Penulis: Imran Rasid
Dunia bersorak apabila seorang lelaki berkulit hitam, berbapakan lelaki Muslim dari Kenya, memenangi Pilihanraya Presiden Amerika Syarikat pada tahun 2008. Barack Hussein Obama disebut-sebut sebagai figura yang membuka lembaran baru; yakni permulaan sebuah era “Pasca-Perkauman” buat US dan seluruh dunia. Ironisnya, selepas dua penggal Obama memerintah, masyarakat dunia tercengang melihat Donald Trump, seorang selebriti bilionair yang vulgar, seksis, extremis, rasis dan sering dijadikan bahan jenaka dalam budaya popular, dipilih menjadi Presiden US berikutnya. Apa yang sudah terjadi sebenarnya?
Sebelum saya pergi lebih lanjut, izinkan saya nyatakan awal-awal: Artikel ini bukan tentang Donald Trump, Barack Obama, mahupun keserabutan politik di US. Artikel ini tentang kita, tentang politik di Malaysia, dan perseteruan “Trump”(versi berserban) dan “Obama” dalam kalangan kita. Ia suatu renungan terhadap sebuah episod yang dicanangkan sebagai penamat kepada era perkauman dalam masyarakat, akhirnya menatijahkan sebuah periode dengan kemelut perkauman dan perpecahan yang maha dasyat dalam masyarakat. Ia telah berlaku di US, dan barangkali juga, boleh berlaku di Malaysia.
Tentunya, konteks politik, budaya, dan demografik antara US dan Malaysia jauh berbeza. Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) tidak boleh disamakan dengan dinamika perseteruan antara Demokrat dan Republikan. Dari sudut polisi dan perwatakan, Anwar Ibrahim dan Barack Obama bukanlah pelanduk dua serupa.
Pun begitu, ada beberapa persamaan yang boleh kita gariskan. Antaranya merujuk kepada wacana reformis dan sentimen “politik baru” yang menyelebungi kemenangan Obama dan Anwar dalam pilihan raya mereka. Buat golongan liberal di US, kemenangan Obama adalah penanda bagi sebuah masyarakat yang inklusif dan demokrasi yang matang. Sebagai Presiden US berkulit hitam pertama dalam sejarah Amerika, Obama melambangkan kemenangan gerakan hak sivil (civil right movements) yang dimulakan oleh tokoh-tokoh seperti Malcolm X dan Martin Luther King Jr. Rapper Jay Z mengungkap sentimen ini dengan baik sekali melalui lagunya My President is Black: “Rosa sat so Martin could walk; Martin walked so Obama could run; Obama is running so we all can fly!”
Pelantikan Anwar Ibrahim sebagai PM10 juga didendangkan dengan alunan “reformis” dan “era baru” yang sama. Sebagai tokoh penting bagi gerakan Reformasi pada tahun 1998, Anwar digambarkan sebagai suatu alternatif bagi krisis korupsi yang menjangkiti sistem politik Malaysia. Sosok Anwar mewakili sebuah idea “Malaysia baru” yang lebih inklusif, lebih progresif, dan lebih merakyat. Persamaan antara Obama dan Anwar bukan pada sosok dan sifat peribadi mereka, tetapi sekitar wacana yang mereka wakili dalam nuansa politik tempatan (sebab itu bukan kebetulan juga slogan kempen Obama pada tahun 2008, Yes We Can, seakan sama dengan slogan PH, Kita Boleh, untuk PRU15 kali ini).
Suatu persamaan lain yang lebih ketara: Permulaan ‘era baru’, baik di US ataupun Malaysia, turut dihantui bayang-bayang polarisasi dalam masyarakat yang semakin diwarnai dengan masalah ekstrimisme agama dan perkauman. Sentimen “pasca-perkauman” yang mengiringi kemenangan Obama pada tahun 2008 adakalanya mengaburi perpecahan dan pengukuhan ideogi kekuasaan bangsa kulit putih (white supremacy) yang terus berkembang dalam masyarakat. Kesilapan inilah yang harus dielak rejim pemerintahan PH!
PRU15 kali ini menyaksikan polarisasi corak pengundian yang mencapah. PH hanya memenangi 37% undi, manakala PN merangkul 30% undi. Jumlah dapatan undi bagi kedua-dua pihak tidak jauh bezanya, namun naratif politik yang mereka bawakan jelas bertentangan, sekaligus mengukuhkan lagi polarisasi dalam masyarakat hari ini. Seperti yang dilaporkan oleh Pemantau Media Sosial CIJ, wujud usaha terancang yang terkait dengan kempen PN yang menggembleng media sosial untuk menyebarkan kandungan berbaur perkauman, esktrimisme agama, anti-DAP/Cina, sehinggakan sebahagian menyeru kepada keganasan yang membahayakan demokrasi dan warga penduduk negara ini. Kandungan ini turut ditularkan melalui sebaran video Tiktok dan Whatsapp yang menjejaskan persepsi masyarakat, terutamanya kelompok muda negara ini.
Polarisasi dalam masyarakat ini harus menjadi fokus utama bagi pemerintahan PH. Antara dosa besar Obama dan agenda ‘reformis’nya, selain daripada terus mengamalkan polisi neoliberal sewaktu kemelut krisis kewangan 2008 menghimpit, ialah kegagalan beliau meredakan polarisasi dalam masyarakat. Polarisasi ini membiakkan lagi sentimen perkauman dan ekstrimisme, sekaligus mencetuskan gelombang populisme kanan yang diwakili oleh Trump. Obama menjanjikan politik progresif dan inklusif, dan kegagalan beliau melangsaikan janji-janji ini mencetuskan backlash yang tidak dijangka oleh elit politik liberal di US pada tahun 2016. Sepertimana yang disebutkan oleh George Packer dalam eseinya di New Yorker, di sebalik wacana progresif dan “era baru” yang dicanangkan, Obama melepaskan jawatan Presiden sewaktu masyarakat US “paling berpecah dan marah dalam sejarah.”
Kerajaan pemerintahan PH dan Anwar Ibrahim harus segera mengambil serius akan polarisasi dan perkembangan gelombang haluan populisme kanan sejak PRU15 berakhir. PN sebagai pembangkang menunjukkan bahawa mereka akan kekal dengan retorik perkauman dan agama yang eksklusif. Kenyataan Hadi Awang yang menyelar DAP sebagai “anti-Islam” yang dibantu “Melayu yang bodoh dan Melayu liberal” memberikan isyarat bahawa strategi populisme kanan akan terus rancak direncanakan.
Anwar dan barisan kepimpinan PH tidak hanya perlu menawarkan naratif alternatif yang lebih inklusif, bahkan turut perlu mendepani retorik perkauman secara terus. Gembleng segala apparatus kerajaan bagi mengangkat wacana harmoni dalam masyarakat. Jangan berkompromi dengan sebarang mesej kebencian yang diumpan oleh gerakan-gerakan populisme kanan. Dan yang paling mustahak, pulihkan keadaan ekonomi yang kian meruncing agar tiada krisis yang boleh dimanipulasi oleh pihak-pihak tertentu untuk mencetuskan rusuhan dan konflik perkauman di jalanan.
Semacam kita di suatu persimpangan yang genting; sama ada kita setapak kehadapan, atau tersadung lantas jatuh bertapak-tapak ke belakang. Tahun-tahun mendatang, terutamanya tatkala ekonomi global masih dalam proses pemulihan dari himpitan krisis COVID-19, dijangkakan sukar dan berliku buat Malaysia. Kegagalan menanganinya, seiring dengan perkembangan yang populisme kanan yang terus merebak, barangkali menatijahkan kepimpinan ala Trump (versi berjanggut dan berserban) untuk negara ini. Nauzubillahi min za lik!