Türkiye Bukan Turkey: Kenapa Turkı Tukar Nama?

Penulıs: Amirul Mukminin

“Artık ‘Turkey’ yok, Türkiye var” ( Kini tiada lagi Turkey, yang ada hanya Türkiye)

– Presiden Reccep Tayyib Erdoğan, 13.06.2022

Sekali lagi Turki  mencatat sejarah dalam perubahan dunia global dengan menamakan semula negaranya di peringkat organisasi antarabangsa daripada Turkey, dalam bahasa Inggeris kepada Türkiye dalam bahasa Turki. Pada Jun 2022, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) secara rasminya menerima permohonan Ankara untuk menukar nama rasmi mereka yang selama ini disebut sebagai Turkey kepada Türkiye seperti dalam bahasa asal Turki.

Perubahan itu disahkan oleh Jurucakap PBB Stephane Dujarric dan diluluskan oleh Setiausaha Agung Antonio Guterres atas permohonan yang diwakili oleh Menteri Luar Turki Mevlut Cavusoglu.

Menurut kenyataan Presiden Erdogan, nama Türkiye sangat tepat untuk mewakili dan menggekspresikan budaya, tamadun dan nilai-nilai rakyat Turki.

Pertukaran nama negara bukanlah perkara yang luar biasa sebenarnya. Pada 2019, The Netherlands menjadi nama baharu kepada Holland, Republik Macedonia ditukar kepada Republik Macedonia Utara. Burma bertukar kepada Myanmar. Pada 2018, Swaziland kepada Eswatini. Pada 2011, Great Socialist People’s Libyan Arab Jamahiriya menjadi Libya . Pada 1979 Republik Islam Iran menjadi gelaran negara, menggantikan Negara Imperial Iran dan banyak lagi. Sebahagian negara membuang nama republik dan ada yang menambahnya.

Setiap perubahan nama mempunyai aspek dan faktor tersendiri. Eswatini misalnya ialah nama yang baharu untuk keluar daripada imej penjajah. Libya juga mengubah namanya beberapa kali disebabkan perubahan rejim dan cubaan untuk membentuk sistem negara baharu.

Namun, apakah sebab Turki mengubah namanya  di peringkat antarabangsa, daripada Turkey kepada Türkiye?

Sekilas lihat, pertukaran ini untuk mengelakkan ejekan nama negara itu yang disamakan dengan ayam Belanda. Dengan menyelaraskan nama kepada Türkiye, ejekan itu dapat dielakan dalam pelbagai bahasa termasuk Inggeris yang menyebut turkey, atau bahasa Welsh yang menyebut Twrci.

Namun lebih daripada itu, penamaan ini sebenarnya juga untuk melawan xenophobia dan rasisme, iaitu sikap prejudis, benci dan ketakutan tak berasas hanya berdasarkan agama dan bangsa.

Dalam sejarah, bangsa Turk telah disebut dengan pelbagai nama dan label. Kalau datang dari Eropah kerana sejarah hitam peseteruan empayar khususnya mereka dinamakan dengan pelbagai istilah yang jelek, selain menyamakan mereka dengan spesis ayam. Misalnya, kamus Cambridge mentakrifkan istilah “turkey” selain nama haiwan sebagai: “sesuatu yang gagal dengan teruk” atau “orang yang bodoh”.

Penamaan ini berdasarkan pengalaman sejarah kulit putih yang begitu lama berseteru dengan empayar Osmaniyyah-Turki, jiran geografi mereka. Apabila era penjajahan bermula pada 1500-1960an bangsa eropah ketika itu muncul dengan kuasa baharu dan persaingan Osmaniyyah, memberi sebuah perasaan superior kepada Eropah, mereka mula mengendahkan nama-nama tempatan dan memberi gelaran bahasa sesuka mereka.

Perkara ini mungkin kurang dapat digarap oleh negara muslim yang sebelum ini memanggil negara dan bangsa itu dengan nama dan panggilan yang baik. Misalnya Melayu dan Arab tetap memanggil Turki dengan nama Turk, dan Turki.

Tapi misalnya banyak negara lain yang dinamakan oleh penjajah tidak ada kena mengena dengan sejarah peradaban mereka. Bangsa Red-Indian merupakan orang asal tanah Amerika yang dinamakan sebagai indian, walaupun mereka tiada kena mengena dengan orang dari tanah Indus. Itu belum dikira sejumlah negara di Afrika lagi. Di kepulauan nusantara juga sama. Belanda begitu keliru menamakan wilayah tersebut sebagai Indonesia, yang diambil daripada nama İndos-Nesos dalam bahasa Greek.

Bahasa dan pengistilahan adalah amat penting. Menurut sociolinguist dan penganalisis bermazhab Critical Theory, bahasa dan pengistilahan mencerminkan hubungan Kuasa-dan-Subjek. Ada istilah yang membuatkan seseorang itu kelihatan “kecil” dan sebaliknya ada perkataan dan pengunaan bahasa meninggikan kuasa seseorang. Ada perkataan digunakan untuk menjadikan orang lain hina-dina tanpa disedari dan menaikkan darjat seseorang secara tidak langsung.

Perubahan kepada Türkiye mempunyai asas sejarah yang kukuh. Kawasan tanah yang diduduki oleh orang Turki pada masa kini dikenali dengan pelbagai nama selama berabad-abad, termasuk Asia Minor, Anatolia dan Thrace timur. Tetapi Turki secara rasmi menjadi Republik Türkiye (Türkiye Cumhuriyeti) selepas kemerdekaan pada tahun 1923, berikutan pemansuhan kesultanan Uthmaniyyah, dan tertubuhnya Republik hasil usaha Mustafa Kemal Atatürk. Namun di peringkat PBB ia tetap dirujuk sebagai Turkey sehinggalah perubahan terkini.

Pertukaran nama Turkey kepada Türkiye di PBB ini memberi nafas baharu kepada politik identiti Turki. Ia sekaligus menunjukkan bahawa dunia tidak hanya wajar didominasi oleh naratif sejenis bangsa sahaja, sebaliknya bangsa lain wajar diberi penghormatan dan pengiktirafan.

Bangsa Turk kini sedang cuba berdiri di peringkat global dengan sedaya yang ada dari industri pertahanan sehinggalah keilmuan dan akademia untuk membangun semula Ketamadunan Muslim modern.

Kini, jika anda ke Turki jangan lagi beli barangan ‘made in Turkey’, tapi carilah ‘made in Türkiye’. Di lapangan terbang anda akan disambut dengan ucapan ‘welcome to Türkiye’. Hatta kalau ke sidang antarabangsa anda akan lihat papan ‘Türkiye’ sebagai perwakilan negara itu.

Dalam euforia ini, sesuatu yang wajar dipandang serius dengan kritis, ialah pembentukan bahasa dan pengistilahan Türkiye dalam kamus bahasa inggeris. Sejauhmana tambahan –ish, akan diguna, sekiranya dimansuh seperti wujudnya cadangan menukar nama Turkish Airline, bagaimana pula orang Turk, atau keturkian akan dirujuk? Hal ini memerlukan sekali lagi pakar dan keilmuan bahasa untuk menentukan tanpa dorongan taqlid politik semberono.

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Artikel Terkini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *