunakan istilah saum (rujuk ayat 26 Surah Maryam).
Dari sudut fiqh, puasa itu diertikan sebagai menahan diri daripada sebarang perbuatan yang membatalkan puasa seperti makan minum dan bersetubuh, untuk suatu tempoh tertentu. Namun tidak hanya setakat itu, amalan puasa ada objektif tertinggi yang ingin dicapai: melahirkan manusia yang bertakwa, yang takut pada Tuhannya, mengawal tingkah lakunya dan empatik jiwanya terhadap penderitaan orang lain.
Maka disebabkan itu, kewajipan berpuasa itu amat ditekankan dalam agama. Bagi yang ada keuzuran, diwajibkan menggantikannya apabila mampu. Jika tidak, orang tersebut mesti membayar ‘denda’ atau imbalan berbentuk menanggung bayaran makan bagi orang miskin untuk kadar tertentu. Tidak cukup dengan itu, dianjurkan pula puasa pada hari-hari tertentu bagi menambah ruang pahala serta melatih diri supaya sentiasa mengawal nafsu serta mendidik disiplin jiwa. Sama ada berbentuk mingguan seperti Isnin dan Khamis, bulanan seperti 6 hari pada bulan Syawal, atau tahunan seperti puasa hari Asyura pada 10 Muharram, kesemua ini merupakan satu bentuk medan latihan bagi umat Islam bagi menempuh sebulan Ramadhan.
Tradisi puasa sejagat
Apabila diteliti, amalan puasa ini juga pada zaman ini tidak hanya terhad kepada umat Islam sahaja, bahkan ia satu amalan universal yang dipraktikkan dalam pelbagai agama di seluruh dunia. Bagi umat Yahudi contohnya, hari-hari puasa mereka adalah sempena memperingati peristiwa-peristiwa besar yang berlaku dalam sejarah mereka. Yom Kippur, atau hari taubat dan penyesalan, adalah sempena taubatnya golongan Yahudi yang telah menyembah berhala lembu sepanjang ketiadaan Nabi Musa bersama mereka. Maka sempena memperingati dosa tersebut, umat Yahudi wajib menahan diri daripada makan dan minum selama 25 jam, pada hari yang paling sakral dalam kalendar agama Judaism.
Bagi umat Kristian pula, meskipun isi kandungan New Testament yang diimani mereka itu tidak pernah mewajibkan puasa, namun tetap saja mereka mengamalkan puasa, kerana mengambil suri teladan daripada Nabi Isa sendiri yang mengamalkan gaya hidup puasa. Apa matlamatnya? Sebagai pernyataan taubat terhadap dosa dan untuk mencapai redha Tuhan.
Namun amalan puasa ini sudah pasti tidak terhad kepada ajaran agama Samawi sahaja. Dalam agama Hindu contohnya, puasa boleh dilakukan dalam pelbagai bentuk, antaranya adalah ketika hari-hari Ekadashi, dengan hanya makan sekali dalam tempoh 24 jam (Ekabhukta) dan makan hanya pada waktu malam (Nakta). Walau apa jua bentuk, tujuan tertingginya tetap adalah untuk mengawal pengaruh nafsu terhadap minda, agar ia mudah dikawal dan membawa pelakunya lebih dekat dengan Tuhan.
Rujukan
Tafsir Ibn Abi Hatim
Tafsir al-Tabari
Tafsir al-Tha’alabi