Penulis: Dr Sahul HM
Di Algeria, antara tahun 1991-1992, parti Islamic Salvation Front (FIS) berjaya memenangi pilihanraya di Algeria sebelum pihak tentera campur tangan bagi membatalkan kemenangan tersebut, seterusnya mengharamkan FIS pada Mac 1992. FIS dituduh sebagai parti pengganas dan mengancam ketenteraman awam, meskipun mereka dipilih secara majoriti oleh orang awam Algeria.
Pada tahun 1995 Parti Refah menang di Turki dengan jumlah undi yang terbesar. Parti Refah pimpinan Erbakan yang dilihat cenderung kepada aspirasi Islam menjadi parti pemerintah di Turki sehingga tahun 1998. Hanya sempat bertahan tiga tahun sebelum ia dibubarkan oleh Mahkamah Perlembagaan Turki atas alasan ia bertentangan dengan prinsip sekularisme.
Pada tahun 2012, Ikhwanul Muslimin pimpinan Dr. Morsi memenangi pilihanraya terbuka yang pertama kali diadakan dalam sejarah Mesir. Tetapi pemerintahan Dr. Morsi yang menyasarkan reformasi institusi dan masyarakat di Mesir selepas pemerintahan panjang Hosni Mubarak digagalkan oleh rampasan kuasa tentera oleh si penyangak Fattah al-Sisi pada Julai 2013.
Demikianlah di Algeria, Turki dan Mesir yang menyaksikan parti bernuansa Islam digagalkan oleh para sekularis dan tentera yang merampas kemenangan melalui pilihanraya yang bebas dan terbuka. Rancangan dan matlamat untuk memperbaiki korupsi dan penyelewengan yang sistemik di negara mereka terkubur kerana propaganda jahat yang memanipulasi sentimen masyarakat dan seterusnya mengeksploitasi kuasa tentera.
Berbeza di Malaysia, setelah 60 tahun UMNO-BN menguasai pemerintahan negara, akhirnya ia ditumbangkan melalui pilihanraya pada 2018. Pakatan Harapan (PH) mendapat undi majoriti dan berjaya menubuhkan kerajaan baharu yang juga mengimpikan institutional reforms. Namun, yang uniknya, di Malaysia, kerajaan yang sah melalui pilihanraya ini akhirnya tumbang disebabkan gerak kerja yang disertai dan dirancang oleh pemimpin parti bernuansa Islam.
Propaganda bangsa dan agama digerakkan secara intensif sejak Mei 2018 sehingga masyarakat diyakinkan tentang kejahatan yang diimaginasikan secara liar. Akhirnya pada Februari 2020, kerajaan PH tumbang dan digantikan dengan kerajaan baharu. Malangnya, segala tuduhan selama 22 bulan kekal sebagai tuduhan tanpa sebarang pembuktian dan tiada pun pembaikpulihan selepas daripada itu, sehinggalah Parlimen dibubarkan pada bulan Oktober 2022.
Sepanjang tempoh berkempen sehingga hari pengundian bagi PRU ke-15 pada 19 November 2022, gabungan parti yang dibentuk bersama oleh parti berjenama agama memainkan sentimen perkauman dan agama yang sangat teruk, malah lebih buruk daripada apa-apa yang kita pernah saksikan dalam tempoh 60 tahun pemerintahan UMNO-BN. Keberadaan media sosial dieksploitasi sepenuhnya dan semahunya, bagi menyebarkan pelbagai perasaan syak wasangka, prejudis dan kebencian terhadap parti yang berlawanan, lebih-lebih lagi terhadap gabungan parti PH yang di dalamnya ada parti DAP, yang dimomokkan sebagai jembalang yang paling ngeri pernah wujud di muka bumi ini.
Dapatan oleh pelbagai pusat penyelidikan, seperti Ilham Centre, Merdeka Center dan O2, menunjukkan bahawa empat aplikasi terpenting media sosial meliputi lebih 60% penguasaan terhadap kandungan media propaganda. Ia didahului oleh Tiktok, diikuti oleh Instagram, Facebook dan Twitter. Tiktok, dengan kandungan video pendeknya, menjuarai carta gerak kerja propaganda yang dilancarkan dalam mencetuskan kebencian perkauman dan agama.
Melalui pemerhatian dan pengamatan penulis sendiri, banyak fakta disampaikan dengan cara yang salah dan bias. Sebagai contoh, sehari sebelum pilihanraya, tersebar video seorang gadis yang berpakaian sempurna Islamik menyebarkan cerita kononnya PH akan membenarkan pemberian kewarganegaraan secara sewenang-wenangnya kepada warga asing, seperti yang terkandung dalam manifestonya. Apabila disemak, sebenarnya ia merupakan pemberian taraf kewarganegaraan kepada anak yang dilahirkan oleh wanita warganegara Malaysia yang berkahwin dengan lelaki warga asing, bukannya secara jus soli. Hal ini juga terkandung dalam manifesto oleh UMNO-BN. Contoh kedua pula ialah manipulasi isu Tabung Haji sehingga mantan CEO Tabung Haji, Dato’ Nik Hasyudeen sendiri menjawab tuduhan dan dakwaan yang disebarkan.
Demikianlah malangnya kita di Malaysia yang parti jenama agamanya menjadi sebahagian daripada penggalak kepada penyebaran kebencian dan prejudis antara kaum dan agama yang tinggal bersama. Mereka tidak menjadi ejen penyatupadu dan pengharmonian seperti yang pernah dipromosikan pada satu masa dahulu, bahkan mereka sendiri pula mengepalai gerakan yang tidak menguntungkan pembinaan sebuah negara bangsa yang teguh. Usai pilihanraya, selepas pelantikan Perdana Menteri dan barisan kabinet, kerajaan terus bertindak tegas memberikan amaran dan melancarkan tindakan bagi menyekat perbuatan menyebarkan hasutan dan fitnah kebencian tersebut. Betapa hodohnya wajah pemecahbelah masyarakat ini hatta sehingga mengundang titah daripada Majlis Raja-Raja yang menyelar perbuatan sedemikian dan menyeru supaya ia dihentikan segera.
Kepada kerajaan perpaduan nasional yang sedang memerintah ketika ini, berwaspadalah dengan sebarang cubaan sabotaj daulah terpendam atau deep state yang didakwa pernah beroperasi beberapa tahun yang dahulu. Ia boleh wujud dalam pelbagai taktik, rupa dan keadaan. Kekalutan akibat prasangka perkauman dan agama juga adalah sebahagian daripada agendanya. Kita tinggal bersama dalam sebuah negara secara aman dan sentosa, sehinggalah ia cuba dirosakkan oleh ketamakan dan kebodohan segelintir pemain politik yang berfikiran kotor dan jijik. Di manakah lagi dalam dunia ini, masyarakatnya hidup tenang menjalani rutin harian di tengah kabut politik yang berselirat seperti di Malaysia ini? Tiada. Kita hanya satu, yang tersendiri dan teristimewa.